1 Pada tahun kedua puluh tujuh zaman pemerintahan Yerobeam, raja Israel, Azarya anak Amazia, raja Yehuda, menaiki takhta.
2 Umurnya enam belas tahun ketika dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Nama ibunya ialah Yekholya, dari Yerusalem.
3 Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN, seperti semua yang dilakukan Amazia, ayahnya.
4 Hanya, bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan itu.
5 TUHAN mengazabkan raja sehingga dia sakit kusta sampai hari kematiannya dan tinggal di rumah yang berasingan. Maka Yotam, anaknya, mengetuai istana dan memerintah rakyat negeri itu.
6 Riwayat Azarya selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?
7 Lalu Azarya dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud. Maka Yotam, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.
8 Pada tahun ketiga puluh lapan zaman pemerintahan Azarya, raja Yehuda, Zakharia anak Yerobeam menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama enam bulan,
9 dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, seperti yang telah dilakukan oleh nenek moyangnya. Dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan orang Israel turut berdosa.
10 Salum anak Yabesh bersekongkol melawannya lantas membunuhnya di depan orang ramai, lalu menaiki takhta menggantikannya.
11 Riwayat Zakharia selebihnya, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel.
12 Memang begitulah firman yang disampaikan TUHAN kepada Yehu: “Anak-anakmu akan duduk di atas takhta Israel sampai keturunan yang keempat.” Demikianlah yang terjadi.
13 Salum anak Yabesh menaiki takhta pada tahun ketiga puluh sembilan zaman pemerintahan Uzia, raja Yehuda. Dia bertakhta selama sebulan di Samaria.
14 Kemudian Menahem anak Gadi maju dari Tirza hingga ke Samaria. Dia menyerang Salum anak Yabesh di Samaria, membunuhnya, lalu menaiki takhta menggantikannya.
15 Riwayat Salum selebihnya dan persekongkolan yang diadakannya, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel.
16 Pada waktu itu, bermula dari Tirza, Menahem menyerang Tifsah dan semua penduduknya juga daerahnya, kerana mereka tidak membukakan pintu kota baginya. Dia menyerang kota itu dan membelah perut semua perempuan yang mengandung.
17 Pada tahun ketiga puluh sembilan zaman pemerintahan Azarya, raja Yehuda, Menahem anak Gadi menaiki takhta atas Israel. Dia bertakhta selama sepuluh tahun di Samaria,
18 dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Sepanjang umurnya dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel turut berdosa.
19 Kemudian Pul, raja Asyur, datang menyerang negeri itu. Menahem memberikan kepadanya seribu talenta perak, supaya Pul membantu dia mengukuhkan kerajaan itu di tangannya.
20 Wang yang dikeluarkan itu dibebankan Menahem atas orang Israel, iaitu atas semua orang yang kaya-raya. Setiap orang harus memberikan lima puluh syikal perak untuk selanjutnya diberikan kepada raja Asyur. Lalu pulanglah raja Asyur dan tidak lagi tinggal di negeri itu.
21 Riwayat Menahem yang selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?
22 Lalu Menahem dibaringkan bersama nenek moyangnya. Maka anaknya, Pekahya, menaiki takhta menggantikannya.
23 Pada tahun kelima puluh zaman pemerintahan Azarya, raja Yehuda, Pekahya anak Menahem menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama dua tahun,
24 dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel turut berdosa.
25 Pekah anak Remalya, perwiranya, bersekongkol untuk melawannya dan membunuhnya berserta Argob dan Arye di Samaria, di puri istana raja. Bersamanya ada lima puluh orang daripada bani Gilead. Demikianlah dia membunuh Pekahya lalu menaiki takhta menggantikannya.
26 Riwayat Pekahya selebihnya dan semua yang dilakukannya, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel.
27 Pada tahun kelima puluh dua zaman pemerintahan Azarya, raja Yehuda, Pekah anak Remalya menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama dua puluh tahun,
28 dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel turut berdosa.
29 Pada zaman Pekah, raja Israel, datanglah Tiglat-Pileser, raja Asyur. Dia merebut Iyon, Abel-Bet-Maakha, Yanoah, Kedesh, Hazor, Gilead, dan Galilea, seluruh Tanah Naftali, lalu membuang penduduknya ke Asyur.
30 Hosea anak Ela mengadakan persekongkolan melawan Pekah anak Remalya. Dia menyerang dan membunuhnya, lalu menaiki takhta menggantikannya pada tahun kedua puluh pemerintahan Yotam anak Uzia.
31 Riwayat Pekah selebihnya dan semua yang dilakukannya, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel.
32 Pada tahun kedua zaman pemerintahan Pekah anak Remalya, raja Israel, Yotam anak Uzia, raja Yehuda, menaiki takhta.
33 Umurnya dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama enam belas tahun. Nama ibunya ialah Yerusa anak Zadok.
34 Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN, seperti semua yang dilakukan Uzia, ayahnya.
35 Namun itu, bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan itu. Dia membina Pintu Gerbang Atas di Bait TUHAN.
36 Riwayat Yotam selebihnya, apa yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?
37 Pada zaman itu TUHAN mulai mengirim Rezin, raja Aram, dan Pekah anak Remalya menyerang Yehuda.
38 Lalu Yotam dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud, leluhurnya. Maka Ahas, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.