1 Sesudah itu raja bani Amon meninggal lalu anaknya, Hanun, menaiki takhta untuk menggantikannya.
2 Daud berkata, “Aku hendak menjalin persahabatan dengan Hanun anak Nahas, sebagaimana ayahnya menjalin persahabatan denganku.” Maka Daud mengirimkan beberapa orang utusannya untuk menyampaikan takziah kepada Hanun kerana perihal ayahnya itu. Para utusan Daud pun sampai di negeri bani Amon.
3 Akan tetapi, para pembesar bani Amon berkata kepada Hanun, tuan mereka, “Adakah tuanku sangka Daud hendak memberikan penghormatan kepada ayah tuanku, sehingga dia mengutus orang untuk menyampaikan takziah kepada tuanku? Bukankah Daud mengutus para pegawainya kepada tuanku untuk menyiasat kota ini, untuk mengintip dan menggulingkannya?”
4 Oleh sebab itu Hanun menangkap para utusan Daud itu. Lalu dia mencukur separuh janggut mereka dan memotong pakaian mereka di bahagian tengah sampai pangkal paha. Setelah itu, disuruhnya mereka pergi.
5 Ketika hal itu diberitahukan kepada Daud, dia mengutus orang untuk menemui mereka, kerana mereka berasa sangat malu. Kata raja, “Tinggallah di Yerikho sehingga janggutmu tumbuh lagi. Setelah itu, barulah kamu pulang.”
6 Ketika bani Amon menyedari bahawa mereka telah membangkitkan kebencian Daud, mereka mengupah orang Aram dari Bet-Rehob dan dari Zoba seramai dua puluh ribu orang pasukan berjalan kaki, raja Maakha dengan seribu orangnya, serta dua belas ribu orang Tob.
7 Mendengar hal itu, Daud menyuruh Yoab maju dengan seluruh tentera kesateria.
8 Kemudian bani Amon maju dan mengatur barisan perang mereka di depan pintu gerbang. Sementara itu, orang Aram dari Zoba dan dari Rehob, juga orang Tob dan Maakha, berada terpisah di padang.
9 Ketika Yoab melihat bahawa peperangan itu diatur untuk menyerangnya dari depan dan dari belakang, dia memilih beberapa orang Israel daripada kalangan yang terbaik dan mengatur barisan mereka untuk menghadapi orang Aram.
10 Pasukan yang selebihnya diserahkannya kepada pimpinan Abisai, adiknya, yang mengatur barisan mereka untuk menghadapi bani Amon.
11 Kata Yoab, “Jika orang Aram terlalu kuat bagiku, maka engkau harus datang membantu aku. Jika bani Amon terlalu kuat bagimu, maka aku akan datang membantu engkau.
12 Kuatkanlah hatimu dan marilah kita bertabah hati demi bangsa kita dan demi kota-kota Allah kita. Semoga TUHAN melakukan apa yang baik di sisi-Nya.”
13 Kemudian majulah Yoab dan pasukan yang menyertainya untuk berperang melawan orang Aram. Lalu larilah orang Aram dari hadapannya.
14 Apabila bani Amon melihat bahawa orang Aram melarikan diri, maka mereka pun lari dari hadapan Abisai lalu masuk ke dalam kota. Sesudah itu kembalilah Yoab daripada memerangi bani Amon, lalu tiba di Yerusalem.
15 Orang Aram menyedari bahawa mereka telah dikalahkan oleh orang Israel. Oleh sebab itu mereka berkumpul bersama-sama.
16 Kemudian Hadadezer menyuruh agar orang Aram yang berada di seberang Sungai Efrat dipanggil keluar. Mereka pun datang ke Helam, lalu Sobakh, panglima tentera Hadadezer, menjadi pemimpin mereka.
17 Ketika hal itu dikhabarkan kepada Daud, maka dia mengerahkan seluruh orang Israel. Mereka menyeberangi Yordan dan langsung menuju Helam. Orang Aram pun mengatur barisan mereka untuk menghadapi Daud lalu berperang melawannya.
18 Namun demikian, mereka lari dari hadapan orang Israel. Daud menumpaskan tujuh ratus daripada orang Aram yang mengenderai rata dan empat puluh ribu orang pasukan berkuda. Dia juga menumpaskan Sobakh, panglima tentera mereka di sana.
19 Ketika semua raja yang takluk kepada Hadadezer melihat bahawa mereka telah dikalahkan di hadapan orang Israel, mereka pun mengadakan perjanjian damai dengan orang Israel lantas menjadi umat yang takluk kepada mereka. Setelah itu, orang Aram takut membantu bani Amon lagi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 10
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 10

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV