1 Ketika Yosua sudah tua dan telah lanjut usianya, TUHAN berfirman kepadanya, “Usia engkau sudah begitu lanjut padahal masih ada banyak lagi negeri yang belum ditawan.
2 Inilah negeri yang belum ditawan: seluruh wilayah orang Filistin dan seluruh negeri bani Gesur,
3 mulai Sungai Sikhor di sebelah timur Mesir sampai ke sempadan Ekron di sebelah utara – semua itu termasuk negeri bani Kanaan yang dimiliki oleh lima orang raja orang Filistin, iaitu di Gaza, Asdod, Askelon, Gat, dan Ekron – serta negeri bani Awi
4 di sebelah selatan; seluruh negeri bani Kanaan dan Meara, milik orang Sidon, sampai ke Afek, ke sempadan daerah bani Amori;
5 negeri orang Gebal dan seluruh Lebanon di arah matahari terbit, dari Baal-Gad di kaki Gunung Hermon sampai ke jalan masuk Hamat;
6 serta seluruh penduduk pergunungan dari Lebanon sampai ke Misrefot-Maim, iaitu semua orang Sidon. Aku sendirilah yang akan mengusir mereka dari hadapan orang Israel. Hanya bahagi-bahagikanlah negeri itu dahulu sebagai harta pusaka orang Israel, seperti yang Kuperintahkan kepadamu.
7 Sekarang, bahagi-bahagikanlah negeri ini sebagai harta pusaka bagi sembilan suku dan separuh suku Manasye itu.”
8 Separa suku Manasye yang lagi satu serta suku Ruben dan suku Gad telah menerima harta pusaka yang diberikan Musa kepada mereka di sebelah timur Sungai Yordan, sebagaimana ditentukan bagi mereka oleh Musa, hamba TUHAN itu.
9 Wilayah mereka itu dari Aroer di tepi Lembah Arnon, baik kota di tengah lembah itu mahupun seluruh Dataran Tinggi Medeba, sampai ke Dibon;
10 semua kota Sihon, raja bani Amori yang bertakhta di Hesbon, sampai ke sempadan daerah bani Amon;
11 Gilead serta daerah bani Gesur dan bani Maakha, seluruh Gunung Hermon dan seluruh Basan sampai ke Salkha;
12 serta seluruh kerajaan Og di Basan, yang bertakhta di Astarot dan di Edrei. Dialah antara saki-baki bani Refaim yang telah dikalahkan dan diusir oleh Musa.
13 Tetapi orang Israel tidak mengusir bani Gesur dan bani Maakha, sehingga bani Gesur dan bani Maakha masih tinggal antara orang Israel sampai hari ini.
14 Hanya, Musa tidak memberikan harta pusaka kepada suku Lewi, kerana harta pusaka mereka ialah segala korban bakaran sebagai persembahan kepada TUHAN, Allah Israel, seperti yang difirmankan-Nya kepada mereka.
15 Kepada suku bani Ruben, Musa telah memberikan bahagian menurut kaum-kaum mereka:
16 Wilayah milik mereka bermula dari Aroer di tepi Lembah Arnon dan kota yang di tengah-tengah lembah itu serta seluruh dataran tinggi dekat Medeba;
17 Hesbon dan semua kotanya di dataran tinggi, iaitu Dibon, Bamot-Baal, Bet-Baal-Meon,
18 Yahas, Kedemot, Mefaat,
19 Kiryataim, Sibma, Zeret-Hasahar di atas gunung di lembah itu,
20 Bet-Peor, lereng-lereng Gunung Pisga, Bet-Yesimot,
21 semua kota di dataran dan seluruh kerajaan Sihon, raja bani Amori yang bertakhta di Hesbon. Dia dikalahkan oleh Musa, sekali gus dengan para pemimpin Midian, iaitu Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba – para raja bawahan Sihon yang tinggal di negeri itu.
22 Bileam anak Beor, si penenung, juga dibunuh oleh orang Israel dengan mata pedang, bersama-sama semua orang lain yang ditumpaskan mereka.
23 Jadi, sempadan daerah bani Ruben ialah Sungai Yordan. Itulah harta pusaka bani Ruben menurut kaum-kaum mereka dengan kota-kota dan desa-desa mereka.
24 Kepada suku Gad, iaitu bani Gad, Musa memberikan bahagian mereka menurut kaum-kaum mereka:
25 Wilayah milik mereka ialah Yaezer dan semua kota di Gilead serta setengah negeri bani Amon sampai ke Aroer di sebelah timur Raba;
26 lalu dari Hesbon sampai ke Ramat-Mizpa dan Betonim, dari Mahanaim sampai ke daerah Debir;
27 daerah di lembah meliputi Bet-Haram, Bet-Nimra, Sukot, dan Zafon, saki-baki kerajaan Sihon, raja Hesbon; serta Sungai Yordan dan daerah tepinya sampai ke hujung Danau Kineret di sebelah timur Sungai Yordan.
28 Itulah harta pusaka bani Gad menurut kaum-kaum mereka dengan kota-kota dan desa-desa mereka.
29 Musa juga memberikan bahagian kepada separa suku Manasye, iaitu setengah suku bani Manasye menurut kaum-kaum mereka.
30 Wilayah milik mereka bermula dari Mahanaim, seluruh Basan, iaitu seluruh kerajaan Og, raja Basan, dan semua kota Yair di Basan, enam puluh kota banyaknya.
31 Setengah wilayah Gilead bersama Astarot dan Edrei, kota-kota kerajaan Og di Basan, menjadi bahagian bani Makhir anak Manasye, iaitu separuh daripada bani Makhir menurut kaum-kaum mereka.
32 Itulah pembahagian daerah-daerah harta pusaka oleh Musa di Dataran Moab, iaitu di seberang Sungai Yordan, di sebelah timur Yerikho.
33 Tetapi kepada suku Lewi, Musa tidak memberikan harta pusaka. Harta pusaka mereka ialah TUHAN, Allah Israel, seperti yang difirmankan-Nya kepada mereka.