1 Seluruh kalangan umat Israel berkumpul di Silo dan mendirikan Khemah Pertemuan di sana, kerana negeri itu sudah menjadi jajahan takluk mereka.
2 Masih tinggal tujuh suku lagi antara orang Israel yang belum mendapat bahagian harta pusaka mereka.
3 Maka kata Yosua kepada orang Israel, “Berapa lama lagi kamu mahu melengah menduduki negeri yang telah dikurniakan TUHAN, Allah nenek moyangmu, kepadamu?
4 Pilihlah tiga orang daripada setiap suku. Aku akan mengutus mereka untuk segera menjelajahi negeri itu dan mencatat keadaannya, menurut harta pusaka masing-masing, dan setelah itu kembali kepadaku.
5 Hendaklah mereka membahaginya menjadi tujuh bahagian. Suku Yehuda akan tetap tinggal di daerahnya di sebelah selatan dan bani Yusuf akan tetap tinggal di daerahnya di sebelah utara.
6 Kamu mesti mencatat keadaan negeri itu di tujuh bahagian lalu membawa catatan itu kepadaku. Aku akan mencabut undi bagimu di sini, di hadapan TUHAN, Allah kita.
7 Suku Lewi tidak mendapatkan bahagian antara kamu, kerana jawatan imam TUHAN ialah harta pusaka mereka. Suku Gad, suku Ruben, dan separuh suku Manasye telah menerima harta pusaka mereka di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan kepada mereka oleh Musa, hamba TUHAN itu.”
8 Maka segeralah berangkat tiga orang yang terpilih daripada setiap suku itu dengan perintah Yosua supaya mereka mencatat keadaan negeri itu, katanya, “Pergilah dan jelajahilah negeri itu. Catatlah keadaannya lalu kembalilah kepadaku. Aku akan mencabut undi bagi kamu di sini, di hadapan TUHAN, di Silo.”
9 Maka pergilah mereka yang terpilih itu menjelajahi negeri itu dan mencatat keadaan kota demi kota di tujuh bahagian dalam sebuah kitab. Setelah itu, mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan, di Silo.
10 Lalu Yosua mencabut undi bagi mereka di Silo, di hadapan TUHAN. Di situlah dia membahagi-bahagikan negeri itu kepada orang Israel dengan setiap suku menerima bahagian masing-masing.
11 Undian terjatuh kepada suku bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka dan wilayah yang diperuntukkan untuk mereka terletak di antara wilayah bani Yehuda dengan wilayah bani Yusuf.
12 Di sebelah utara, sempadan daerah mereka bermula dari Sungai Yordan kemudian naik ke lereng gunung di sebelah utara Yerikho, lalu naik ke pergunungan di sebelah barat, dan berakhir di Gurun Bet-Awen.
13 Dari situ, sempadan itu menganjur ke Lus, ke lereng gunung di sebelah selatan Lus, iaitu Betel dan seterusnya turun ke Atarot-Adar dekat gunung yang terletak di sebelah selatan Bet-Horon Hilir.
14 Selanjutnya sempadan itu membelok di sebelah barat menuju ke sebelah selatan gunung di seberang selatan Bet-Horon dan berakhir di Kiryat-Baal, iaitu Kiryat-Yearim, sebuah kota milik bani Yehuda. Itulah sisi sebelah baratnya.
15 Sempadan sebelah selatan bermula dari hujung Kiryat-Yearim, lalu keluar ke sebelah barat menuju mata air Neftoah.
16 Kemudian sempadan itu turun ke hujung gunung di seberang Lembah Ben-Hinom, yang terletak di sebelah utara lembah orang Refaim, lalu turun ke Lembah Hinom, sebelah selatan lereng gunung orang Yebus, dan turun ke En-Rogel.
17 Kemudian sempadan itu membelok ke sebelah utara, keluar ke En-Semes, menuju wilayah yang berhadapan dengan tanjakan Adumim dan seterusnya turun ke batu Bohan anak Ruben.
18 Sempadan itu berlanjutan ke sebelah utara lereng gunung di seberang Bet-Araba, lalu turun ke Araba
19 dan kemudian berlanjutan lagi ke sebelah utara lereng Gunung Bet-Hogla dan berakhir di teluk utara Laut Mati, di muara selatan Sungai Yordan. Itulah sempadan selatannya.
20 Sungai Yordan ialah sempadan sebelah timurnya. Itulah harta pusaka bani Benyamin dengan sempadan di sekelilingnya menurut kaum-kaum mereka.
21 Inilah kota-kota suku bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka: Yerikho, Bet-Hogla, Emek-Kezis,
22 Bet-Araba, Zemaraim, Betel,
23 Haawim, Para, Ofra,
24 Kefar-Haamonai, Ofni, Geba; dua belas buah kota berserta desa-desanya.
25 Gibeon, Rama, Beerot,
26 manakala Mizpa, Kefira, Moza,
27 Rekem, Yirpeel, Tarala,
28 Zela, Elef, Yebus, iaitu Yerusalem, Gibea, Kiryat ialah empat belas buah kota lagi dengan desa-desanya. Itulah harta pusaka bani Benyamin menurut kaum-kaum mereka.