1 Suatu tunas akan keluar daripada tunggul Isai suatu cabang daripada akarnya akan berbuah.
2 Roh TUHAN akan diam padanya – roh kebijaksanaan dan pengertian, roh nasihat dan keperkasaan, roh pengetahuan dan takut kepada TUHAN –
3 takut kepada TUHAN ialah kesukaannya. Dia tidak akan menghakimi menurut apa yang tampak di hadapan matanya, atau memutuskan perkara menurut apa yang didengar oleh telinganya,
4 tetapi Dia akan menghakimi orang miskin dengan perbenaran, dan memutuskan perkara dengan keadilan bagi orang yang tertindas di bumi. Dia akan menghukum bumi dengan rotan daripada mulut-Nya, dan dengan nafas mulut-Nya Dia akan mematikan orang fasiq.
5 Perbenaran adalah sabuk di pinggangnya dan kesetiaan adalah ikat pinggangnya.
6 Serigala akan tinggal bersama-sama domba, harimau bintang akan berbaring dengan anak kambing. Anak lembu, anak singa, dan ternakan yang tambun akan tinggal bersama-sama, dan kesemuanya akan dipimpin oleh seorang anak kecil.
7 Lembu betina dan beruang akan sama-sama meragut rumput, anak masing-masing akan berbaring bersama-sama, dan singa akan makan jerami seperti lembu.
8 Anak yang masih menyusu akan bermain-main dekat lubang ular senduk, dan anak yang cerai susu akan menghulurkan tangannya ke dalam liang ular berbisa.
9 Tidak ada yang akan berbuat jahat ataupun membinasakan di seluruh gunung-Ku yang suci, kerana bumi akan penuh dengan pengetahuan tentang TUHAN, seperti air meliputi laut.
10 Pada waktu itu, Tunas Isai akan berdiri sebagai panji-panji bagi suku-suku bangsa. Dia akan dicari oleh bangsa-bangsa dan kediamannya akan menjadi mulia.
11 Pada waktu itu, Tuhan akan menghulurkan tangan-Nya lagi untuk menebus saki-baki umat-Nya yang masih tertinggal, iaitu dari Asyur, dari Mesir, dari Patros, dari Kush, dari Elam, dari Sinear, dari Hamat, dan dari pulau-pulau di laut.
12 Dia akan mengangkat panji-panji bagi bangsa dan akan menghimpunkan orang Israel yang terbuang. Dia akan mengumpulkan orang Yehuda yang tercerai-berai dari keempat-empat penjuru bumi.
13 Dengki Efraim akan hilang, dan orang yang menyesakkan Yehuda akan dilenyapkan. Efraim tidak akan dengki terhadap Yehuda, dan Yehuda tidak akan menyesakkan Efraim.
14 Sebaliknya, mereka akan terbang ke lereng gunung orang Filistin di sebelah barat, bersama-sama mereka akan menjarah bani Timur. Mereka akan menghulurkan tangan untuk mencengkam Edom dan Moab, dan bani Amon akan tunduk mematuhi mereka.
15 TUHAN akan membinasakan sama sekali teluk laut Mesir; dengan angin-Nya yang panas, Dia akan mengayunkan tangan-Nya kepada Sungai Efrat dan memukulnya menjadi tujuh batang anak sungai, sehingga orang dapat menyeberanginya dengan berkasut.
16 Maka akan ada jalan raya dari Asyur bagi saki-baki umat-Nya, sama seperti yang ada bagi Israel dahulu pada waktu mereka keluar dari Tanah Mesir.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 11
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 11

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV