1 Saudara-saudaraku! Ketika aku datang kepadamu untuk menyampaikan rahsia Allah, aku tidak datang dengan kata-kata indah atau kebijaksanaan.
2 Sebabnya sewaktu aku bersamamu, aku telah bertekad untuk menyampaikan berita tentang Yesus Kristus semata-mata, khususnya tentang kematian-Nya di kayu salib.
3 Oleh itu, ketika aku mendekatimu, aku daif dan gementar ketakutan.
4 Dan perkhabaran serta pengajaranku tidak disampaikan dengan kata-kata hikmah yang meyakinkan. Sebaliknya aku menyampaikannya secara menunjukkan kuasa Roh.
5 Dengan demikian, imanmu bukanlah berasaskan kebijaksanaan manusia, tetapi berasaskan kuasa Allah.
6 Namun begitu, aku berkata juga tentang kebijaksanaan kepada mereka yang sudah matang kehidupan rohani. Kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia, atau kebijaksanaan para pemerintah dunia ini, kerana kuasa mereka akan punah.
7 Kebijaksanaan yang kusampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah, di luar pengetahuan manusia, yang telah diwujudkan-Nya untuk kemuliaan kita sebelum Dia mencipta dunia ini.
8 Para pemerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Kalaulah mereka tahu, mereka tidak akan menyalib Tuhan Yang Mulia.
9 Sebagaimana telah tersurat: “Apa yang belum pernah dilihat oleh mata, atau didengar oleh telinga, atau timbul dalam hati manusia, itulah yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi-Nya.”
10 Akan tetapi kepada kita, Allah menyatakannya melalui Roh-Nya, kerana Roh itu yang menyoroti segala-galanya, termasuk rahsia Allah yang paling dalam.
11 Siapakah antara kita yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri seseorang selain roh orang itu sendiri yang berada dalam dirinya? Begitulah juga tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri Allah selain Roh Allah.
12 Kita tidak menerima roh dunia ini. Kita menerima Roh daripada Allah agar mengetahui segala kurnia Allah kepada kita.
13 Jadi, segala perkara ini kami sampaikan bukan dengan kata-kata daripada kebijaksanaan manusia tetapi daripada ajaran Roh yang menggabungkan fikiran rohani dengan kata-kata rohani.
14 Orang jasmani yang tidak mempunyai Roh tidak dapat menerima hal-hal daripada Roh Allah, kerana dia menganggap hal-hal itu kebodohan semata-mata, dan dia tidak dapat memahaminya, disebabkan hal-hal itu hanya dapat dinilai secara rohani.
15 Orang rohani menilai segala-galanya tetapi tiada siapa dapat menilai orang itu.
16 Sebabnya: “Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang berupaya menasihati-Nya?” Namun demikian, kita mempunyai fikiran Kristus!

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Korintus 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Korintus 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV