1 “Aku berkenan menyatakan diri kepada orang tidak memohon kehadiran-Ku. Aku berkenan ditemui orang yang tidak mencari-Ku. Kepada bangsa yang tidak memanggil nama-Ku, Aku berkata, ‘Ini Aku, ini Aku!’
2 Sepanjang hari telah Kuhulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang keras kepala, yang melangkah di jalan yang tidak baik menurut fikiran mereka sendiri.
3 Mereka bangsa yang sentiasa membangkitkan murka-Ku di hadapan-Ku dengan mempersembahkan korban di taman-taman dan membakar dupa di atas batu bata.
4 Mereka duduk di perkuburan dan bermalam di tempat-tempat tertutup. Mereka makan daging babi, dan kuah daging haram ada di dalam periuk belanga mereka.
5 Kata mereka, ‘Jaga jarak! Jangan mendekatiku kerana aku lebih suci daripada kamu.’ Orang ini seperti asap yang masuk ke dalam hidung-Ku, seperti api yang menyala sepanjang hari.
6 Sesungguhnya, beginilah tertulis di hadapan-Ku: Aku tidak akan berdiam diri, melainkan akan membalas, ya, membalas perbuatan mereka
7 kesalahan mereka dan juga kesalahan nenek moyang mereka,” demikianlah firman TUHAN. “Kerana mereka membakar dupa di atas gunung-gunung dan mencela Aku di atas bukit-bukit, Aku akan menghukum mereka setimpal dengan dosa kesalahan mereka.”
8 Beginilah firman TUHAN, “Seperti kata orang jika air anggur masih didapati pada tandannya, ‘Jangan musnahkan itu kerana masih ada berkat di dalamnya,’ demikianlah Aku akan bertindak demi hamba-hamba-Ku. Aku tidak akan memusnahkan mereka seluruhnya.
9 Aku akan membangkitkan keturunan daripada Yakub, dan orang yang akan mewarisi gunung-gunung-Ku daripada Yehuda. Orang pilihan-Ku akan mewarisinya dan hamba-hamba-Ku akan berdiam di sana.
10 Saron akan menjadi padang rumput ternak bagi kawanan domba dan Lembah Akhor menjadi tempat berbaring bagi kawanan lembu, untuk umat-Ku yang mencari hadirat-Ku.
11 Tetapi kamu yang meninggalkan TUHAN dan melupakan gunung-Ku yang suci, yang mengatur meja bagi Dewa Gad dan mengisi cawan dengan air anggur campuran bagi Dewa Meni,
12 Aku akan menentukan kamu bagi pedang dan kamu semua akan berlutut untuk disembelih, kerana apabila Aku memanggil, kamu tidak menjawab, apabila Aku berfirman, kamu tidak mendengar. Kamu melakukan apa yang jahat di mata-Ku dan memilih apa yang tidak Kuperkenan.”
13 Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku akan makan, tetapi kamu akan kelaparan. Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku akan minum, tetapi kamu akan kehausan. Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku akan bersukacita, tetapi kamu akan diaibkan.
14 Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku akan bersorak-sorai kerana riang hati, tetapi kamu akan berteriak kerana bersedih dan meraung-raung kerana patah semangat.
15 Kamu akan membiarkan namamu digunakan sebagai kutukan oleh orang pilihan-Ku. Tuhan ALLAH akan membunuh engkau, tetapi hamba-hamba-Nya akan disebut dengan nama lain.
16 Sesiapa yang memohon berkat di negeri, akan memohon berkat demi Allah yang Maha Benar; siapa yang bersumpah di negeri, akan bersumpah demi Allah yang Maha Benar, kerana segala kesesakan yang dahulu telah dilupakan dan telah tersembunyi daripada mata-Ku.”
17 “Sesungguhnya, Aku akan menciptakan langit yang baru dan bumi yang baru. Hal-hal yang dahulu tidak akan diingat lagi dan tidak akan timbul lagi dalam hati.
18 Tetapi bergiranglah dan bergembiralah untuk selama-lamanya atas apa yang akan Kuciptakan, kerana sesungguhnya, Aku akan menciptakan Yerusalem menjadi suatu kegembiraan dan penduduknya suatu kegirangan.
19 Aku akan bergembira kerana Yerusalem dan bergirang kerana umat-Ku. Suara tangisan tidak akan terdengar lagi di dalamnya, begitu pula suara jeritan.
20 Di sana tidak akan ada lagi bayi yang hanya hidup beberapa hari, atau orang tua yang tidak lanjut umur mereka. Orang yang mati pada umur seratus tahun akan dianggap masih muda, dan orang yang tidak mencapai umur seratus tahun akan dianggap kena kutuk.
21 Mereka akan membina rumah-rumah dan menghuninya, mereka akan menanami kebun-kebun anggur dan memakan buahnya.
22 Mereka tidak akan membina sesuatu untuk dihuni orang lain, mereka tidak akan menanam sesuatu untuk dimakan orang lain, kerana sebagaimana umur pokok, demikianlah umur umat-Ku. Orang pilihan-Ku akan menikmati pekerjaan tangan mereka.
23 Mereka tidak akan berjerih lelah dengan percuma, dan tidak akan melahirkan anak yang mati mendadak, kerana mereka ialah keturunan orang yang diberkati TUHAN, begitu pula anak cucu mereka yang ada bersama-sama mereka.
24 Sebelum mereka berseru kepada-Ku, Aku sudah menjawab. Sewaktu mereka sedang berkata-kata, Aku sudah mendengar.
25 Serigala dan anak domba akan meragut rumput bersama-sama, singa akan makan jerami seperti lembu, sedangkan debu akan menjadi makanan ular. Tidak ada yang akan berbuat jahat ataupun berlaku binasa di seluruh gunung-Ku yang suci,” demikianlah firman TUHAN.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 65
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 65

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV