1 Apabila engkau keluar berperang melawan musuh-musuhmu lalu melihat segala kuda dan rata, iaitu pasukan yang lebih besar daripada kamu, jangan takut kepada mereka kerana TUHAN, Allahmu, yang telah menuntun kamu keluar dari Tanah Mesir, menyertai kamu.
2 Pada waktu kamu semakin menghampiri peperangan itu, hendaklah seorang imam maju ke hadapan dan berbicara kepada umat yakni pasukannya.
3 Hendaklah dia berkata kepada mereka, ‘Dengarlah, wahai orang Israel! Pada hari ini kamu akan menghadapi peperangan melawan musuh-musuhmu. Jangan tawar hati, jangan takut, jangan gentar, dan jangan cemas kerana mereka
4 sebab TUHAN, Allahmu, hadir menyertai kamu untuk berperang bagimu melawan musuh-musuhmu, dan memberimu kemenangan.’
5 Kemudian hendaklah para pegawai yang memimpin pasukan berkata demikian kepada pasukan itu, ‘Siapakah yang baru selesai membina rumah tetapi belum mengadakan kesyukuran ke atasnya? Biarlah dia pulang ke rumahnya, supaya jangan dia mati dalam peperangan lalu orang lain yang mengadakan kesyukuran ke atas rumahnya.
6 Siapakah yang baru menanami kebun anggur tetapi belum menikmati hasilnya? Biarlah dia pulang ke rumahnya, supaya jangan dia mati dalam peperangan lalu orang lain yang menikmati hasil kebunnya.
7 Siapakah yang telah bertunangan dengan seorang perempuan tetapi belum memperisterinya? Biarlah dia pulang ke rumahnya, supaya jangan dia mati dalam peperangan lalu orang lain yang memperisteri tunangannya.’
8 Selanjutnya hendaklah para pegawai yang memimpin pasukan berbicara lagi kepada pasukan itu demikian, ‘Siapakah yang takut dan tawar hati? Biarlah dia pulang ke rumahnya, supaya jangan hati para saudaranya turut menjadi tawar seperti hatinya.’
9 Setelah para pegawai yang memimpin pasukan selesai berbicara kepada pasukan itu, lantiklah para panglima perang untuk mengepalai pasukan.
10 Apabila kamu menghampiri sebuah kota untuk memeranginya, tawarkanlah perdamaian kepadanya.
11 Jika kota itu memberikan sambutan terhadap seruan damaimu dan membuka pintu gerbangnya untukmu, maka semua orang yang ada di situ akan menjadi buruh paksa dan berkhidmat untukmu.
12 Sebaliknya, jika kota itu tidak mahu berdamai denganmu malah berperang melawan kamu, maka hendaklah kamu mengepungnya.
13 Ketika TUHAN, Allahmu, menyerahkannya ke dalam tanganmu, tewaskanlah semua lelakinya dengan mata pedang.
14 Akan tetapi para perempuan, anak-anak, ternakan, dan segala yang ada di dalam kota itu, iaitu seluruh jarahan, boleh kaurampas untuk dirimu. Engkau boleh menikmati jarahan daripada musuh-musuhmu, yang diserahkan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
15 Begitulah yang harus kamu lakukan kepada semua kota yang letaknya sangat jauh daripadamu, yang tidak termasuk kota-kota bangsa-bangsa di sini.
16 Akan tetapi, daripada kota-kota bangsa-bangsa itu yang telah dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu sebagai harta pusaka, jangan biarkan hidup apa-apa pun yang bernafas.
17 Punahkanlah sama sekali bani Het, bani Amori, bani Kanaan, bani Feris, bani Hewi, dan bani Yebus, seperti yang diperintahkan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
18 Maksudnya ialah supaya mereka kelak tidak mengajar kamu membuat segala hal keji yang dilakukan mereka bagi tuhan mereka sehingga kamu berdosa terhadap TUHAN, Allahmu.
19 Apabila engkau mengepung sesebuah kota selama beberapa hari dan kemudian memeranginya untuk merebutnya, jangan kaurosakkan pokok-pokok dengan kapak. Makanlah buahnya, tetapi jangan tebang pokok-pokok itu. Pokok-pokok di ladang bukan manusia sehingga semuanya harus turut kaukepung!
20 Tetapi pokok yang kauketahui bukan pokok yang dapat dimakan buahnya boleh kaurosakkan dan kautebang untuk mendirikan pagar pengepungan terhadap kota yang berperang melawanmu, sampai tertakluknya kota itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ulangan 20
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ulangan 20

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV