1 Mazmur Salomo. Berikanlah penghakiman-Mu, ya Allah, kepada raja, dan perbenaran-Mu kepada anak raja.
2 Dia akan menghakimi umat-Mu dengan adil, dan orang miskin-Mu dengan saksama.
3 Gunung-ganang akan membawa kesejahteraan kepada umat, dan bukit membawa hasil kebenaran.
4 Dia akan membawa keadilan kepada umat yang miskin, Dia akan menyelamatkan anak-anak sesak; dan akan menghancurkan penindas.
5 Mereka akan takut kepada-Mu, selagi ada matahari dan bulan, turun-temurun zaman-berzaman.
6 Dia akan turun seperti hujan ke atas rumput sebelum ditebas, seperti hujan yang mengairi bumi.
7 Dalam pemerintahan-Nya orang yang benar akan makmur; dan kesejahteraan penuh melimpah selagi bulan bercahaya.
8 Dia akan berkuasa dari laut ke laut dan dari Sungai Efrat ke hujung bumi.
9 Mereka yang tinggal di gurun akan tunduk kepada-Nya dan semua musuh-Nya akan menjilat debu.
10 Raja-raja Tarsis dan kepulauan akan membawa persembahan; Raja-raja Sheba dan Seba akan membawa persembahan.
11 Ya, semua raja akan sujud di hadapan-Nya, semua bangsa akan melayani-Nya.
12 Kerana Dia akan menolong orang sesak yang berseru kepada-Nya, dan orang yang menderita, serta mereka yang tidak ada penolong.
13 Dia akan mengasihani orang yang miskin dan memerlukan bantuan, Dia akan menyelamatkan orang yang perlu diselamatkan.
14 Dia akan membebaskan hidup mereka daripada penindasan dan keganasan, dan darah mereka amat berharga bagi-Nya.
15 Dia akan hidup kekal! Emas dari Syeba akan dipersembahkan kepada-Nya. Orang akan sentiasa menyembah-Nya dan berdoa kepada-Nya dan setiap hari Dia akan diberkati.
16 Tanaman biji-bijian akan subur dan makmur; hingga ke puncak gunung. Buahnya melambai-lambai seperti di Lebanon; dan penduduk kota akan bertambah seperti rumput di bumi.
17 Nama-Nya akan kekal selama-lamanya; nama-Nya akan kekal selagi ada matahari. Manusia akan diberkati kerana-Nya, semua bangsa akan memuji-Nya.
18 Segala puji bagi TUHAN, ya Allah Israel, hanya Dia yang melakukan perbuatan yang menakjubkan.
19 Segala puji bagi nama-Nya untuk selama-lamanya; semoga seluruh bumi dipenuhi dengan kemuliaan-Nya. Amin, Amin.
20 Sekian doa Daud anak Isai.