1 Inilah amsal Salomo: Anak yang arif menyukakan hati ayahnya, tetapi anak yang bodoh adalah kedukaan ibunya.
2 Harta hasil kedurjanaan tidaklah berfaedah, tetapi perbenaran melepaskan orang daripada maut.
3 TUHAN tidak akan membiarkan orang benar kelaparan, tetapi Dia merintangi nafsu orang durjana.
4 Tangan yang malas menempah kemiskinan, tetapi tangan yang rajin menghasilkan kekayaan.
5 Anak yang bijaksana mengumpulkan hasil pada musim panas, tetapi anak yang tidur pada musim menuai membawa aib.
6 Berkat memahkotai orang benar, tetapi mulut orang durjana menyembunyikan kejahatan.
7 Kenangan akan orang benar membawa berkat, tetapi nama orang durjana akan membusuk.
8 Hati yang bijak menerima perintah, tetapi orang bodoh yang banyak bercakap akan hancur.
9 Orang yang hidup dalam keikhlasan, aman jalannya, tetapi sesiapa memesongkan jalannya akan diketahui juga.
10 Orang yang mengenyitkan matanya mendatangkan duka, tetapi orang bodoh yang banyak bercakap akan hancur.
11 Mulut orang benar ialah mata air kehidupan, tetapi mulut orang durjana menyembunyikan kejahatan.
12 Kebencian menimbulkan perbalahan, tetapi kasih menutupi segala pelanggaran.
13 Di bibir orang berpengertian terdapat hikmah, tetapi rotan tersedia bagi belakang orang yang kurang berakal.
14 Orang bijaksana menimbunkan pengetahuan, tetapi mulut orang bodoh mendampingi kehancuran.
15 Harta kekayaan ialah benteng bagi orang kaya, tetapi kepapaan adalah kehancuran bagi orang miskin.
16 Hasil usaha orang benar membawa kepada kehidupan, tetapi dosa tuaian orang durjana membawa kepada penghukuman.
17 Sesiapa yang memperhatikan didikan menuju jalan kehidupan, tetapi sesiapa yang menolak teguran bakal tersesat.
18 Sesiapa yang menyembunyikan kebencian bermulut dusta, dan sesiapa yang menyebar fitnah tidak berakal.
19 Apabila banyak bercakap, dosa pasti ada, tetapi orang bijaksana mengawal mulutnya.
20 Lidah orang benar bagaikan perak pilihan, tetapi hati orang durjana tiada harganya.
21 Bibir orang benar menggandakan belas ihsan, tetapi orang yang bodoh mati kerana kurang berakal.
22 Berkat TUHAN mengayakan, dan Dia tidak menambahkan kesusahan kepadanya.
23 Berbuat jahat bagaikan permainan orang bodoh, tetapi hikmah ialah kegemaran bagi orang yang berpengertian.
24 Orang durjana akan ditimpa perkara yang ditakutinya, tetapi keinginan orang benar akan termakbul.
25 Apabila angin puting beliung melanda akan tiada lagi orang durjana, tetapi orang benar akan kukuh selama-lamanya.
26 Sebagaimana kesan cuka bagi gigi dan asap bagi mata, demikianlah si pemalas bagi orang yang mengutusnya.
27 Takut kepada TUHAN memanjangkan usia, tetapi tahun-tahun orang durjana akan dipersingkat.
28 Harapan orang benar akan menjadi sukacita, tetapi harapan orang durjana akan binasa.
29 Jalan TUHAN adalah perlindungan bagi orang yang tulus, tetapi kehancuran bagi orang yang berbuat jahat.
30 Orang benar tidak akan goyah untuk selama-lamanya, tetapi orang durjana tidak akan lama di bumi ini.
31 Mulut orang benar mengucapkan hikmah, tetapi lidah yang suka mungkar akan dikerat.
32 Bibir orang benar tahu apa yang menyenangkan, tetapi mulut orang durjana hanya tahu kata-kata mungkar.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 10
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 10

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV