1 Pada waktu itu Hizkia jatuh sakit dan hampir mati. Datanglah Nabi Yesaya anak Amos menemuinya dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, ‘Uruskanlah rumah tanggamu, kerana engkau akan mati dan tidak akan sembuh lagi.”
2 Kemudian Hizkia memalingkan mukanya ke dinding dan berdoa kepada TUHAN, katanya,
3 “Ya TUHAN, semoga Engkau ingat betapa aku telah hidup di hadapan-Mu dengan setia dan tulus hati, serta melakukan apa yang baik di mata-Mu.” Lalu Hizkia menangis tersedu-sedu.
4 Yesaya belum keluar dari pelataran tengah ketika firman TUHAN datang kepadanya demikian,
5 “Kembalilah dan katakanlah kepada Hizkia, pemimpin umat-Ku, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Daud, leluhurmu, “Telah Kudengar doamu dan telah Kulihat air matamu. Sesungguhnya, Aku akan menyembuhkan engkau. Pada hari ketiga engkau akan pergi ke Bait TUHAN.
6 Aku akan menambah umurmu lima belas tahun lagi. Aku pun akan melepaskan engkau dan kota ini daripada tangan raja Asyur. Aku akan melindungi kota ini demi diri-Ku sendiri dan demi Daud, hamba-Ku.” ’
7 Lalu berkatalah Yesaya, “Ambillah ramasan buah ara.” Kemudian orang mengambilnya dan menaruhnya pada bisul Hizkia itu, maka dia pun sembuh.
8 Sebelumnya Hizkia bertanya kepada Yesaya, “Apakah tandanya bahawa TUHAN akan menyembuhkan aku dan bahawa aku akan pergi ke Bait TUHAN pada hari ketiga?”
9 Jawab Yesaya, “Inilah tanda bagimu daripada TUHAN, bahawa TUHAN akan melaksanakan firman yang telah disampaikan-Nya itu. Yang mana kaukehendaki: Bayang-bayang itu maju sepuluh tapak atau mundur sepuluh tapak?”
10 Jawab Hizkia, “Tentunya mudah bagi bayang-bayang itu memanjang sepuluh tapak. Kalau begitu, biarlah bayang-bayang itu mundur ke belakang sepuluh tapak.”
11 Maka Nabi Yesaya pun berseru kepada TUHAN, dan Dia memundurkan bayang-bayang penanda yang jatuh pada penunjuk matahari buatan Ahas, sepuluh tapak ke belakang.
12 Pada waktu itu, Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babel, mengirim surat serta pemberian kepada Hizkia, kerana dia mendengar bahawa Hizkia sakit.
13 Hizkia bergembira atas kedatangan mereka. Diperlihatkannya kepada mereka seluruh gedung harta bendanya, perak dan emas, rempah-ratus dan minyak yang berharga, seluruh gedung persenjataannya dan segala sesuatu yang terdapat dalam perbendaharaannya. Tidak ada barang dalam istana dan seluruh daerah kekuasaannya yang tidak diperlihatkan kepada mereka oleh Hizkia.
14 Setelah itu, Nabi Yesaya datang menghadap Raja Hizkia dan bertanya kepadanya, “Apakah yang dikatakan orang itu? Dari manakah mereka datang?” Jawab Hizkia, “Mereka datang dari negeri yang jauh, dari Babel.”
15 Tanya Yesaya lagi, “Apakah yang dilihat mereka di dalam istanamu?” Jawab Hizkia, “Segala sesuatu yang ada dalam istanaku telah mereka lihat. Tidak ada barang dalam perbendaharaanku yang tidak kuperlihatkan kepada mereka.”
16 Lalu kata Yesaya kepada Hizkia, “Dengarlah firman TUHAN,
17 ‘Sesungguhnya, akan datang harinya apabila segala sesuatu yang ada dalam istanamu dan yang disimpan oleh nenek moyangmu sampai hari ini akan diangkut ke Babel. Tidak ada barang yang akan ditinggalkan,’ demikianlah firman TUHAN.
18 Selain itu, daripada kalangan anak yang akan dilahirkan bagimu, iaitu keturunanmu, beberapa orang akan diambil untuk menjadi para sida di istana raja Babel.”
19 Kata Hizkia kepada Yesaya, “Firman TUHAN yang kausampaikan itu baik.” Kerana fikirnya, “Bukankah itu bererti ada kedamaian dan keamanan pada zamanku?”
20 Riwayat Hizkia yang selebihnya, segala kejayaannya, dan bagaimana dia membuat kolam serta saluran air dan mengalirkan air ke dalam kota, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?
21 Lalu Hizkia dibaringkan bersama nenek moyangnya. Maka Manasye, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Raja-raja 20
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Raja-raja 20

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV