1 Bukankah hikmah berseru-seru, dan pengertian menyaringkan suaranya?
2 Di puncak tempat tinggi di tepi jalan serta di persimpangan, di sanalah ia berdiri.
3 Di sebelah pintu gerbang, tempat masuk menuju kota serta di pintu-pintu masuk, ia mengangkat suaranya,
4 “Hai umat insan, kepadamulah aku berseru, kepada semua anak manusia seruanku ditujukan.
5 Hai orang yang betul bendul, perolehlah kecerdasan; hai orang bodoh, perolehlah pengertian.
6 Dengarlah, kerana aku akan mengatakan hal-hal yang luhur, bibirku terbuka menyampaikan perkara-perkara yang betul.
7 Mulutku akan mengatakan kebenaran; kedurjanaan adalah kekejian bagi bibirku.
8 Segala kata-kata mulutku adalah benar, tiada yang songsang atau bengkang-bengkok.
9 Segalanya itu jelas bagi orang yang berpengertian, dan tepat bagi orang yang berpengetahuan.
10 Pilihlah ajaranku dan bukannya perak; pilihlah pengetahuan dan bukannya emas pilihan.
11 Kerana hikmah lebih bernilai daripada segala permata, dan segala yang dihasratkan tidak setara dengannya.
12 Aku, hikmah, hidup seiring kecerdasan, dan memperoleh pengetahuan serta kebijaksanaan.
13 Takut kepada TUHAN bererti membenci kejahatan. Kesombongan, ketakburan, kejahatan, serta mulut mungkar, semuanya kubenci.
14 Padaku ada nasihat dan hikmah yang baik, aku memiliki pengertian, dan juga kekuatan.
15 Kerana akulah, raja-raja memerintah, dan para penguasa menetapkan keadilan.
16 Kerana aku, para raja dan bangsawan berkuasa, malahan semua yang memerintah di bumi dengan adil.
17 Aku mengasihi orang yang mengasihiku, sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari aku akan menemuiku.
18 Kekayaan dan kehormatan ada padaku, demikian pula harta yang kekal dan kemakmuran.
19 Buahku lebih baik daripada emas, bahkan melebihi emas tulen, demikian pula hasilku lebih baik berbanding dengan perak pilihan.
20 Aku berjalan di jalan yang benar, di tengah-tengah lorong keadilan,
21 demi mewariskan khazanah kepada kalangan yang mengasihiku, dan memenuhi perbendaharaan
22 TUHAN menjadikan aku pada permulaan pekerjaan-Nya, sebagai karya-Nya yang sulung pada zaman purba.
23 Aku ditetapkan sejak azali, sebelum ada bumi.
24 Ketika samudera raya belum ada, aku telah lahir, ketika belum ada mata air yang berlimpah airnya.
25 Sebelum gunung-ganang didirikan, dan lebih dahulu daripada penciptaan bukit-bukau, aku telah lahir,
26 ketika Dia belum menjadikan bumi dan padang-padangnya, atau debu tanah yang mula-mula di dunia ini.
27 Ketika Dia membentangkan langit, aku ada di sana, ketika Dia menempatkan kaki langit pada permukaan samudera;
28 ketika Dia menetapkan awan-awan di atas, dan ketika segala mata air samudera menderas;
29 ketika Dia menentukan batas bagi lautan supaya airnya tidak melanggar perintah-Nya, dan ketika Dia menetapkan asas-asas bumi,
30 aku ada di samping-Nya sebagai ahli binaan. Hari demi hari aku menjadi kegembiraan-Nya,
31 dan sentiasa bersenang-senang di hadapan-Nya, bergembira di atas muka bumi-Nya dan bahagia dengan anak-anak manusia.
32 Sekarang, hai anak-anak, dengarlah kata-kataku, berbahagialah orang yang memelihara jalan-jalanku.
33 Dengarlah didikan dan jadilah orang yang arif; jangan abaikannya.
34 Berbahagialah orang yang mendengar kata-kataku, yang berjaga-jaga setiap hari di pintu gerbangku, dan yang menanti-nanti di pintu rumahku,
35 kerana sesiapa yang menemukanku, menemukan hidup, dan TUHAN berkenan kepadanya.
36 Tetapi sesiapa yang tidak menemukanku, melukai dirinya sendiri. Semua orang yang membenciku, mengasihi maut.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 8
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 8

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV