1 Lalu rakyat Yehuda mengangkat Uzia yang berumur enam belas tahun dan menobatkannya menjadi raja menggantikan ayahnya, Amazia.
2 Dialah yang membina Elot semula dan mengembalikannya kepada Yehuda setelah raja dibaringkan bersama-sama nenek moyangnya.
3 Ketika menaiki takhta, Uzia berumur enam belas tahun, dan dia bertakhta di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Nama ibunya ialah Yekholya, dari Yerusalem.
4 Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN, seperti semua yang dilakukan Amazia, ayahnya.
5 Dia mencari Allah selama Zakharia hidup – Zakharia yang memahami penglihatan daripada Allah mengajarnya supaya takut akan Allah – dan selama dia mencari TUHAN, Allah membuat hidupnya berjaya.
6 Dia maju berperang melawan orang Filistin dan membongkar tembok Gat, tembok Yabne, serta tembok Asdod. Dibangunkannya kota-kota di sekitar Asdod dan di tempat-tempat lain di Filistin.
7 Allah menolongnya menghadapi orang Filistin, orang Arab yang tinggal di Gur-Baal, dan orang Meunim.
8 Orang Amon mempersembahkan ufti kepada Uzia. Namanya masyhur sampai ke perbatasan Mesir, kerana dia menjadi semakin kuat.
9 Uzia membina beberapa buah menara di Yerusalem, iaitu di atas Pintu Gerbang Sudut, di atas Pintu Gerbang Lembah, dan di atas Sudut, serta mengukuhkannya.
10 Dia juga membina beberapa buah menara di gurun dan menggali banyak perigi, kerana dia mempunyai banyak ternakan, baik di Dataran Rendah mahupun di Dataran Tinggi. Dia mengerahkan para petani dan para penjaga kebun anggur di gunung-gunung serta di ladang yang subur, kerana dia menyukai bidang pertanian.
11 Selain itu, Uzia mempunyai pasukan siap bertempur yang maju berperang dalam pasukan menurut jumlah yang dicatat oleh jurutulis dan ketua pasukan, iaitu Yeiel dan Maaseya, di bawah pimpinan Hananya, salah seorang panglima raja.
12 Jumlah ketua kaum keluarga daripada para kesateria gagah perkasa itu ialah dua ribu enam ratus orang.
13 Di bawah pimpinan mereka ada satu bala tentera berjumlah tiga ratus tujuh ribu lima ratus orang yang siap bertempur dengan kekuatan besar untuk membantu raja melawan musuh.
14 Uzia memperlengkapkan seluruh tentera itu dengan perisai, tombak, ketopong, baju zirah, busur panah, dan batu yang dihumban.
15 Di Yerusalem dia membuat alat-alat perang, rekaan para ahli, yang ditempatkan di atas menara-menara dan penjuru-penjuru untuk menembak anak panah serta batu besar. Maka masyhurlah namanya sampai ke tempat yang jauh, kerana dia ditolong dengan ajaib sehingga menjadi kuat.
16 Setelah menjadi kuat, semakin bongkaklah dia sehingga dia melakukan hal yang merosakkan dirinya. Dia berbuat mungkar terhadap TUHAN, Allahnya, dengan masuk ke dalam Bait Suci TUHAN untuk membakar dupa di atas mazbah pembakaran dupa.
17 Tetapi Imam Azarya masuk ke dalam mengikutinya bersama-sama lapan puluh orang imam TUHAN, iaitu kalangan yang berani.
18 Mereka berdiri di depan Raja Uzia dan berkata kepadanya, “Uzia, membakar dupa untuk dipersembahkan kepada TUHAN bukanlah hak tuanku, melainkan hak para imam keturunan Harun yang telah ditahbiskan untuk tugas itu. Keluarlah dari tempat suci ini, kerana tuanku telah berbuat mungkar. Tuanku tidak akan dimuliakan oleh TUHAN Allah kerana hal ini.”
19 Uzia, yang sedang memegang sebuah pedupaan untuk dibakar, menjadi geram. Tetapi ketika dia geram terhadap para imam itu, timbullah penyakit kusta pada dahinya di hadapan para imam di Bait TUHAN, dekat mazbah pembakaran dupa.
20 Ketika ketua imam Azarya dan semua imam lain memandangnya, tampak ada penyakit kusta pada dahinya. Mereka cepat-cepat mengusirnya dari sana, dan terburu-burulah dia keluar, kerana TUHAN telah mengazabkan dia.
21 Raja Uzia sakit kusta sampai hari kematiannya. Sebagai penderita kusta dia tinggal di rumah yang berasingan, kerana dia diasingkan dari Bait TUHAN. Maka Yotam, anaknya, mengetuai istana dan memerintah rakyat negeri itu.
22 Riwayat Uzia yang selebihnya, dari awal sampai akhir, ditulis oleh Nabi Yesaya anak Amos.
23 Lalu Uzia dibaringkan bersama-sama nenek moyangnya dan dimakamkan di sisi nenek moyangnya di ladang dekat permakaman raja-raja, kerana kata orang, “Dia berpenyakit kusta.” Maka Yotam, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.