1 Zedekia berumur dua puluh satu tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama sebelas tahun. Nama ibunya ialah Hamutal anak Yeremia, dari Libna.
2 Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN seperti semua yang dilakukan Yoyakim.
3 Di Yerusalem dan Yehuda murka TUHAN dibangkitkan sehingga Dia membuang mereka dari hadirat-Nya. Seterusnya Zedekia memberontak terhadap raja Babel.
4 Pada tahun kesembilan zaman pemerintahan Zedekia, pada hari kesepuluh bulan kesepuluh, datanglah Nebukadnezar, raja Babel, dengan seluruh pasukannya menyerang Yerusalem. Mereka berkhemah mengepung kota itu dan membina tembok pengepung di sekelilingnya.
5 Kota itu pun dikepung sampai tahun kesebelas zaman pemerintahan Raja Zedekia.
6 Pada hari kesembilan bulan keempat, bermaharajalelalah kebuluran di kota, dan rakyat negeri itu sudah tidak ada makanan lagi.
7 Kemudian berlakulah rekahan pada tembok kota lalu larilah semua pejuang pada waktu malam dari kota itu melalui jalan pintu gerbang di antara kedua-dua tembok yang terletak dekat dengan taman raja, sementara orang Kasdim mengepung kota itu. Mereka lari menuju Araba.
8 Akan tetapi, pasukan orang Kasdim mengejar Raja Zedekia dan berhasil menyusulnya di dataran Yerikho, sehingga tercerailah seluruh pasukannya daripada dia.
9 Kemudian mereka menangkap raja dan membawanya untuk menghadap raja Babel di Ribla, di Tanah Hamat. Raja Babel pun menjatuhkan hukuman atasnya.
10 Di Ribla raja Babel menyuruh agar anak-anak Zedekia disembelih di hadapan matanya, juga semua pembesar Yehuda.
11 Kemudian mata Zedekia dibutakan dan dia dibelenggu dengan rantai gangsa. Raja Babel membawa Zedekia ke Babel dan memasukkannya ke dalam rumah tahanan sampai hari kematiannya.
12 Dalam tahun kesembilan belas zaman pemerintahan Raja Nebukadnezar, raja Babel, tepatnya pada hari kesepuluh dalam bulan kelima, datanglah Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal yang melayani raja Babel, ke Yerusalem.
13 Dia membakar Bait TUHAN, istana raja, dan semua rumah di Yerusalem. Setiap rumah yang besar dibakarnya habis.
14 Kemudian seluruh pasukan orang Kasdim yang menyertai ketua pasukan pengawal itu merobohkan tembok di sekeliling Yerusalem.
15 Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal itu, membuang sebahagian rakyat termiskin, saki-baki rakyat yang tertinggal di kota, pembelot yang memihak kepada raja Babel, dan saki-baki para tukang.
16 Tetapi Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal itu, menyisakan sebahagian daripada orang termiskin di negeri itu untuk dijadikan pemelihara kebun anggur dan peladang.
17 Orang Kasdim menghancurkan tiang-tiang gangsa yang ada di Bait TUHAN, juga segala penopang, dan kolam gangsa yang ada di Bait TUHAN. Seluruh gangsanya diangkut mereka ke Babel.
18 Mereka juga mengambil segala kuali, penyodok, sepit, bokor, pedupaan, dan semua alat kelengkapan gangsa yang digunakan untuk menyelenggarakan ibadat.
19 Ketua pasukan pengawal mengambil segala mangkuk, perbaraan, bokor, kuali, kaki pelita, pedupaan, dan mangkuk persembahan minuman, baik yang dibuat daripada emas mahupun yang daripada perak.
20 Gangsa daripada kedua-dua tiang, kolam-kolaman, dan kesemua dua belas ekor lembu gangsa di bawah penopang yang dibuat oleh Raja Salomo untuk Bait TUHAN tidak tertimbang beratnya.
21 Tinggi sebatang tiang ialah lapan belas hasta, dan tali sepanjang dua belas hasta dapat melilitnya. Tebalnya berukuran empat jari dan bahagian dalamnya berongga.
22 Di atasnya terdapat kepala tiang daripada gangsa setinggi lima hasta dengan jala-jala dan buah delima berkeliling di bahagian atasnya, semuanya daripada gangsa. Tiang yang kedua demikian juga, dengan buah delimanya.
23 Ada sembilan puluh enam buah delima pada sisi-sisinya, sedang pada jala-jala seluruhnya ada seratus buah delima berkeliling.
24 Kemudian ketua pasukan pengawal menangkap Imam Besar Seraya, dan Zefanya, penolong imam besar, serta ketiga-tiga orang penjaga pintu.
25 Antara orang yang masih ada di kota ditangkapnya seorang pegawai istana yang menjadi pengawas para pejuang, tujuh orang penasihat raja, jurutulis panglima tentera yang mengerahkan rakyat negeri, dan enam puluh orang daripada kalangan rakyat negeri.
26 Nebuzaradan, ketua pasukan pengawal itu, menangkap dan membawa mereka menghadap raja Babel di Ribla.
27 Lalu raja Babel menyuruh agar mereka dihukum mati di Ribla, di Tanah Hamat. Demikianlah orang Yehuda dibuang negeri dari tanah mereka.
28 Inilah jumlah rakyat yang diangkut ke tempat pembuangan oleh Nebukadnezar: Pada tahun ketujuh: 3,023 orang Yehuda.
29 Pada tahun kelapan belas zaman pemerintahan Nebukadnezar: 832 orang dari Yerusalem.
30 Pada tahun kedua puluh tiga zaman pemerintahan Nebukadnezar: 745 orang Yahudi yang dibuang oleh Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal. Jumlah semuanya ialah 4,600 orang.
31 Pada tahun ketiga puluh tujuh semasa pembuangan Yoyakhin, raja Yehuda, Ewil-Merodakh menaiki takhta menjadi raja Babel. Pada tahun itu juga, tepatnya pada hari kedua puluh lima, bulan kedua belas, dia memberikan keihsanan kepada Yoyakhin, raja Yehuda, dan mengeluarkannya daripada penjara.
32 Ewil-Merodakh berbicara baik-baik kepadanya dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi daripada kedudukan raja-raja yang ada bersama-samanya di Babel.
33 Yoyakhin pun mengganti pakaian penjaranya dan dia sentiasa makan di hadapan raja seumur hidupnya.
34 Raja Babel sentiasa memberinya peruntukan makanan sekadar keperluan sehari-hari, seumur hidupnya sampai hari matinya.