1 Roh Tuhan ALLAH ada padaku, kerana TUHAN telah mengurapi aku untuk membawa khabar baik kepada orang yang tertindas. Dia mengutus aku untuk membalut hati yang hancur, untuk mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan dan kelepasan bagi para tahanan;
2 untuk mengisytiharkan tahun keredaan TUHAN dan hari pembalasan Allah kita; untuk menghiburkan semua yang berkabung;
3 untuk memberi orang yang berkabung di Sion, ya, untuk mengurniai mereka perhiasan kepala sebagai ganti abu, minyak kegirangan sebagai ganti perkabungan, dan jubah puji-pujian sebagai ganti semangat yang pudar. Mereka akan disebut “Pokok oak perbenaran,” yang ditanam TUHAN supaya Dia dipermuliakan.
4 Mereka akan membina semula tempat-tempat yang sudah lama rosak dan menegakkan kembali tempat-tempat yang dahulunya sunyi. Mereka akan memperelok semula kota-kota yang rosak, yang telah menjadi sunyi turun-temurun.
5 Orang asing akan melayani kamu sebagai gembala kawanan kambing dombamu, orang luar akan menjadi pembajak tanahmu dan pengurus kebun anggurmu.
6 Tetapi kamu akan disebut para imam TUHAN, dan akan dinamai para hamba Allah kita. Kamu akan menikmati kekayaan bangsa-bangsa dan akan memegahkan diri dalam kelimpahan mereka.
7 Sebagai ganti rasa malumu, kamu akan menerima dua kali ganda, dan sebagai ganti aib, orang akan bersorak-sorai atas bahagian yang diperoleh mereka. Demikianlah mereka akan menerima warisan dua kali ganda di negeri mereka, dan kesukaan yang kekal akan menjadi milik mereka,
8 kerana Aku, TUHAN, mencintai keadilan, dan membenci perampasan serta kezaliman. Aku akan memberi mereka upah dengan benar dan mengikat perjanjian yang kekal dengan mereka.
9 Keturunan mereka akan terkenal di antara bangsa dan anak cucu mereka dalam kalangan suku bangsa. Semua orang yang melihat mereka akan mengakui bahawa mereka memang keturunan yang diberkati TUHAN.
10 Aku sangat bergirang di dalam TUHAN, jiwaku bergembira di dalam Allahku, kerana Dia mengenakan pakaian penyelamatan kepadaku dan menyelubungi aku dengan jubah perbenaran, seperti pengantin lelaki memakai perhiasan kepala dan pengantin perempuan berhias diri dengan barang kemasnya.
11 Sesungguhnya, seperti bumi mengeluarkan tunasnya dan seperti kebun menumbuhkan apa yang ditabur di dalamnya, demikianlah Tuhan ALLAH akan menumbuhkan perbenaran dan puji-pujian di hadapan segala bangsa.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 61
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 61

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV