1 Hiram, raja Tirus, mengutus pegawai-pegawainya kepada Salomo, kerana dia mendengar khabar bahawa Salomo telah dilantik sebagai raja untuk menggantikan ayahnya. Memang Hiram sentiasa menjadi sahabat Daud.
2 Salomo pun mengutus orang kepada Hiram dengan pesan,
3 “Tuan maklum bahawa Daud, ayahku, tidak dapat membina sebuah bait bagi nama TUHAN, Allahnya, kerana peperangan terus mengelilingi dia, sampai TUHAN menaruh musuh-musuhnya di bawah telapak kakinya.
4 Tetapi sekarang, TUHAN, Allahku, telah mengurniai aku ketenteraman di segala penjuru. Tidak ada lagi lawan, dan tidak ada lagi kejadian buruk.
5 Jadi, aku berniat hendak membina sebuah bait bagi nama TUHAN, Allahku, sebagaimana firman TUHAN kepada Daud, ayahku: ‘Anakmu yang akan Kududukkan di atas takhtamu untuk menggantikan engkau, dialah yang akan membina bait bagi nama-Ku.’
6 Sekarang, sudilah kiranya tuan memerintahkan orang untuk menebang bagiku pokok-pokok araz dari Lebanon. Hamba-hambaku akan mendampingi hamba-hamba tuan, dan upah hamba-hamba tuan akan kubayar kepada tuan seberapa pun yang tuan tetapkan. Tentu tuan maklum bahawa dalam kalangan kami tiada orang yang cekap dalam hal menebang pokok sebagaimana orang Sidon.”
7 Pada waktu Hiram mendengar kata-kata Salomo itu, dia sangat bersukacita. Katanya, “Segala puji bagi TUHAN pada hari ini, kerana Dia telah mengurniai Daud seorang anak yang bijak untuk mengetuai bangsa yang besar ini.”
8 Lalu Hiram mengirim utusan kepada Salomo, dengan pesan, “Aku telah mendengar pesan yang tuan kirimkan kepadaku. Akan kulakukan semua yang tuan kehendaki berhubungan dengan kayu araz dan kayu sanubar itu.
9 Hamba-hambaku akan membawa kayu itu turun dari Lebanon sampai ke laut, lalu aku akan mengikatnya sebagai rakit di laut untuk dibawa sampai ke tempat yang tuan tentukan. Di sana aku akan menyuruh mereka untuk membongkarnya, sehingga tuan dapat mengangkutnya. Sementara itu, biarlah tuan memenuhi keinginanku dengan menyediakan makanan bagi seisi istanaku.”
10 Jadi, Hiram memberi Salomo kayu araz dan kayu sanubar sebanyak yang dikehendakinya.
11 Lalu Salomo memberi Hiram dua puluh ribu kor gandum sebagai bahan makanan bagi seisi istananya dan dua puluh kor minyak zaitun tumbuk. Demikianlah diberikan Salomo kepada Hiram tahun demi tahun.
12 TUHAN mengurniakan kebijaksanaan kepada Salomo seperti yang dijanjikan-Nya kepadanya. Antara Hiram dengan Salomo ada hubungan damai. Kedua-duanya mengikat perjanjian bersama.
13 Raja Salomo mengerahkan tiga puluh ribu orang buruh paksa daripada kalangan umat Israel.
14 Setiap bulan, disuruhnya sepuluh ribu orang antara mereka ke Lebanon secara bergilir-gilir. Sebulan lamanya mereka di Lebanon, lalu dua bulan yang berikutnya di rumah masing-masing. Adoniram bertugas mengetuai buruh paksa itu.
15 Salomo mempunyai tujuh puluh ribu orang tukang pikul dan lapan puluh ribu orang tukang pahat di pergunungan.
16 Selain itu, Salomo juga mempunyai tiga ribu tiga ratus orang pegawai utama yang mengetuai pekerjaan itu. Mereka memberikan arahan kepada orang yang melaksanakan pekerjaan itu.
17 Atas perintah raja, mereka menggali batu-batu besar, iaitu batu-batu mahal, untuk membuat dasar bait itu daripada batu-batu pahat.
18 Sementara itu para tukang bangunan Salomo, para tukang bangunan Hiram, dan orang Gebal memahat serta menyediakan kayu dan batu untuk membina bait itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Raja-raja 5
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Raja-raja 5

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV