1 Inilah harta pusaka yang diterima oleh orang Israel di Tanah Kanaan. Harta pusaka itu dibahagikan kepada mereka oleh Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan ketua kaum keluarga suku-suku orang Israel.
2 Pembahagian harta pusaka itu dibuat dengan mencabut undi, seperti yang diperintahkan TUHAN dengan perantaraan Musa mengenai sembilan setengah suku itu.
3 Dua setengah suku lainnya telah diberi harta pusaka oleh Musa di seberang Sungai Yordan. Hanya, kepada suku Lewi dia tidak memberikan harta pusaka di tengah-tengah mereka.
4 Bani Yusuf terdiri daripada dua suku, iaitu Manasye dan Efraim, sehingga tidak ada bahagian yang diberikan kepada suku Lewi di negeri itu, kecuali kota-kota untuk dihuni berserta padang-padang ragut untuk ternakan dan kawanan haiwan mereka.
5 Seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, demikianlah dilakukan orang Israel. Mereka pun membahagi-bahagi negeri itu.
6 Bani Yehuda datang menghadap Yosua di Gilgal. Pada waktu itu Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, berkata kepadanya, “Engkau tahu firman yang disampaikan TUHAN kepada Musa, hamba Allah itu, mengenai aku dan mengenai engkau di Kadesh-Barnea.
7 Aku berumur empat puluh tahun ketika Musa, hamba TUHAN itu, mengutus aku dari Kadesh-Barnea untuk mengintip negeri ini, dan aku kembali kepadanya membawa laporan yang selaras dengan hati nuraniku.
8 Saudara-saudaraku yang pergi bersama-samaku membuat hati bangsa ini tawar, tetapi aku tetap mengikuti TUHAN, Allahku, dengan sepenuh hati.
9 Pada hari itu Musa berjanji dengan bersumpah, katanya, ‘Sesungguhnya, negeri yang diinjak kakimu itu akan menjadi harta pusakamu dan anak-anakmu untuk selama-lamanya, kerana engkau telah mengikuti TUHAN, Allahku, dengan sepenuh hati.’
10 Sekarang lihatlah, TUHAN telah memelihara hidupku, seperti yang difirmankan-Nya. Kini sudah empat puluh lima tahun lamanya sejak TUHAN menyampaikan firman itu kepada Musa, sementara orang Israel mengembara di gurun. Sekarang, inilah aku. Hari ini usiaku sudah lapan puluh lima tahun,
11 dan hari ini aku masih sama kuat seperti ketika Musa mengutus aku. Kekuatanku sekarang masih seperti kekuatanku pada saat itu, baik untuk berperang mahupun untuk kegiatan lainnya.
12 Oleh sebab itu berikanlah kepadaku gunung ini, yang dijanjikan TUHAN pada saat itu. Engkau sendiri mendengar pada saat itu bahawa orang Enak ada di sana dengan kota-kota mereka yang besar dan berkubu. Mudah-mudahan TUHAN menyertai aku, sehingga aku dapat mengusir mereka seperti yang difirmankan TUHAN.”
13 Kemudian Yosua memohonkan berkat baginya dan memberikan Hebron kepada Kaleb anak Yefune sebagai harta pusaka.
14 Itulah sebabnya Hebron menjadi harta pusaka Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, sampai hari ini, kerana dia telah mengikuti TUHAN, Allah Israel, dengan sepenuh hati.
15 Nama Hebron sebelumnya ialah Kiryat-Arba. Arba orang yang terbesar antara orang Enak. Maka amanlah negeri itu daripada peperangan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yosua 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yosua 14

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV