1 Berkumpullah bersama-sama, berkumpullah, wahai bangsa yang tidak tahu malu,
2 sebelum ketetapan dijatuhkan, sebelum hari itu berlalu seperti sekam, sebelum murka TUHAN yang menyala-nyala datang menimpamu, sebelum hari kemurkaan TUHAN datang menimpamu.
3 Carilah hadirat TUHAN, wahai semua orang yang rendah hati di negeri, yang melaksanakan hukum-Nya. Carilah perbenaran, carilah kerendahan hati! Siapa tahu kamu akan dilindungi pada hari kemurkaan TUHAN.
4 Gaza akan ditinggalkan dan Askelon dimusnahkan. Orang Asdod akan terusir pada tengah hari dan Ekron akan tercabut sampai ke akar-akarnya.
5 Malangnya penduduk di pesisiran pantai, bangsa Kreti! Firman TUHAN menentang engkau, wahai Kanaan, tanah orang Filistin, “malah Aku akan membinasakan kamu, sehingga tiada lagi pendudukmu!”
6 Pesisir laut akan menjadi padang ragut yang berpondok bagi para gembala dan berkandang bagi kawanan domba.
7 Pesisir laut itu akan dimiliki oleh saki-baki keturunan kaum Yehuda, di sanalah mereka akan meragut rumput. Pada petang hari mereka akan berbaring di rumah-rumah Askelon, kerana TUHAN, Allah mereka, akan melawat mereka dan memulihkan keadaan mereka.
8 “Aku telah mendengar celaan Moab dan hujahan bani Amon. Mereka itu telah mencela umat-Ku dan membesarkan diri terhadap daerah umat-Ku itu.
9 Oleh sebab itu demi Aku yang hidup,” demikianlah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, “Moab akan menjadi seperti Sodom dan bani Amon seperti Gomora, tempat yang penuh jelatang dan tempat menggali garam, tempat tandus untuk selama-lamanya. Saki-baki daripada umat-Ku akan menjarah mereka, dan mereka menjadi harta pusaka bagi yang terselamat daripada bangsa-Ku.”
10 Itulah bahagian mereka sebagai ganjaran bagi keangkuhan mereka, kerana mereka telah mencela dan membesarkan diri terhadap umat milik TUHAN alam semesta.
11 TUHAN akan membuat mereka ketakutan, kerana Dia akan melenyapkan segala tuhan di bumi. Semua bangsa daerah pesisir akan sujud menyembah-Nya dari tempat masing-masing.
12 “Wahai orang Kush, kamu juga akan mati tertikam oleh pedang-Ku.”
13 Dan Dia akan menghulurkan tangan-Nya melawan Tanah Utara dan membinasakan Asyur. Dia akan menjadikan Niniwe tempat termusnah, gersang seperti gurun.
14 Kawanan haiwan akan berbaring di tengah-tengahnya, iaitu segala jenis binatang liar. Baik burung undan mahupun landak akan bermalam di kepala-kepala tiangnya. Suara nyanyi akan kedengaran di jendela dan akan ada kemusnahan di ambang pintu, kerana kayu araz telah terbongkar.
15 Itulah kota yang bersuka ria, yang tinggal dengan aman, yang berkata dalam hatinya, “Aku, dan tidak ada yang lain!” Betapa kemusnahan menimpanya, tempat berbaring bagi binatang-binatang liar. Setiap orang yang melintasinya akan mencemuh dan mengibas-ngibaskan tangan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Zefanya 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Zefanya 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV