1 Ingatlah bulan Abib dan rayakanlah Paskah bagi TUHAN, Allahmu, kerana pada bulan Abib itulah TUHAN, Allahmu, membawa kamu keluar dari Mesir pada malam hari.
2 Hendaklah kamu menyembelih korban Paskah daripada kawanan domba atau kawanan lembu untuk dipersembahkan kepada TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih TUHAN sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya.
3 Jangan makan korban itu dengan roti yang beragi. Selama tujuh hari hendaklah kamu memakannya dengan roti yang tidak beragi, iaitu roti penderitaan, kerana dengan terburu-buru kamu keluar dari Tanah Mesir. Dengan demikian, engkau akan mengingat hari engkau keluar dari Tanah Mesir itu seumur hidupmu.
4 Tujuh hari lamanya tidak boleh terlihat ada ragi di seluruh daerahmu. Selain itu, daripada daging yang kamu sembelih pada petang hari pada hari pertama janganlah berbaki pada pagi harinya.
5 Engkau tidak boleh mempersembahkan korban Paskah di salah satu kotamu yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu,
6 tetapi hendaklah dipersembahkan di tempat yang akan dipilih TUHAN, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. Di sanalah engkau harus mempersembahkan korban Paskah pada waktu senja, ketika matahari terbenam, bertepatan dengan waktu ketika engkau keluar dari Mesir.
7 Masaklah korban itu dan makanlah di tempat yang akan dipilih TUHAN, Allahmu. Kemudian esok paginya kembalilah ke khemahmu.
8 Selama enam hari, makanlah roti yang tidak beragi dan pada hari ketujuh adakanlah perhimpunan penuh takzim bagi TUHAN, Allahmu. Jangan lakukan apa-apa pekerjaan pun pada hari itu.
9 Hendaklah kamu menghitung tujuh minggu yang dimulai sejak kali pertama sekali sabit menuai gandum yang belum dipotong.
10 Kemudian rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu bagi TUHAN, Allahmu, dengan mempersembahkan korban sukarela yang harus kauberikan selaras dengan berkat yang dikurniakan kepadamu oleh TUHAN, Allahmu.
11 Bersuka rialah di hadapan TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih TUHAN, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya, baik engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, bani Lewi yang ada di kotamu, pendatang, anak yatim, mahupun balu yang ada dalam kalangan kamu.
12 Ingatlah bahawa engkau pun dahulu hamba di Mesir. Taatilah teguh dan laksanakanlah kanun-kanun ini.
13 Hendaklah kamu merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari setelah engkau mengumpulkan hasil tempat pembantingan kamu dan tempat pemerasan anggurmu.
14 Pada hari rayamu itu bersuka rialah engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, orang Lewi, pendatang, anak yatim, serta balu yang ada di kotamu.
15 Hendaklah selama tujuh hari kamu mengadakan perayaan bagi TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih TUHAN, kerana TUHAN, Allahmu, akan memberkati segala hasil tanahmu dan segala pekerjaan tanganmu. Jadi, hendaklah engkau bersuka ria dengan bersungguh-sungguh.
16 Tiga kali setahun, iaitu pada Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Tujuh Minggu, dan Perayaan Pondok Daun, hendaklah setiap lelaki dalam kalangan kamu menghadap hadirat TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih-Nya. Jangan seorang pun menghadap hadirat TUHAN dengan tangan kosong.
17 Hendaklah masing-masing membawa persembahan menurut kemampuannya, selaras dengan berkat yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
18 Hendaklah kamu melantik hakim dan petugas menurut suku-sukumu di kesemua kota yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu. Hendaklah mereka menghakimi bangsa itu dengan hukum yang adil.
19 Jangan putarbalikkan keadilan, jangan berat sebelah, dan jangan terima rasuah, kerana rasuah membutakan mata orang bijak serta memutarbalikkan perkara orang benar.
20 Kejarlah keadilan semata-mata, supaya engkau dapat hidup dan mewarisi negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
21 Apabila engkau membuat mazbah untuk TUHAN, Allahmu, jangan pacakkan di sisinya sesuatu kayu sebagai lambang Asyera.
22 Jangan dirikan sesuatu tiang berhala bagimu, iaitu hal yang dibenci oleh TUHAN, Allahmu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ulangan 16
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ulangan 16

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV