1 Firman daripada TUHAN turun kepada Yeremia demikian,
2 “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Tulislah segala firman yang telah Kusampaikan kepadamu dalam sebuah kitab.
3 Sesungguhnya, waktunya akan datang,’ demikianlah firman TUHAN, ‘bahawa Aku akan memulihkan keadaan umat-Ku Israel dan Yehuda,’ demikianlah firman TUHAN, ‘dan Aku akan mengembalikan mereka ke negeri yang telah Kukurniakan kepada nenek moyang mereka. Mereka akan memilikinya.’ ”
4 Inilah firman yang disampaikan TUHAN mengenai Israel dan mengenai Yehuda,
5 “Beginilah firman TUHAN: ‘Kami telah mendengar bunyi kegemparan, kengerian, dan bukan damai.
6 Tanyakan dan perhatikanlah, adakah lelaki bersalin? Mengapa pula Kulihat setiap lelaki meletakkan tangan di pinggang seperti perempuan yang akan bersalin, dan setiap muka berubah menjadi pucat?
7 Aduh, alangkah dahsyat hari itu! Tidak ada taranya. Itulah masa kesesakan bagi Yakub, tetapi dia akan diselamatkan.’
8 ‘Pada hari itu,’ demikianlah firman TUHAN alam semesta, ‘Aku akan mematahkan kuk dari tengkuk mereka dan memutuskan tali pengikat mereka. Orang asing tidak akan memperhamba mereka lagi.
9 Mereka akan menghamba kepada TUHAN, Allah mereka, dan kepada Daud, raja mereka, yang akan Kubangkitkan bagi mereka.’
10 ‘Janganlah takut, wahai hamba-Ku Yakub,’ demikianlah firman TUHAN, ‘dan janganlah kecut hati, wahai Israel! Sesungguhnya, Aku akan menyelamatkan engkau dari tempat yang jauh dan keturunanmu dari negeri tempat mereka ditawan. Yakub akan kembali dan hidup tenang, aman tanpa ada yang mengusik.
11 Sungguh, Aku menyertai engkau,’ demikianlah firman TUHAN, ‘untuk menyelamatkan engkau. Aku akan memusnahkan segala bangsa tempat Aku mencerai-beraikan engkau, tetapi Aku tidak akan membinasakan engkau sama sekali. Meski demikian, Aku akan menghukum engkau dengan adil, dan tidak akan begitu sahaja membebaskan engkau daripada hukuman.’
12 Beginilah firman TUHAN, ‘Lukamu tidak tersembuhkan, cederamu berat.
13 Tidak ada yang membela perkaramu, tidak ada ubat bagi bisulmu, tidak ada kesembuhan bagimu.
14 Semua kekasihmu melupakan engkau, mereka tidak mencari engkau. Aku telah menghukum engkau seperti seorang musuh memukul, seperti seorang bengis mengajar, kerana kesalahanmu banyak dan dosamu besar.
15 Mengapa engkau menjerit kerana lukamu? Sakitmu tidak tersembuhkan. Kerana kesalahanmu banyak dan dosamu besar, maka Kulakukan semua ini terhadapmu.
16 Namun begitu, semua orang yang melahap engkau akan dilahap. Semua lawanmu akan diangkut ke tempat pembuangan. Orang yang menjarah engkau akan menjadi jarahan. Semua orang yang merampas engkau akan Kujadikan rampasan.
17 Aku akan mendatangkan kesembuhan bagimu dan Aku akan mengubati luka-lukamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘kerana mereka telah menyebut engkau yang terbuang, Sion yang tidak diperhatikan oleh seorang pun.’
18 Beginilah firman TUHAN, ‘Sesungguhnya, Aku akan memulihkan keadaan khemah-khemah Yakub dan mengasihani kediaman-kediamannya. Kota itu akan dibangunkan kembali di atas timbunan puingnya, dan purinya akan berdiri di tempatnya semula.
19 Dari dalamnya akan keluar ucapan syukur dan suara orang bersuka ria. Aku akan memperbanyak jumlah mereka sehingga mereka tidak berkurang. Aku akan memuliakan mereka sehingga mereka tidak dihina.
20 Anak-anak mereka akan seperti pada zaman dahulu, dan perhimpunan mereka akan tetap ada di hadapan-Ku. Aku akan menghukum semua orang yang menindas mereka.
21 Pemimpin mereka akan berasal daripada mereka sendiri, penguasa mereka akan muncul daripada kalangan mereka. Aku akan mengizinkan dia maju dan mendekat kepada-Ku, kerana siapakah yang berani mempertaruhkan nyawa untuk mendekat kepada-Ku?’ demikianlah firman TUHAN.
22 ‘Kamu akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu.’ ”
23 Lihat, badai TUHAN! Murka memancar. Angin yang menyeret, yang berputar melanda kepala orang fasiq.
24 Murka TUHAN yang menyala-nyala itu tidak akan surut sampai Dia selesai mengerjakan dan melaksanakan rancangan-rancangan hati-Nya. Pada hari-hari kemudian kamu akan mengerti hal itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yeremia 30
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yeremia 30

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV