1 Firman yang dinyatakan kepada Yesaya anak Amos tentang Yehuda dan Yerusalem.
2 Pada hari-hari terakhir, gunung tempat Bait TUHAN akan ditegakkan sebagai puncak semua gunung dan akan ditinggikan melebihi bukit-bukit. Semua bangsa akan berduyun-duyun ke sana.
3 Banyak suku akan datang dan berkata, “Mari kita naik ke gunung TUHAN, ke Rumah Allah Yakub. Dia akan mengajar jalan-jalan-Nya kepada kita, sehingga kita dapat melangkah di jalan-jalan-Nya.” Sememangnya, hukum akan keluar dari Sion, dan firman TUHAN dari Yerusalem.
4 Dia akan menjadi hakim antara bangsa-bangsa dan akan memutuskan perkara bagi banyak suku bangsa. Mereka akan menempa pedang mereka menjadi mata bajak, dan tombak mereka menjadi pisau pemangkas. Bangsa tidak akan lagi mengangkat pedang terhadap bangsa, dan mereka tidak akan lagi belajar berperang.
5 Wahai keturunan kaum Yakub, mari kita berjalan dalam cahaya TUHAN.
6 Sungguh, Engkau telah meninggalkan umat-Mu, keturunan kaum Yakub, kerana mereka dipenuhi tahyul dari Timur. Mereka menjadi peramal seperti orang Filistin, dan berjabat tangan dengan orang kafir.
7 Negeri mereka penuh perak dan emas, dan harta mereka tidak habis-habis. Negeri mereka penuh dengan kuda, rata mereka tidak habis-habis.
8 Negeri mereka penuh berhala. Mereka sujud menyembah hasil buatan tangan sendiri, barang yang dibuat oleh jari-jari sendiri.
9 Maka manusia hina ditundukkan dan orang mulia direndahkan – Jangan mengampuni mereka!
10 Masuklah ke celah-celah batu pejal dan bersembunyilah di bawah tanah daripada kedahsyatan TUHAN dan semarak keagungan-Nya!
11 Manusia yang sombong akan direndahkan dan orang yang angkuh akan ditundukkan. Hanya TUHAN sahaja yang akan ditinggikan pada hari itu.
12 Sungguh, TUHAN alam semesta, menetapkan satu hari pembalasan bagi semua orang yang sombong dan bongkak, bagi semua orang yang meninggikan diri, supaya mereka direndahkan;
13 bagi semua pokok araz di Lebanon yang tinggi dan menjulang; bagi semua pokok oak di Basan;
14 bagi semua gunung yang tinggi; bagi semua bukit yang menjulang;
15 bagi semua menara yang tinggi; bagi semua tembok yang berkubu;
16 bagi semua kapal Tarsis; dan bagi semua kapal yang indah.
17 Manusia yang sombong akan ditundukkan, dan orang yang bongkak akan direndahkan. Hanya TUHAN sahaja yang akan ditinggikan pada hari itu,
18 sedangkan berhala-berhala akan hilang sama sekali.
19 Orang akan masuk ke dalam gua-gua di batu pejal dan ke dalam lubang-lubang di bawah tanah, menghindari kemurkaan TUHAN dan semarak keagungan-Nya apabila Dia bangkit menggemparkan bumi.
20 Pada hari itu manusia akan melemparkan berhala perak dan berhala emas yang dibuat mereka untuk disembah, kepada tikus mondok dan kelawar.
21 Orang akan masuk ke dalam rongga-rongga di batu pejal dan ke dalam celah-celah di bukit batu, menghindari kedahsyatan TUHAN dan semarak keagungan-Nya apabila Dia bangkit menggemparkan bumi.
22 Berhentilah meletakkan kehebatan kepada manusia, sebab manusia sekadar hembusan nafas. Apa sesungguhnya nilainya?