1 Malangnya mahkota kemegahan para pemabuk Efraim dan bunga layu yang amat mulia keindahan, yang ada di kepala lembah subur, tempat orang tersungkur oleh air anggur!
2 Lihat, pada Tuhan ada seorang yang kuat dan tegap. Seperti angin ribut disertai hujan batu, iaitu badai yang membinasakan, seperti angin ribut disertai air bah yang meluap-luap, dia akan menghempaskan mereka ke bumi dengan tangannya.
3 Mahkota kemegahan para pemabuk Efraim akan diinjak-injak orang.
4 Bunga layu, iaitu perhiasannya yang indah, yang ada di atas kepala lembah subur itu, akan menjadi seperti buah ara yang masak sebelum musim panas. Sebaik sahaja orang melihat dan mengamatinya, buah itu segera dipetik dan ditelan.
5 Pada waktu itu TUHAN alam semesta, akan menjadi seperti mahkota yang mulia dan seperti perhiasan kepala yang indah bagi saki-baki umat-Nya.
6 Dia akan menjadi roh keadilan bagi orang yang duduk mengadili, dan menjadi kekuatan bagi orang yang menangkis serangan di pintu gerbang.
7 Mereka ini pun terhuyung-hayang kerana air anggur dan tersandung kerana minuman keras: baik imam mahupun nabi terhuyung-hayang kerana minuman keras. Mereka kacau oleh air anggur, mereka terhuyung-huyung oleh minuman keras. Mereka terhuyung-hayang apabila menerima penglihatan, goyah pergerakan mereka ketika memberikan keputusan.
8 Sungguh, semua meja penuh dengan muntah dan kotoran, sehingga tidak ada lagi tempat yang bersih.
9 “Kepada siapa dia mengajarkan pengetahuan? Kepada siapa dia menjelaskan pesannya? Kepada anak yang baru disapih, kepada anak yang baru cerai susu?
10 Kerana ada perintah demi perintah, perintah demi perintah, baris demi baris, baris demi baris, sedikit di sini, sedikit di sana.”
11 Kalau begitu, Dia akan berfirman kepada bangsa ini dengan bibir orang asing dan dengan bahasa asing.
12 Dia berfirman kepada mereka, “Inilah tempat peristirahatan, berikanlah istirahat kepada orang yang lelah. Inilah tempat penyegaran!” Tetapi mereka tidak mahu mendengar.
13 Jadi, firman TUHAN kepada mereka, “Perintah demi perintah, perintah demi perintah, baris demi baris, baris demi baris, sedikit di sini, sedikit di sana,” supaya mereka pergi dan jatuh terlentang, terluka, terjerat, dan tertangkap.
14 Oleh sebab itu dengarlah firman TUHAN, wahai kalangan pencemuh, yang memerintah rakyat di Yerusalem ini!
15 Kamu berkata, “Kami sudah mengikat perjanjian dengan maut, dan dengan alam kubur jua kami sudah membuat persetujuan. Meskipun cambuk yang mendera itu datang, kami tidak akan kena, kerana kami jadikan dusta sebagai perlindungan kami, dan di balik kebohongan kami bersembunyi.”
16 Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Lihat, Aku meletakkan batu asas di Sion, sebuah batu yang teruji, sebuah batu penjuru yang berharga untuk asas yang teguh. Sesiapa yang percaya tidak akan berasa cemas.
17 Aku akan membuat keadilan jadi tali pengukur dan perbenaran jadi tali ladung. Hujan batu akan menyapu perlindungan dusta itu dan air bah akan meliputi persembunyianmu.
18 Perjanjianmu dengan maut akan dimansuhkan dan persetujuanmu dengan alam kubur tidak akan tetap berlaku. Apabila cambuk yang mendera itu datang, kamu akan dilindas olehnya.
19 Setiap kali cambuk itu datang, kamu akan dikenakannya, kerana pagi demi pagi ia akan datang, siang ataupun malam. Memahami pesan itu hanya akan menjadi suatu kengerian belaka.”
20 Tempat tidur terlalu pendek untuk berlunjur, dan selimut terlalu kecil untuk dipakai untuk menyelubungi diri.
21 Sesungguhnya, TUHAN akan bertindak seperti di Gunung Perasim, Dia akan murka seperti di Lembah Gibeon, untuk melakukan perbuatan-Nya, perbuatan-Nya yang aneh, dan untuk melaksanakan pekerjaan-Nya, pekerjaan-Nya yang ganjil.
22 Sekarang, jangan mencemuh, supaya tali pengikatmu tidak ditegangkan. Sesungguhnya, aku mendengar tentang kesudahan yang telah ditentukan, yang berasal daripada Tuhan, ALLAH alam semesta, bagi seluruh bumi.
23 Pasanglah telinga dan dengarlah suaraku! Perhatikanlah dan dengarlah kata-kataku!
24 Adakah pembajak tanah membajak setiap hari untuk menyemai benih? Adakah ia terus mencangkul dan menyisir tanahnya?
25 Bukankah setelah meratakan permukaan tanah, ia menaburkan jintan hitam dan menebarkan jintan putih, menaruh gandum berderet-deret, barli pada tempatnya, dan sekoi di pinggirnya?
26 Dia diajar cara yang tepat, Allahnya mengarahkan dia.
27 Jintan hitam tidak diirik dengan pengirik, dan roda pedati tidak digunakan untuk mengisar jintan putih, tetapi jintan hitam dipukul-pukul dengan tongkat dan jintan putih dengan batang kayu.
28 Gandum roti harus dilumatkan, kerana orang tidak akan mengiriknya terus-menerus. Sekalipun orang mengenderai roda pedati dan kudanya di atas gandum itu, ia tidak akan menggilingnya.
29 Hal ini pun datangnya daripada TUHAN alam semesta. Dia ajaib dalam nasihat-Nya dan agung dalam hikmah-Nya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 28
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 28

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV