1 Siapakah yang seperti orang bijaksana? Dan siapakah yang mengetahui tafsiran setiap perkara? Hikmah menjadikan wajah seseorang berseri-seri dan kekerasan wajahnya pun berubah.
2 Nasihatku: patuhilah perintah raja demi ikrarmu kepada Allah.
3 Janganlah tergesa-gesa beredar dari hadapannya. Janganlah membangkang dalam hal kejahatan kerana dia akan melakukan apa-apa jua mengikut kehendaknya.
4 Titah raja memang berkuasa, maka siapakah yang akan bertanya kepadanya: “Apakah yang tuanku buat?”
5 Sesiapa yang mematuhi perintah tidak akan menerima bencana kerana hati orang yang bijaksana mengetahui waktu dan cara yang sewajarnya.
6 Sebabnya segala sesuatu mempunyai waktu dan cara yang tepat meskipun manusia menanggung kesusahan yang berat.
7 Sesungguhnya, tidak diketahuinya apa yang bakal berlaku kerana siapakah yang dapat memberitahunya bagaimana hal itu akan terjadi?
8 Tiada manusia yang berkuasa terhadap angin ataupun atas hari kematian. Tiada istirahat dalam peperangan sebagaimana kefasiqan tidak menyelamatkan orang yang melakukan kefasiqan.
9 Semua ini kuperhatikan dan kuteliti segala perbuatan yang dilakukan di bawah matahari dan ada ketika seseorang menguasai orang lain hingga mencederakannya.
10 Aku turut melihat kalangan fasiq dikebumikan, segala kefasiqan mereka dilupakan dan mereka dimuliakan oleh warga kota, termasuk yang datang dari tempat-tempat suci. Ini pun kesia-siaan.
11 Kerana hukuman atas perbuatan jahat tidak segera dilaksanakan, lantas hati anak-anak manusia cenderung ke arah berbuat jahat.
12 Walaupun si pendosa berbuat jahat seratus kali dan panjang usianya, namun aku pasti bahawa orang yang takut kepada Allah akan hidup damai sejahtera kerana mereka bertakwa kepada-Nya.
13 Tetapi orang fasiq tidak akan beroleh kesejahteraan dan seperti bayang-bayang, usianya tidak akan dilanjutkan lantaran dia tidak takut kepada Allah.
14 Ada kesia-siaan yang berlaku di bumi: ada orang salih yang menerima balasan yang patut bagi perbuatan orang fasiq, dan ada orang fasiq yang menerima pahala yang patut bagi perbuatan orang salih. Aku berkata: “Ini pun kesia-siaan.”
15 Maka aku mensyukuri segala nikmat kehidupan kerana di bawah matahari, tiada yang lebih baik daripada makan, minum dan bersifat ceria bagi manusia. Itu yang mengiringi segala usahanya berpenat lelah sepanjang usia yang dianugerahkan Allah kepadanya di bawah matahari.
16 Ketika kutetapkan hati untuk memahami hikmah dan melihat manusia berhemah menjalani kehidupan di dunia dengan penuh ketekunan hingga tidak tidur siang malam,
17 nyatalah kepadaku bahawa manusia tidak dapat memahami erti segala perbuatan yang dilakukan Allah di bawah matahari. Betapa kuat ketekunan manusia berpenat lelah pun, dia tidak mampu menyelaminya. Bahkan orang bijaksana yang mendakwa dia mengetahuinya juga tidak dapat menyelaminya.