1 Datanglah firman TUHAN alam semesta, kepadaku demikian,
2 “Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Aku begitu terusik kerana cemburu-Ku terhadap Sion dan Aku sangat murka kerana cemburu-Ku terhadapnya.
3 Beginilah firman TUHAN, ‘Aku akan kembali ke Sion dan bersemayam di tengah-tengah Yerusalem. Dan Yerusalem akan disebut Kota Setia, manakala gunung TUHAN alam semesta, akan disebut Gunung Suci.’
4 Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Akan ada lagi golongan datuk dan nenek yang duduk di tempat-tempat umum di Yerusalem, masing-masing memegang tongkat kerana lanjut usianya.
5 Tempat-tempat umum kota itu akan penuh dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bermain-main di situ.’
6 Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Kalau hal itu ajaib bagi saki-baki umat ini pada masa ini, bukankah hal itu ajaib juga bagi-Ku?’ demikianlah firman TUHAN alam semesta.
7 Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Sesungguhnya, Aku akan menyelamatkan umat-Ku dari negeri sebelah timur dan dari negeri sebelah barat.
8 Akan Kubawa mereka pulang untuk tinggal di Yerusalem. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka dalam kesetiaan dan kebenaran.’
9 Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Kuatkanlah keyakinanmu, wahai kamu yang pada hari-hari ini mendengar firman ini, iaitu firman yang diucapkan oleh para nabi pada waktu dasar Bait TUHAN alam semesta, diletakkan untuk membina Bait Suci itu.
10 Sebelum hari-hari ini, tidak ada upah bagi manusia ataupun binatang. Orang tidak dapat keluar masuk dengan aman kerana gangguan lawan, sebab Aku membuat semua manusia bertengkar antara satu sama lain.
11 Tetapi sekarang, Aku tidak akan memperlakukan saki-baki umat ini seperti pada waktu dahulu,’ demikianlah firman TUHAN alam semesta.
12 ‘Benih akan disemai dalam suasana kedamaian. Pokok anggur akan berbuah, tanah akan memberikan hasil, dan langit akan menitiskan embun. Aku akan membuat saki-baki umat ini mewarisi semua itu.
13 Jadi, sebagaimana kamu telah menjadi kutukan dalam kalangan bangsa, wahai keturunan kaum Yehuda dan keturunan kaum Israel, demikianlah Aku akan menyelamatkan kamu sehingga kamu menjadi berkat. Jangan takut, kuatkanlah keyakinanmu!’
14 Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Sebagaimana Aku bermaksud mendatangkan malapetaka atasmu ketika nenek moyangmu membangkitkan murka-Ku, dan Aku tidak berbelas kasihan,’ firman TUHAN alam semesta,
15 ‘demikianlah pada waktu ini Aku kembali bermaksud mendatangkan kebaikan atas Yerusalem dan atas keturunan kaum Yehuda. Jangan takut!
16 Hal-hal inilah yang harus kamu lakukan: Bercakap benar antara satu sama lain, laksanakan penghakiman yang benar dan yang mendatangkan damai di tempat pengadilanmu.
17 Janganlah merancang kejahatan dalam hatimu terhadap satu sama lain dan janganlah mencintai sumpah dusta, kerana semua itu Kubenci,’ demikianlah firman TUHAN.”
18 Datanglah firman TUHAN alam semesta, kepadaku demikian,
19 “Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Puasa pada bulan keempat, bulan kelima, bulan ketujuh, dan bulan kesepuluh akan menjadi kegirangan, kegembiraan, serta hari perayaan yang menyenangkan bagi keturunan kaum Yehuda. Oleh sebab itu cintailah kebenaran dan damai!’ ”
20 Beginilah firman TUHAN alam semesta, “Masih akan datang lagi suku-suku bangsa dan penduduk banyak kota.
21 Penduduk kota yang satu akan pergi kepada penduduk kota yang lain sambil berkata, ‘Mari kita pergi memohon belas kasihan TUHAN dan mencari hadirat TUHAN alam semesta. Aku pun mahu pergi.’
22 Banyak suku bangsa dan bangsa-bangsa yang kuat akan datang mencari hadirat TUHAN alam semesta, di Yerusalem dan memohon belas kasihan-Nya.”
23 Beginilah firman TUHAN alam semesta, “Pada masa itu, sepuluh orang daripada segala bangsa dan bahasa akan memegang erat-erat punca jubah seorang Yahudi sambil berkata, ‘Kami mahu pergi bersama-samamu, kerana kami telah mendengar bahawa Allah menyertai kamu.’ ”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Zakharia 8
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Zakharia 8

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV