1 Di samping puteri Firaun, Raja Salomo turut mencintai ramai perempuan asing, iaitu perempuan Moab, Amon, Edom, Sidon, dan Het.
2 Mereka itu berasal daripada bangsa-bangsa yang telah difirmankan TUHAN kepada orang Israel: “Jangan kamu menikahi mereka dan jangan mereka bercampur-baur dengan kamu. Mereka pasti membuat hatimu menyimpang untuk mengikuti tuhan mereka.” Namun demikian, Salomo terpaut pada mereka kerana cinta.
3 Dia mempunyai tujuh ratus orang isteri keturunan bangsawan dan tiga ratus orang gundik. Lalu para isterinya itu menyesatkan hatinya.
4 Ketika Salomo sudah tua, para isterinya menyimpangkan hatinya untuk mengikuti tuhan-tuhan lain, sehingga hatinya tidak lagi tulus kepada TUHAN, Allahnya, seperti hati Daud, ayahnya.
5 Salomo mengikuti Asytoret, iaitu dewi orang Sidon, dan juga Milkom, dewa kejijikan sembahan orang Amon.
6 Demikianlah Salomo melakukan apa yang jahat di mata TUHAN dan tidak sepenuhnya mengikuti TUHAN seperti Daud, ayahnya.
7 Lalu Salomo membina bukit pemujaan bagi Kamos, dewa kejijikan sembahan orang Moab, di gunung di sebelah timur Yerusalem, juga bagi Molokh, dewa kejijikan sembahan bani Amon.
8 Demikian pulalah dilakukannya bagi semua isterinya, iaitu perempuan asing yang membakar dupa dan mempersembahkan korban kepada tuhan mereka.
9 Maka TUHAN pun murka kepada Salomo, kerana hatinya menyimpang daripada TUHAN, Allah Israel, yang telah menampakkan diri kepadanya dua kali
10 dan yang telah memberinya perintah supaya dia tidak mengikuti tuhan-tuhan lain. Dia tidak berpegang teguh pada apa yang diperintahkan TUHAN kepadanya.
11 Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Salomo, “Kerana begitu kelakuanmu dan engkau tidak berpegang teguh pada perjanjian-Ku serta segala ketetapan-Ku yang telah Kuperintahkan kepadamu, maka Aku pasti mengoyakkan kerajaan itu daripadamu dan mengurniakannya kepada seorang pegawaimu.
12 Namun demikian, Aku tidak akan melakukannya pada masa hidupmu kerana Daud, ayahmu. Aku akan mengoyakkannya daripada tangan anakmu.
13 Meskipun begitu, Aku tidak akan mengoyakkan seluruh kerajaan itu. Satu suku akan Kukurniakan kepada anakmu kerana Daud, hamba-Ku, dan kerana Yerusalem yang telah Kupilih.”
14 Kemudian TUHAN membangkitkan seorang seteru bagi Salomo, iaitu Hadad, orang Edom. Dia berasal daripada keturunan raja Edom.
15 Dahulu, pada waktu Daud berada di Edom, Yoab panglima tenteranya pergi menguburkan kalangan yang terbunuh dan menewaskan semua lelaki di Edom.
16 Yoab dan semua orang Israel tinggal di sana selama enam bulan sehingga dia melenyapkan semua lelaki di Edom.
17 Hadad melarikan diri bersama dengan beberapa orang Edom, iaitu pegawai ayahnya, ke Mesir. Pada waktu itu Hadad masih muda belia.
18 Mereka berangkat dari Midian, lalu sampai ke Paran. Dari Paran mereka membawa serta beberapa orang, lalu sampailah mereka di Mesir. Mereka menghadap Firaun, raja Mesir, lalu raja memberinya sebuah rumah, menentukan peruntukan makanannya, dan memberikan sebidang tanah kepadanya.
19 Firaun sangat berkenan kepada Hadad, sehingga dia memberinya seorang isteri, iaitu adik isterinya sendiri, adik permaisuri Tahpenes.
20 Adik Tahpenes itu melahirkan bagi Hadad seorang anak lelaki, Genubat namanya. Tahpenes menyapihnya di istana Firaun, dan Genubat dibesarkan di istana Firaun, di antara anak Firaun.
21 Ketika Hadad mendengar di Mesir bahawa Daud telah dibaringkan bersama-sama nenek moyangnya dan bahawa Yoab, panglima tentera itu, sudah mati, berkatalah Hadad kepada Firaun, “Izinkanlah hamba pergi. Hamba hendak pulang ke negeri hamba.”
22 Tanya Firaun kepadanya, “Apakah kekurangan engkau bersama denganku di sini, sehingga tiba-tiba engkau ingin pulang ke negerimu?” Jawabnya, “Tidak ada kekurangan apa-apa, tetapi mohon izinkan hamba pergi.”
23 Kemudian Allah membangkitkan seorang lawan lagi bagi Salomo, iaitu Rezon anak Elyada. Orang ini melarikan diri daripada tuannya, iaitu Hadadezer, raja Zoba.
24 Dikumpulkannya sejumlah orang, lalu dia menjadi pemimpin suatu gerombolan. Ketika Daud membunuh orang Zoba, pergilah mereka ke Damsyik. Mereka tinggal di sana dan mendirikan kerajaan di Damsyik.
25 Dia menjadi lawan orang Israel seumur hidup Salomo dan menambahi kesusahan yang dibuat oleh Hadad. Dia yang amat membenci orang Israel itu bertakhta atas Aram.
26 Yerobeam anak Nebat, seorang Efraim dari Zereda, seorang pegawai Salomo (nama ibunya ialah Zerua, seorang balu), juga menentang dan memberontak terhadap raja.
27 Inilah alasan mengapa dia memberontak terhadap raja: Salomo membina Milo dan menutup lubang tembok Kota Daud, ayahnya.
28 Yerobeam memang seorang yang sangat berkemahiran. Ketika Salomo melihat bahawa pemuda itu rajin bekerja, dia mengangkatnya untuk menjadi pengawas atas semua tukang pikul daripada keturunan kaum Yusuf.
29 Suatu kali, ketika Yerobeam keluar dari Yerusalem, nabi Ahia, orang Silo itu, menemui dia di jalan. Ahia mengenakan sehelai pakaian baru, dan mereka berdua sahaja di padang.
30 Ahia mencengkam pakaian baru yang dikenakannya itu dan mengoyakkannya untuk menjadi dua belas cebisan.
31 Katanya kepada Yerobeam, “Ambillah untukmu sepuluh cebisan, kerana beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Sesungguhnya, Aku akan mengoyakkan kerajaan itu daripada tangan Salomo dan akan mengurniaimu sepuluh suku.
32 Tetapi satu suku akan tetap padanya kerana Daud, hamba-Ku, dan kerana Yerusalem, kota yang telah Kupilih daripada semua suku Israel.
33 Hal ini terjadi kerana dia telah meninggalkan Aku dan sujud menyembah Asytoret, dewi orang Sidon, dan Kamos, tuhan orang Moab, serta Milkom, tuhan bani Amon. Dia tidak hidup menurut jalan-Ku dengan melakukan apa yang benar di mata-Ku dan berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku serta peraturan-Ku seperti Daud, ayahnya.
34 Namun demikian, Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripada tangannya. Aku akan membiarkan dia menjadi pemimpin seumur hidupnya kerana Daud, hamba-Ku yang telah Kupilih, yang berpegang teguh pada segala perintah-Ku dan ketetapan-Ku.
35 Aku akan mengambil kerajaan itu daripada tangan anaknya dan akan mengurniakan sepuluh suku kepadamu.
36 Kepada anaknya Aku akan mengurniakan satu suku, supaya sentiasa ada suatu pelita bagi Daud, hamba-Ku, di hadirat-Ku di Yerusalem, kota yang telah Kupilih untuk menegakkan nama-Ku di sana.
37 Engkau Kupilih untuk bertakhta atas semua yang dikehendaki hatimu. Engkau akan menjadi raja atas Israel.
38 Jika engkau mendengar semua yang Kuperintahkan kepadamu, hidup menurut jalan-Ku, dan melakukan apa yang benar di mata-Ku dengan berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku serta perintah-Ku seperti yang telah dilakukan oleh Daud, hamba-Ku, maka Aku akan menyertai engkau, akan membina bagimu suatu keluarga yang teguh seperti yang telah Kubina bagi Daud, dan akan mengurniakan orang Israel kepadamu.
39 Untuk itu Aku akan merendahkan keturunan Daud, tetapi bukan untuk selama-lamanya.’ ”
40 Salomo berikhtiar membunuh Yerobeam, tetapi Yerobeam segera melarikan diri ke Mesir. Dia menghadap Sisak, raja Mesir, dan tinggal di Mesir sampai Salomo mati.
41 Riwayat Salomo selebihnya, juga semua yang dilakukannya dan kebijaksanaannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab riwayat Salomo?
42 Empat puluh tahun lamanya Salomo bertakhta di Yerusalem atas seluruh Israel.
43 Lalu Salomo dibaringkan bersama dengan nenek moyangnya dan dimakamkan di Kota Daud, ayahnya. Maka Rehabeam, anaknya, menaiki takhta untuk menggantikan dia.