1 Kemudian dia membawa aku ke pelataran luar menuju arah utara, lalu dibawanya aku masuk ke dalam sebuah bangunan berbilik-bilik yang berhadapan dengan pelataran dalam sebelah utara dan dengan dinding bangunan sebelah utara.
2 Bangunan yang pintunya menghadap ke arah utara itu seratus hasta panjangnya dan lima puluh hasta lebarnya,
3 bersebelahan dengan bahagian pelataran dalam selebar dua puluh hasta dan berseberangan dengan bahagian pelataran luar berlantai batu. Serambinya berhadap-hadapan dan tersusun dalam tiga tingkat.
4 Di bahagian dalam, di depan bilik-bilik itu, ada jalan yang lebarnya sepuluh hasta dan panjangnya seratus hasta. Pintu-pintunya ada di sebelah utara.
5 Bilik-bilik di tingkat atas berukuran lebih kecil kerana serambinya memakan lebih banyak tempat berbanding dengan serambi di tingkat bawah dan di tingkat tengah bangunan itu.
6 Kerana bilik-bilik itu tersusun dalam tiga tingkat tanpa mempunyai tiang-tiang seperti yang ada di pelataran, maka bilik-bilik di tingkat atas lebih sempit ukuran lantainya berbanding dengan bilik-bilik di tingkat bawah dan di tingkat tengah.
7 Ada tembok luar yang sejajar dan berhadapan dengan bilik-bilik itu, arahnya menghadap ke pelataran luar; panjangnya lima puluh hasta.
8 Barisan bilik berdekatan dengan pelataran luar lima puluh hasta panjangnya, sedangkan barisan bilik berdekatan dengan ruang besar seratus hasta panjangnya.
9 Di bawah bilik-bilik ada pintu masuk di sebelah timur, tempat orang masuk dari pelataran luar.
10 Pada bentang tembok pelataran sebelah selatan, iaitu di hadapan lapangan tertutup dan di hadapan bangunan itu, terdapat pula bilik-bilik
11 dengan jalan di depannya. Bilik-bilik ini serupa dengan bilik-bilik yang ada di sebelah utara. Panjang dan lebarnya sama, semua pintunya pun seukuran. Sebagaimana pintu-pintu yang ada pada bangunan di sebelah utara,
12 demikian pulalah pintu bilik-bilik yang ada pada bangunan di sebelah selatan. Ada juga sebuah pintu di hujung jalan tadi pada tembok sebelah timur, tempat orang masuk.
13 Kemudian dia berkata kepadaku, ‘Bilik-bilik di sebelah utara dan bilik-bilik di sebelah selatan yang menghadap lapangan tertutup itu ialah bilik-bilik suci tempat imam yang mendekat kepada TUHAN untuk memakan segala persembahan teramat suci. Di sana mereka akan menaruh segala persembahan yang teramat suci, persembahan bahan makanan, korban penghapus dosa, dan korban penebus kesalahan, kerana tempat itu sememangnya suci.
14 Setelah imam memasuki tempat suci, mereka tidak boleh keluar dari tempat itu ke pelataran luar sebelum mereka menanggalkan di situ pakaian yang dipakai mereka waktu menyelenggarakan ibadat, kerana segala pakaian mereka itu sememangnya suci. Mereka harus terlebih dahulu memakai pakaian yang lain, yakni pakaian biasa, baru boleh menghampiri tempat yang dibenarkan untuk orang ramai.’
15 Setelah dia selesai mengukur seluruh kawasan bahagian dalam Bait Suci, dibawanya aku keluar, ke arah pintu gerbang yang menghadap timur. Lalu dia mengukur sekeliling kawasan Bait Suci itu.
16 Dia mengukur sisi timur dengan tongkat: lima ratus hasta menurut tongkat pengukur. Lalu dia berbelok
17 ke sisi utara dan mengukur panjangnya: lima ratus hasta menurut tongkat pengukur. Setelah itu, dia menuju
18 sisi selatan dan mengukur panjangnya: lima ratus hasta menurut tongkat pengukur.
19 Akhirnya dia berbelok ke sisi barat dan mengukur panjangnya: lima ratus hasta menurut tongkat pengukur.
20 Demikianlah dia mengukur keempat-empat sisi. Jadi, kawasan itu dikelilingi tembok sepanjang lima ratus hasta dan selebar lima ratus hasta, untuk memisahkan antara yang suci dengan yang biasa.