1 Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
2 ‘Wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu ke Yerusalem dan berucaplah menentang tempat-tempat suci. Bernubuatlah menentang Tanah Israel,
3 dan katakan kepada tanah Israel: Beginilah firman TUHAN, “Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu. Aku akan menghunus pedang-Ku daripada sarungnya lalu melenyapkan orang benar dan orang fasiq daripada golongan kamu.
4 Kerana Aku hendak melenyapkan daripada kalangan kamu orang benar dan orang fasiq, Kuhunus pedang-Ku dari sarungnya untuk melawan semua makhluk dari selatan sampai ke utara.
5 Maka semua makhluk akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah menghunus pedang-Ku daripada sarungnya, dan pedang itu tidak akan kembali lagi ke situ.
6 Engkau, wahai anak manusia, mengeranglah! Mengeranglah di hadapan mata mereka seperti orang yang patah tulang pinggangnya dan yang sedang berada dalam penderitaan yang perit.
7 Nanti, apabila orang bertanya kepadamu, ‘Mengapa engkau mengerang?’ jawablah, ‘Kerana suatu khabar yang akan tersiar! Khabar itu akan membuat setiap hati menjadi tawar, setiap tangan menjadi lemah, setiap semangat menjadi pudar, dan setiap lutut goyah seperti air.’ Sungguh, khabar itu akan tersiar dan akan terjadi, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’
8 Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
9 ‘Wahai anak manusia, bernubuatlah dan katakan: Beginilah firman TUHAN, “Pedang! Pedang, yang sudah diasah dan juga digilap –
10 diasah untuk membantai, digilap untuk menjadi seperti kilat. Masakan tongkat kerajaan anak-Ku bani Yehuda bergirang? Pedang itu memandang hina segala macam kayu!
11 Pedang itu ditentukan untuk digilap, untuk digenggam dalam tangan. Pedang itu diasah dan digilap untuk diserahkan ke dalam tangan si pembunuh.
12 Berteriaklah dan meraung-raunglah, wahai anak manusia, kerana pedang itu sudah ditentukan untuk melawan umat-Ku dan melawan semua pemimpin Israel. Mereka telah diserahkan kepada pedang bersama umat-Ku. Oleh sebab itu tepuklah pahamu tanda berkabung.
13 Pencubaan pasti datang. Bagaimana jika tongkat yang memandang hina itu pun tidak dapat bertahan? demikianlah firman Tuhan ALLAH.
14 Engkau, wahai anak manusia, bernubuatlah dan tepuklah kedua-dua tanganmu. Biarlah pedang itu memukul dua sampai tiga kali. Itu pedang untuk membunuh – pedang untuk pembunuhan besar-besaran yang akan mengepung mereka,
15 sehingga hati mereka cemas dan ramai orang yang jatuh. Di setiap pintu gerbang mereka telah Kutentukan pembantaian oleh pedang itu. Ah, pedang itu dibuat seperti kilat dan ditajamkan untuk membantai.
16 Bersiaplah, tebaslah ke kanan! Bersiaplah, tebaslah ke kiri! Ke mana-mana pun matamu menghadap.
17 Aku juga akan menepuk tangan dan melampiaskan murka-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.” ’
18 Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
19 ‘Engkau, wahai anak manusia, tentukanlah dua jalan untuk dilalui pedang raja Babel; kedua-duanya harus bermula dari sebuah negeri. Lalu buatlah sebuah penanda di persimpangan jalan menuju kota masing-masing.
20 Tandailah jalan yang harus dilalui pedang itu menuju Raba, kota bani Amon, dan juga jalan menuju Yehuda dengan kubunya di Yerusalem.
21 Sesungguhnya, raja Babel akan berdiri di persimpangan jalan itu, iaitu di pangkal kedua-dua jalan itu, untuk melakukan tenungan. Dia menggoyangkan anak panah, menanyakan petunjuk terafim , dan menilik hati binatang.
22 Lalu jatuhlah ke tangan kanannya panah tenungan bagi Yerusalem. Itu bererti dia harus menyiapkan alat-alat pemusnah, memberikan perintah membunuh, menyerukan pekik tempur, menyiapkan alat-alat pemusnah pintu gerbang, menimbunkan tanggul pengepung, dan membangunkan tembok pengepung.
23 Orang Israel yang telah bersumpah setia kepadanya akan menganggap tenungan itu menipu. Akan tetapi, dia menyingkap kesalahan mereka sehingga kemudian mereka ditangkap.
24 Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH: Kerana sekarang kesalahanmu muncul dan pelanggaranmu terungkap sehingga setiap orang dapat mengetahui dosa-dosa yang telah kaubuat, maka kamu akan ditangkap.
25 Engkau, wahai raja Israel, orang fasiq yang nista, saat penghukumanmu sudah mencapai puncaknya.
26 Beginilah firman Tuhan ALLAH: Singkirkanlah serbanmu dan tanggalkanlah mahkotamu! Tidak akan ada lagi yang tetap seperti keadaannya sekarang. Yang rendah akan ditinggikan dan yang tinggi akan direndahkan.
27 Puing! Puing! Puing! Demikianlah Aku akan menjadikannya. Ini pun tidak akan muncul lagi sampai datang dia yang berhak atasnya, barulah Aku akan mengurniakan kerajaan itu kepadanya.” ’
28 ‘Engkau, wahai anak manusia, bernubuatlah dan katakanlah: Beginilah firman Tuhan ALLAH mengenai bani Amon dan mengenai celaan mereka. Katakanlah, “Pedang! Pedang, yang terhunus untuk membantai, digilap untuk memusnahkan dan untuk menjadi seperti kilat!
29 Sementara orang menyampaikan penglihatan-penglihatan tipuan serta tenungan dusta kepadamu, pedang itu ditempatkan pada leher orang fasiq yang harus dibunuh, yang saat penghukumannya sudah mencapai puncaknya.
30 Kembalikanlah pedang itu ke sarungnya! Di tempat engkau diciptakan dan di negeri asalmu, Aku akan menghakimi engkau.
31 Akan Kucurahkan geram-Ku terhadapmu dan Kutiupkan api murka-Ku kepadamu. Akan Kuserahkan engkau ke dalam tangan orang bengis seperti haiwan yang cekap membinasakan.
32 Engkau akan menjadi makanan api. Darahmu akan tertumpah di tengah-tengah negeri itu, dan engkau tidak akan diingat lagi, kerana Aku, TUHAN, telah berfirman begitu.” ’

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yehezkiel 21
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yehezkiel 21

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV