1 Beginilah firman TUHAN, “Langit takhta-Ku dan bumi alas kaki-Ku. Rumah apakah yang hendak kamu bina untuk-Ku, dan di manakah tempat rehat-Ku?
2 Bukankah Aku sendiri yang telah mencipta semua ini sehingga semua ini jadi,” demikianlah firman TUHAN. “Tetapi kepada orang inilah Aku memandang: kepada kalangan yang tertindas, yang patah semangat, dan yang takut kepada firman-Ku.
3 Sesiapa yang menyembelih lembu, dia juga seperti orang yang membunuh manusia. Sesiapa yang mengorbankan anak domba, dia seperti orang yang mematahkan leher anjing. Sesiapa yang memberikan persembahan bahan makanan, dia seperti orang yang mempersembahkan darah babi. Sesiapa yang mempersembahkan kemenyan, dia seperti orang yang memuja berhala. Ya, mereka yang memilih jalan mereka sendiri, jiwa mereka menyukai kejijikan mereka.
4 Oleh sebab itu Aku pun memilih perlakuan sewenang-wenang bagi mereka dan mendatangkan apa yang ditakuti mereka kepada mereka, kerana apabila Aku berseru, tidak ada yang menjawab, apabila Aku berfirman, tidak ada yang mendengar. Mereka melakukan apa yang jahat di mata-Ku dan memilih apa yang tidak Kuperkenan.”
5 Dengarlah firman TUHAN, wahai kamu yang takut kepada firman-Nya, “Para saudaramu yang membenci kamu dan yang mengusir kamu kerana nama-Ku telah berkata, ‘Biarlah TUHAN menyatakan kemuliaan-Nya, supaya kami dapat melihat sukacitamu!’ Tetapi mereka sendirilah yang akan malu.
6 Ada bunyi kegemparan dari kota, suara dari Bait Suci! Itulah suara TUHAN mengadakan pembalasan kepada musuh-musuh-Nya.
7 Sebelum menggeliat sakit, dia sudah beranak. Sebelum rasa sakit menimpa, dia sudah melahirkan anak lelaki.
8 Siapakah yang pernah mendengar hal semacam ini? Siapakah yang pernah melihat hal-hal semacam ini? Masakan sebuah negeri diperanakkan dalam satu hari? Masakan sebuah bangsa dilahirkan sedetik? Tetapi baru sahaja Sion menggeliat sakit, ia sudah melahirkan anak-anaknya.
9 Masakan Aku membuka rahim orang, tetapi tidak membuatnya bersalin?” demikianlah firman TUHAN. “Masakan Aku membuat orang bersalin, tetapi menutup rahimnya?” demikianlah firman Allahmu.
10 “Bersukacitalah dengan Yerusalem dan bergembiralah kerana dia, wahai semua orang yang mengasihinya! Bergiranglah segirang-girangnya dengan dia, wahai semua orang yang berkabung kerananya,
11 supaya kamu dapat menyusu dan menjadi kenyang oleh buah dadanya yang menyegarkan; supaya kamu dapat menghisap dan bersenang-senang oleh kekayaannya yang berlimpah-limpah.”
12 Beginilah firman TUHAN, “Sesungguhnya, Aku akan mengalirkan kepadanya kedamaian seperti sungai, dan kekayaan bangsa-bangsa seperti sungai yang meluap-luap. Kamu akan menyusu, digendong, dan dibelai-belai di pangkuannya.
13 Seperti seorang yang dihiburkan oleh ibunya, demikianlah Aku akan menghiburkan kamu. Kamu akan dihiburkan di Yerusalem.”
14 Apabila kamu melihatnya, hatimu akan bergirang, tulang-tulangmu akan berkembang seperti rumput muda. Kuasa TUHAN akan dinyatakan kepada hamba-hamba-Nya, dan murka-Nya kepada musuh-musuh-Nya.
15 Sesungguhnya, TUHAN akan datang dengan api, dan rata-rata-Nya akan seperti angin puting beliung. Murka-Nya akan didatangkan-Nya dengan panas dan herdikan-Nya dengan nyala api,
16 kerana TUHAN akan menghakimi semua manusia dengan api dan dengan pedang-Nya, sehingga ramailah orang yang akan dihukum mati oleh TUHAN.
17 “Orang yang menyucikan dan membersihkan diri untuk masuk ke taman-taman, mengikuti seorang yang ada di tengah-tengahnya sambil memakan daging babi, binatang-binatang menjijikkan dan tikus – mereka itu akan dibinasakan bersama-sama,” demikianlah firman TUHAN.
18 “Aku tahu pekerjaan dan fikiran mereka. Aku datang untuk mengumpulkan orang daripada segala bangsa dan bahasa. Mereka akan datang dan melihat kemuliaan-Ku.
19 Aku akan menaruh tanda antara mereka dan akan mengutus orang mereka yang terselamat kepada bangsa-bangsa, iaitu ke Tarsis, ke Pul dan Lud (para pemanah itu), ke Tubal dan Yunani, ke pulau-pulau yang jauh, yang belum pernah mendengar khabar tentang Aku dan yang belum pernah melihat kemuliaan-Ku. Mereka akan menyatakan kemuliaan-Ku di antara bangsa.
20 Mereka akan membawa semua saudaramu daripada kalangan segala bangsa sebagai persembahan kepada TUHAN di atas kuda, rata, tandu, keldai, dan unta ke gunung-Ku yang suci, ke Yerusalem, demikianlah firman TUHAN, sebagaimana orang Israel membawa persembahan mereka dalam wadah yang suci ke Bait TUHAN.
21 Aku pun akan mengangkat beberapa orang daripada mereka sebagai imam dan orang Lewi,” demikianlah firman TUHAN.
22 “Seperti langit yang baru dan bumi yang baru yang akan Kujadikan itu tetap ada di hadapan-Ku,” demikianlah firman TUHAN, “demikianlah keturunanmu dan namamu akan tetap ada.
23 Kelak, dari bulan ke bulan, dari hari Sabat ke hari Sabat, semua manusia akan datang menyembah di hadirat-Ku,” demikianlah firman TUHAN.
24 “Mereka akan keluar dan memandang bangkai-bangkai orang yang telah menderhaka kepada-Ku. Sungguh, ulat-ulatnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam. Semua itu akan menjadi kejijikan bagi semua manusia.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 66
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 66

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV