1 Hikmah telah membina rumahnya serta menegakkan ketujuh-tujuh tiangnya.
2 Ia telah menyembelih haiwannya, mencampurkan air anggurnya, juga menyediakan sajian mejanya.
3 Ia telah mengutus para pelayan perempuannya, dan dari atas tempat-tempat tinggi di kota ia mengundang,
4 “Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!” Kepada orang yang kurang akal, demikianlah katanya,
5 “Mari, makanlah rotiku, dan minumlah air anggur yang telah kucampur.
6 Tinggalkanlah kebebalan, maka kamu akan hidup, dan majulah di jalan pengertian.”
7 Sesiapa yang membetulkan si pencemuh akan mendapat hinaan, dan sesiapa yang menegur orang durjana akan menerima makian.
8 Jangan tegur pencemuh, nanti dia akan membencimu. Tegurlah orang bijaksana, maka dia akan mengasihimu.
9 Nasihatilah orang bijaksana, maka dia akan bertambah arif, dan ajarlah orang benar, maka pengetahuannya akan bertambah.
10 Takut kepada TUHAN adalah permulaan hikmah, dan pengetahuan akan Yang Maha Suci adalah pengertian.
11 Kerana melalui aku, hari-harimu akan menjadi banyak, dan tahun-tahun kehidupanmu akan ditambah.
12 Jika engkau bijaksana, maka kebijaksanaanmu itu bagi dirimu, dan jika engkau mencemuh, engkau sendiri kelak menanggungnya.
13 Perempuan yang bodoh itu cerewet; dia tidak bertimbang rasa, tidak tahu malu dan tidak tahu apa-apa.
14 Dia duduk di depan pintu rumahnya, di tempat-tempat duduk yang terbuka dan tinggi di kota,
15 mengundang orang yang melintasi jalan, yang sedang berjalan lurus,
16 “Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!” Kepada yang kurang berakal demikian katanya,
17 “Air curian manis rasanya, dan roti yang dimakan secara bersembunyi-sembunyi sedap rasanya.”
18 Tetapi orang itu tidak tahu bahawa di situ ada arwah, lantaran tamu-tamunya berada di alam barzakh.