1 Mazmur rayuan Daud. Ya TUHAN, jangan marahi aku dalam kemurkaan-Mu jangan hukum aku dalam nyala keberangan-Mu.
2 Kerana anak-anak panah-Mu menikamku sungguh dalam, dan tangan-Mu menekanku.
3 Seluruh tubuhku sakit kerana kemurkaan-Mu; tulang-tulangku rapuh kerana dosaku.
4 Kejahatan yang kulakukan telah keterlaluan seperti beban yang terlampau berat untukku.
5 Luka-lukaku busuk bernanah kerana kebodohanku.
6 Aku menderita, aku sungguh tertekan; aku berduka sepanjang hari.
7 Kerana pinggangku penuh radang; dan seluruh tubuhku sakit.
8 Aku daif dan remuk-redam; aku merintih kerana hatiku rusuh.
9 Ya Tuhan, seluruh keinginanku terdedah di hadapan-Mu; dan rintihanku tidak tersembunyi daripada-Mu.
10 Hatiku berdebar-debar, kekuatanku hilang; malah mataku juga kehilangan cahaya.
11 Orang yang kusayangi dan sahabat handaiku takut mendekatiku kerana penyakit hawarku; dan saudara-maraku menjauhkan diri daripadaku.
12 Orang yang ingin membunuhku memasang jerat untukku, mereka yang hendak mencederakan aku bercakap tentang kebinasaanku; dan merancangkan penipuan sepanjang hari.
13 Tetapi aku, seperti orang tuli, tidak mendengar, aku seperti orang bisu yang tidak membuka mulut;
14 Demikianlah aku seperti seorang yang tidak mendengar, dan tidak berkata apa-apa tentang segala yang berlaku.
15 Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berharap; Engkau akan mendengar, ya Tuhan, Allahku.
16 Kerana aku berkata, “Dengarlah rayuanku, supaya mereka tidak bergembira dengan penderitaanku, supaya apabila kakiku tergelincir, mereka tidak mengangkat diri menentangku.”
17 Aku lemah mungkin rebah, dan kesedihan sentiasa kurasakan.
18 Aku akan mengakui kejahatanku; aku sedih terseksa kerana dosaku.
19 Tetapi musuhku bertenaga dan gagah; dan mereka yang membenciku tanpa sebab yang wajar telah berganda bilangannya.
20 Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan menjadi seteruku kerana aku menegakkan kebaikan.
21 Janganlah tinggalkan aku, ya TUHAN; Ya Allahku, janganlah jauh daripadaku.
22 Segeralah tolong aku, Ya Tuhan, Penyelamatku!