1 Ingatlah, ya TUHAN, apa yang terjadi atas kami, pandanglah dan lihatlah keaiban kami.
2 Harta pusaka kami beralih kepada orang asing, dan rumah kami kepada orang luar.
3 Kami menjadi anak yatim, tidak berayah, para ibu kami seperti balu.
4 Air yang kami minum perlu dibayar, kayu api juga harus dibeli.
5 Kalangan yang mengejar kami sudah begitu dekat; kami penat, kami tidak mendapat istirahat.
6 Kami menyerah kepada orang Mesir dan kepada orang Asyur demi mendapatkan cukup makanan.
7 Nenek moyang kami berdosa dan mereka kini tiada lagi, namun kamilah yang menanggung kesalahan mereka.
8 Kalangan hamba yang memerintah kami, tiada seorang pun yang melepaskan kami daripada tangan mereka.
9 Makanan kami dapatkan dengan nyawa sebagai taruhan, kerana ancaman pedang di gurun.
10 Kulit kami sepanas ketuhar, begitu dahsyatnya penangan kebuluran.
11 Mereka memperkosa perempuan di Sion, dan perawan di kota-kota Yehuda.
12 Para penguasa digantung oleh tangan mereka, para tua-tua tidak dihormati.
13 Para pemuda terpaksa memikul batu kilangan, dan anak-anak terhuyung-hayang dibebani kayu pikulan.
14 Para tua-tua tidak ada lagi di pintu gerbang kota, para pemuda berhenti bermain muzik.
15 Lenyaplah kegirangan hati kami, tarian kami berubah menjadi perkabungan.
16 Terjatuh kini mahkota di kepala kami. Malangnya kami kerana kami telah berdosa!
17 Kerana hal inilah hati kami terlara-lara, kerana hal-hal inilah mata kami menjadi kabur:
18 kerana kesepian Gunung Sion, hanya serigala berkeliaran di situ.
19 Engkau, ya TUHAN, bertakhta selama-lamanya! Arasy-Mu tetap dari zaman ke zaman.
20 Mengapa Engkau terus melupakan kami, meninggalkan kami sekian lama?
21 Pulihkanlah kami kepada-Mu, ya TUHAN, maka kami akan dipulihkan! Baharuilah hari-hari kami seperti zaman dahulu,
22 kecuali Engkau telah menolak kami sama sekali, dan amat murka terhadap kami.