1 Inilah firman TUHAN yang turun kepada Zefanya anak Kusyi anak Gedalya anak Amarya anak Hizkia pada zaman pemerintahan Yosia anak Amon, raja Yehuda.
2 “Aku akan melenyapkan sama sekali segala sesuatu daripada muka bumi,” demikianlah firman TUHAN.
3 “Aku akan melenyapkan manusia dan binatang, burung di udara dan ikan di laut. Aku akan menumbangkan orang fasiq dan melenyapkan manusia daripada muka bumi,” demikianlah firman TUHAN.
4 “Aku akan menjangkaukan tangan-Ku melawan Yehuda dan seluruh penduduk Yerusalem. Akan Kulenyapkan di tempat ini saki-baki Baal dan nama para imam berhala serta para imam;
5 juga kalangan yang sujud menyembah kepada cakerawala langit di atas atap-atap rumah; dan kalangan yang sujud menyembah serta bersumpah demi TUHAN, tetapi bersumpah juga demi Milkom;
6 dan kalangan yang berpaling meninggalkan TUHAN, yang tidak mencari hadirat TUHAN dan tidak mendapatkan petunjuk-Nya.
7 Berdiam dirilah di hadirat Tuhan ALLAH, kerana hari TUHAN sudah dekat. Sungguh, TUHAN telah menyiapkan upacara korban, dan telah menyucikan para undangan-Nya.
8 “Pada hari upacara korban TUHAN itu, Aku akan menghukum para pembesar, anak-anak raja, dan semua orang yang memakai pakaian asing.
9 Pada hari itu Aku akan menghukum semua orang yang melompati ambang pintu dan yang memenuhi rumah tuan mereka dengan keganasan serta tipu daya.”
10 “Pada hari itu juga,” demikianlah firman TUHAN, “akan terdengar teriakan dari Pintu Gerbang Ikan, raungan daripada kejiranan kota kedua itu, dan bunyi keruntuhan sebegitu kuat dari bukit-bukit.
11 Meraung-raunglah, wahai penduduk Maktes, kerana seluruh warga kaum pedagang sudah dikelukan dan telah lenyap semua pedagang perak.
12 Pada waktu itu Aku akan menyuluh dan menggeledah Yerusalem dan menghukum orang yang bertunjang dalam kemungkaran mereka, yang berkata dalam hati mereka, ‘TUHAN tidak akan berbuat baik dan tidak akan berbuat jahat.’
13 Kekayaan mereka akan dijarah dan rumah-rumah mereka akan punah-ranah. Mereka akan membangunkan rumah tetapi tidak akan menghuninya; mereka akan menanam kebun anggur tetapi tidak akan minum air anggurnya.”
14 “Hari TUHAN yang besar itu sudah dekat, amat dekat dan sedang datang dengan sebegitu cepat. Dengar, hari TUHAN itu pahit, kesateria pun akan memekik-mekik di dalamnya.
15 Hari itu hari kemurkaan, hari penderitaan dan pembinasaan, hari kehancuran dan kebinasaan, hari kegelapan dan kekelaman, hari berawan dan kelam pekat.
16 Hari peniupan sangkakala dan laungan perang menentang kota-kota yang berkubu serta menara penjuru yang tinggi-tinggi.
17 Aku akan mendatangkan penderitaan atas manusia, hinggakan mereka berjalan seperti orang buta, kerana mereka telah berdosa terhadap TUHAN. Darah mereka akan tertumpah seperti debu dan daging mereka seperti najis.
18 Perak ataupun emas mereka tidak mampu menyelamatkan mereka pada hari kemurkaan TUHAN. Seluruh bumi habis dimamah oleh api cemburu-Nya, kerana suatu kesudahan yang sungguh dahsyat akan diadakan-Nya terhadap seluruh penduduk bumi.”