1 TUHAN berfirman kepadaku, “Ambillah sebuah batu tulis yang besar dan pahatkanlah di atasnya dengan huruf-huruf biasa: Maher-Syalal Has-Bas.”
2 Maka aku memanggil saksi-saksi yang dapat dipercayai untuk naik saksi, iaitu Imam Uria dan Zakharia anak Yeberekhya.
3 Kemudian aku menghampiri isteriku, nabiah itu lalu dia mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Namailah dia Maher-Syalal Has-Bas,
4 kerana sebelum anak itu tahu menyebut, ‘Ayahku’ atau ‘Ibuku’ kekayaan Damsyik dan hasil jarahan Samaria akan diangkut ke hadapan raja Asyur.”
5 TUHAN berfirman lagi kepadaku demikian,
6 “Kerana bangsa ini menolak air Syiloah yang mengalir perlahan-lahan, dan bergirang kerana Rezin serta anak Remalya,
7 maka sesungguhnya Tuhan mendatangkan air sungai yang mengalir deras dan berlimpahan bagi mereka, iaitu raja Asyur dengan segala kemuliaannya. Air ini akan meluap melampaui segala salurannya dan akan mengalir melampaui segala tepiannya
8 lalu menerobos meliputi Yehuda dan melandanya hingga mencapai leher. Sayap-sayapnya yang terkembang akan memenuhi luas negerimu, wahai Immanuel!
9 Hancurlah, wahai bangsa-bangsa! Bertaburanlah! Perhatikanlah, wahai segala negeri yang jauh! Lengkapilah dirimu, dan bertaburanlah! Lengkapilah dirimu, dan bertaburanlah!
10 Susunkanlah rancangan, tetapi itu akan dibatalkan. Ajukanlah usul, tetapi itu tidak akan terlaksana, kerana Allah menyertai kami.”
11 Sesungguhnya, beginilah firman TUHAN apabila tangan-Nya menguasai aku dan apabila Dia mendidik aku supaya tidak mengikuti jalan bangsa ini,
12 “Semua yang disebut bangsa ini sebagai persekongkolan jangan kamu sebut persekongkolan. Apa yang ditakuti mereka jangan kamu takuti, dan jangan gentar kerananya.
13 Tetapi TUHAN alam semesta, Dialah yang patut kamu sebut suci, kepada-Nyalah kamu harus takut, dan kepada-Nyalah kamu harus gentar.
14 Dia akan menjadi suatu tempat suci. Tetapi bagi kedua-dua keturunan kaum Israel Dia akan menjadi batu sandungan yang menyebabkan orang tersandung dan batu pejal yang membuat mereka terjatuh. Bagi penduduk Yerusalem Dia akan menjadi perangkap dan jerat.
15 Ramai orang akan tersandung kepadanya, lalu jatuh dan terluka, terjerat dan tertangkap.”
16 Tutupkanlah peringatan Ilahi ini dan materaikanlah hukum Taurat dalam kalangan muridku.
17 Aku hendak menanti-nantikan TUHAN yang menyembunyikan hadirat-Nya daripada keturunan kaum Yakub. Aku hendak berharap kepada-Nya.
18 Sesungguhnya, aku dan anak-anak yang diberikan TUHAN kepadaku ialah tanda dan lambang di Israel daripada TUHAN alam semesta, yang bersemayam di Gunung Sion.
19 Apabila orang berkata kepada kamu, “Carilah petunjuk daripada para pemanggil arwah serta para ahli sihir yang meracau dan terkumat-kamit,” maka jawablah, “Bukankah sesuatu bangsa patut meminta petunjuk daripada Allah mereka? Patutkah petunjuk untuk orang yang hidup dicari mereka daripada orang yang mati?”
20 Carilah hukum Taurat dan peringatan Ilahi! Jika mereka tidak berbicara selaras dengan perkataan ini, maka bagi mereka tidak ada cahaya fajar.
21 Mereka akan melintasi negeri itu dengan susah payah dan kelaparan. Apabila mereka lapar, mereka akan marah dan mengutuk raja serta Allah mereka sambil menengadah ke langit.
22 Kemudian mereka akan memandang ke bumi, dan tampaklah kesesakan serta kegelapan, iaitu kesuraman yang menyesakkan. Lalu mereka akan dihalau ke dalam kekelaman.