1 Selama tujuh bulan tabut TUHAN berada di bumi orang Filistin.
2 Maka orang Filistin memanggil para imam dan penenung serta berkata, “Apakah yang harus kita lakukan dengan tabut TUHAN ini? Beritahulah kami bagaimana kami harus menghantarnya kembali ke tempatnya.”
3 Lalu kata mereka, “Apabila kamu menghantar tabut Allah Israel itu, janganlah kamu menghantarnya dengan tangan kosong. Sebaliknya, hendaklah kamu membayar dengan korban penebus kesalahan kepada-Nya; maka kamu akan menjadi sembuh dan kamu akan tahu mengapa tangan-Nya tidak ditarik balik daripadamu.”
4 Sesudah itu bertanyalah mereka, “Apakah korban penebus kesalahan yang harus kami bayar kepada-Nya?” Jawab mereka, “Menurut jumlah para raja kota Filistin, lima ketumbuhan emas dan lima ekor tikus emas, kerana wabak yang sama menimpa kamu semua dan raja-raja kotamu.
5 Buatlah tiruan ketumbuhanmu dan tiruan tikus-tikus yang merosakkan negerimu, lalu muliakanlah Allah Israel. Mudah-mudahan Dia akan mengundurkan tangan-Nya daripadamu, daripada tuhan-tuhanmu, dan dari negerimu.
6 Apakah untungnya kamu mengeraskan hati seperti halnya orang Mesir dan Firaun? Ketika Dia mempermainkan mereka, bukankah mereka melepaskan umat itu pergi?
7 Oleh itu, ambillah dan siapkanlah sebuah pedati baru dengan dua ekor lembu yang masih menyusui, yang belum pernah dikenakan kuk, pasanglah kedua-dua lembu itu pada pedati, tetapi bawalah anak-anak lembu itu balik ke kandang induknya, supaya tidak mengikutinya lagi.
8 Kemudian, ambillah tabut TUHAN itu dan letakkan di dalam pedati. Taruhlah barang-barang emas yang akan kamu persembahkan kepada-Nya sebagai korban penebus kesalahan di dalam sebuah peti, di sisi tabut itu, lalu hantarlah tabut itu pergi.
9 Perhatikanlah, jika tabut itu menempuh jalan menuju daerahnya sendiri, iaitu ke Bet-Semes, maka Dialah yang telah mendatangkan malapetaka besar ini terhadap kita. Tetapi jika tidak, maka kita akan tahu bahawa bukan tangan-Nya yang menyerang kita. Kebetulan sahaja hal itu terjadi kepada kita.”
10 Demikianlah dilakukan oleh para warga Filistin itu. Mereka mengambil dua ekor lembu yang menyusui, dipasangnya pada pedati, tetapi anak-anaknya ditahan di kandang induknya.
11 Tabut perjanjian TUHAN diletakkan mereka di dalam pedati, bersama-sama peti berisi tikus-tikus emas dan ketumbuhan tiruan itu.
12 Lalu lembu-lembu itu terus berjalan menuju ke Bet-Semes. Sambil terus menempuh jalan raya itu kedua-duanya melenguh-lenguh dan tidak menyimpang ke kanan ataupun ke kiri. Raja-raja kota orang Filistin itu pun mengikuti mereka sampai perbatasan Bet-Semes.
13 Pada waktu itu, warga Bet-Semes sedang menuai gandum mereka di lembah. Ketika mereka melayangkan pandangan, tampaklah tabut itu. Mereka pun bersukacita melihatnya.
14 Pedati itu sampai di ladang Yosua, orang Bet-Semes itu, dan berhenti di sana. Di situ ada sebuah batu besar. Maka umat itu pun membelah kayu pedati itu dan mempersembahkan lembu-lembu sebagai korban bakaran kepada TUHAN.
15 Sementara itu bani Lewi menurunkan tabut TUHAN berserta peti berisi barang-barang emas itu, lalu meletakkan kesemuanya di atas batu besar itu. Pada hari itu juga umat Bet-Semes mempersembahkan korban bakaran dan korban-korban sembelihan kepada TUHAN.
16 Setelah kelima-lima orang raja kota orang Filistin menyaksikan hal itu, pulanglah mereka ke Ekron pada hari itu juga.
17 Inilah kesemua ketumbuhan emas yang dipersembahkan orang Filistin kepada TUHAN sebagai korban penebus kesalahan: satu bagi Asdod, satu bagi Gaza, satu bagi Askelon, satu bagi Gat, dan satu bagi Ekron.
18 Tikus-tikus emas itu pun selaras dengan jumlah semua kota orang Filistin milik kelima-lima orang raja kota itu, dari kota yang berkubu sampai ke daerah pedesaan serta ke batu besar di Abel, tempat orang meletakkan tabut TUHAN itu. Batu itu berada di ladang Yosua, orang Bet-Semes, sampai hari ini.
19 Akan tetapi, Allah memusnahkan umat Bet-Semes kerana mereka telah melihat ke dalam tabut TUHAN itu. Daripada kalangan umat itu, Dia memusnahkan tujuh puluh orang. Lalu berkabunglah umat itu kerana TUHAN telah memusnahkan sebilangan besar orang daripada kalangan mereka.
20 Kata orang Bet-Semes, “Siapakah dapat bertahan di hadapan TUHAN, Allah yang Kudus ini? Kepada siapakah Dia akan berangkat meninggalkan kita ini?”
21 Kemudian mereka mengirimkan beberapa orang utusan kepada penduduk Kiryat-Yearim dengan pesan, “Orang Filistin telah memulangkan semula tabut TUHAN. Datanglah dan angkutlah tabut itu ke tempatmu.”