1 Akulah orang yang merasai penderitaan akibat terkena rotan kemurkaan-Nya;
2 Dia telah memacu aku dan membawa aku ke dalam kegelapan yang tidak ada cahayanya.
3 Sungguh, berulang kali aku dipukul-Nya sepanjang hari.
4 Dia menyusutkan dagingku dan kulitku; Dia mematahkan tulang-tulangku.
5 Dia membina tembok dan mengepung aku dengan kepahitan dan kesengsaraan.
6 Dia menempatkan aku dalam kegelapan, seperti orang yang sudah lama mati.
7 Dia memagari aku sehingga aku tidak dapat keluar, Dia membuat rantai belengguku amat berat.
8 Bahkan ketika aku berseru dan berteriak minta tolong, Dia tidak mendengar doaku.
9 Dia menyekat jalanku dengan tembok batu pahat, dan membengkokkan jalanku.
10 Bagiku Dia bak beruang yang akan menyerang hendap, seperti singa di tempat-tempat persembunyian.
11 Dia menyimpangkan aku daripada jalanku, mencabik-cabik aku, dan membuat aku pilu dalam kesepian.
12 Dia melenturkan busur-Nya dan menjadikan aku sasaran anak panah-Nya.
13 Anak-anak panah daripada tabung panah-Nya menembus ginjalku.
14 Aku menjadi bahan ketawa seluruh bangsaku, menjadi lagu ejekan mereka sepanjang hari.
15 Dia mengenyangkan aku dengan kepahitan, dan memuaskan dahagaku dengan pahit getir.
16 Dia menghancurkan gigiku dengan batu kerikil, dan membuat aku meringkuk di dalam debu.
17 Jiwaku ketandusan rasa damai, sehingga aku terlupa erti kebahagiaan.
18 Kataku, “Hilanglah ketahanan aku, dan apa yang kuharapkan daripada TUHAN!”
19 Ingatlah kesengsaraanku dan pengembaraanku, pahit getir dan racun itu.
20 Aku terus mengingatinya dan jiwaku tertekan dalam diriku.
21 Tetapi inilah yang kuperhatikan, lantas kuperoleh harapan:
22 Kerana kasih setia TUHAN tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tidak akan pudar.
23 Semuanya baru setiap pagi. Besarnya kesetiaan-Mu!
24 “TUHAN ialah Pusakaku,” kata jiwaku, “sebab itu aku berharap kepada-Nya.”
25 TUHAN itu baik bagi orang yang menanti-nantikan Dia, bagi jiwa yang mencari hadirat-Nya.
26 Baik jika seseorang menanti dengan tenang akan penyelamatan daripada TUHAN.
27 Baik jika seorang lelaki menanggung beban kuknya pada masa mudanya.
28 Biarlah dia duduk sendirian dan berdiam diri kalau Tuhan membebankan kuk itu ke atasnya.
29 Biarlah mulutnya membaham debu, mungkin masih lagi ada harapan.
30 Biarlah dia menyerahkan pipi kepada orang yang menamparnya, dan biarlah dia sarat dengan celaan.
31 Tuhan tidak mencampakkan sesiapa pun untuk selama-lamanya.
32 Sekalipun Dia mendatangkan dukacita, belas ihsan-Nya setimpal dengan kelimpahan kasih-Nya yang abadi.
33 Dia tidak rela menindas atau mendukakan anak manusia.
34 Kalau semua banduan di bumi dipijak-pijak hingga hancur,
35 kalau seseorang dinafikan keadilan di hadapan Yang Maha Tinggi,
36 kalau orang dicurangi dalam hal guamannya – Tuhan tidak berkenan pada semua itu.
37 Siapakah yang dapat mengatakan sesuatu lalu membuat hal itu terjadi kalau Tuhan tidak menetapkannya?
38 Bukankah daripada titah Yang Maha Tinggi terbit apa yang buruk dan apa yang baik?
39 Mengapakah orang hidup harus bersungut-sungut, ketika dia dihukum atas dosa-dosanya?
40 Marilah kita memeriksa dan meneliti cara hidup kita, lalu kembali kepada TUHAN.
41 Marilah kita mengangkat hati dan tangan kita kepada Allah di syurga:
42 Kami melakukan pelanggaran dan menderhaka, dan Engkau tidak mengampuni kami.
43 Engkau menyelubungi diri-Mu dengan kemurkaan lalu mengejar kami, Kaucabut nyawa kami tanpa rasa belas kasihan.
44 Engkau menyelubungi diri-Mu dengan awan, sehingga doa kami tidak dapat menembusinya.
45 Kaujadikan kami hampas dan sampah sarap dalam kalangan bangsa.
46 Semua musuh kami mengangakan mulut terhadap kami.
47 Kami didatangi kengerian dan kesulitan yang tidak diduga, juga kerosakan dan kehancuran.
48 Air mataku mengalir seperti sungai, kerana kehancuran puteri bangsaku.
49 Air mataku tercurah tanpa henti, tidak putus-putusnya,
50 sampai TUHAN menilik dan memandang dari syurga.
51 Mataku menyusahkan hatiku kerana melihat nasib semua anak perempuan kotaku.
52 Orang yang memusuhi aku tanpa alasan dengan gigih memburu aku seperti burung.
53 Mereka menghumban aku ke dalam kancah dan melempari aku dengan batu.
54 Air meluap melampaui kepalaku, aku berkata, “Habislah aku!”
55 Aku menyeru nama-Mu, ya TUHAN, dari dasar kancah yang terdalam.
56 Engkau mendengar suaraku! Janganlah kiranya Kaututup pendengaran-Mu terhadap desakanku dan teriakanku meminta pertolongan.
57 Pada waktu aku berseru kepada-Mu, Engkau datang mendekat. Firman-Mu, “Jangan takut!”
58 Ya Tuhan, Engkau telah membela perkaraku, Engkau telah menebus hidupku.
59 Ya TUHAN, Engkau telah melihat kecurangan terhadap aku. Hakimilah hakku!
60 Segala balas dendam mereka telah Engkau lihat, dan segala rancangan jahat mereka terhadapku.
61 Engkau telah mendengar ejekan mereka, ya TUHAN, segala rancangan jahat mereka terhadapku,
62 iaitu perkataan kalangan yang melawan aku dan fikiran mereka terhadap aku sepanjang hari.
63 Pandanglah! Entah mereka duduk, entah berdiri, aku menjadi lagu ejekan mereka.
64 Balaslah mereka, ya TUHAN, selaras dengan perbuatan tangan mereka.
65 Keraskanlah hati mereka, biarlah laknat-Mu menimpa mereka!
66 Burulah mereka dalam kemurkaan-Mu, dan punahkan mereka daripada kolong langit TUHAN!