1 Pujilah TUHAN! Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.
2 Siapa yang dapat menyebutkan perbuatan-perbuatan TUHAN yang hebat, siapa dapat mengisytiharkan seluruh puji bagi-Nya?
3 Diberkatilah mereka yang menjaga keadilan, dan orang yang melakukan apa yang benar setiap waktu.
4 Ingatlah aku, ya TUHAN, dengan keredaan yang Kauberi, selamatkan aku ketika Engkau menyelamatkan mereka,
5 supaya aku dapat menikmati kemewahan orang pilihan-Mu, supaya aku dapat bergembira dengan rasa sukacita bangsa-Mu, supaya aku dapat merasakan kemuliaan dengan warisan-Mu.
6 Kami telah berdosa bersama nenek moyang kami; kami telah melakukan dosa, kami telah berbuat jahat.
7 Nenek moyang kami di Mesir, tidak memahami mukjizat-Mu; mereka tidak ingat akan keihsanan-Mu yang melimpah-limpah, tetapi telah memberontak di pinggir laut, Laut Merah.
8 Namun demikian Dia telah menyelamatkan mereka demi nama-Nya, untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar.
9 Dia juga memurkai Laut Merah, maka laut itu kering; lalu Dia memandu mereka menyeberangi laut seperti merentas gurun.
10 Dia menyelamatkan mereka daripada tangan orang yang membenci mereka; dan melepaskan mereka daripada tangan musuh.
11 Air laut menenggelamkan musuh mereka; tiada seorang pun yang tinggal.
12 Lalu mereka percaya akan firman-Nya; mereka menyanyikan pujian untuk-Nya.
13 Tidak lama kemudian mereka melupakan perbuatan-Nya; mereka tidak menantikan bimbingan-Nya.
14 Tetapi dikuasai nafsu buas di gurun; dan menguji Allah di tanah tandus.
15 Dia memberi mereka apa yang diminta oleh mereka, tetapi menghantar kelemahan ke dalam jiwa mereka.
16 Mereka iri hati kepada Musa di perkhemahan dan Harun, orang suci TUHAN.
17 Bumi terbuka lalu menelan Datan; dan mengambus Abiram serta para pengikutnya.
18 Api dinyalakan dalam kalangan pengikut mereka; lalu membakar orang zalim.
19 Mereka membuat patung anak lembu di Horeb lalu menyembah patung buatan mereka.
20 Dengan demikian mereka menukar kemuliaan mereka untuk patung lembu jantan yang makan rumput.
21 Mereka melupakan Allah Penyelamat mereka, yang telah melakukan perkara-perkara hebat di Mesir,
22 mukjizat-mukjizat di tanah Ham; perkara-perkara yang menakjubkan di pinggir Laut Merah.
23 Oleh itu, Dia berfirman bahawa Dia akan memusnahkan mereka – tetapi Musa, orang pilihan-Nya, berdiri di hadirat-Nya memohon untuk mereka bagi memalingkan kemurkaan-Nya, supaya Dia tidak memusnahkan mereka.
24 Kemudian, mereka membenci tanah yang begitu baik; mereka tidak percaya akan firman-Nya,
25 sebaliknya bersungut di khemah-khemah mereka dan tidak menghiraukan suara TUHAN.
26 Oleh itu, Dia mengangkat tangan-Nya bersumpah bahawa Dia akan membawa kekalahan kepada mereka di gurun,
27 dan kepada anak cucu mereka dalam kalangan bangsa-bangsa, serta menyelerakkan mereka di serata negeri.
28 Mereka juga menyertai Baal di Peor dan makan korban persembahan yang dibuat kepada orang mati;
29 demikianlah mereka menyakitkan hati TUHAN sehingga Dia marah dengan perbuatan mereka, lalu berlaku wabak dalam kalangan mereka.
30 Maka Pinehas tampil memohon untuk mereka, lalu wabak itu berakhir.
31 Perbuatannya itu dikira sebagai perbenarannya turun-temurun selama-lamanya.
32 Mereka juga membuat TUHAN marah di mata air Meriba, lalu Musa ditimpa kesusahan kerana mereka;
33 kerana mereka memberontak terhadap Roh Allah, sehingga Musa bersuara dengan gopoh.
34 Mereka tidak memusnahkan bangsa-bangsa sebagaimana telah diperintahkan oleh TUHAN kepada mereka,
35 sebaliknya mereka bergaul dengan bangsa-bangsa itu dan mempelajari amalan-amalan mereka.
36 Mereka melayani berhala-berhala mereka, yang menjadi jerat kepada mereka.
37 Malah mereka mengorbankan anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan mereka kepada roh-roh Iblis.
38 Dan menumpahkan darah mereka yang tidak bersalah, darah anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan mereka, yang dikorbankan oleh mereka untuk berhala-berhala Kanaan, maka tanah itu dicemari darah.
39 Demikianlah mereka dinodai oleh perbuatan mereka sendiri; dan menjadi seperti pelacur dengan kelakuan mereka sendiri.
40 Oleh itu, kemurkaan TUHAN dinyalakan terhadap umat-Nya, maka Dia jijik akan warisan-Nya sendiri.
41 Lalu Dia menyerahkan mereka ke tangan bangsa-bangsa asing, dan orang yang membenci mereka memerintah mereka.
42 Musuh mereka juga menindas mereka dan mereka tunduk di bawah tangan musuh.
43 Berkali-kali Dia menyelamatkan mereka, tetapi mereka memberontak menurut rancangan sendiri lalu mereka dijatuhkan kerana dosa mereka.
44 Namun demikian, Dia mengambil berat tentang derita mereka apabila Dia mendengar seruan mereka;
45 dan untuk mereka Dia ingat akan perjanjian-Nya lalu berlembut kerana kasih-Nya melimpah-limpah.
46 Dia juga menyebabkan mereka dikasihani oleh semua yang membawa mereka pergi sebagai orang tawanan.
47 Selamatkanlah kami, ya TUHAN Allah kami, dan kumpulkan kami daripada kalangan bangsa asing, supaya kami bersyukur kepada nama-Mu yang suci, supaya kami berbangga dengan pujian untuk-Mu.
48 Pujilah TUHAN, Allah Israel, dari selama-lamanya ke selama-lamanya. Dan biarlah semua orang berkata, “Amin!” Pujilah TUHAN!

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 106
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 106

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV