1 Bangkai lalat menyebabkan minyak pembuat minyak urap berbau busuk; begitu juga sedikit kebodohan lebih besar kesannya daripada hikmah dan kehormatan.
2 Hati orang bijaksana memimpin ke arah yang betul tetapi hati orang bodoh menjurus ke jalan yang salah.
3 Perjalanan orang bodoh pun kurang akal budinya hinggakan ternyata kebodohannya kepada semua orang.
4 Jika meluap kemarahan pihak berkuasa terhadap kamu, janganlah meninggalkan tempatmu, kerana kesabaran menenteramkan kesalahan besar.
5 Ada nahas yang kulihat di bawah matahari sebagaimana kesilapan yang berpunca daripada seorang penguasa:
6 kalangan bodoh mengisi tempat tinggi sedangkan mereka yang kaya memenuhi tempat yang rendah.
7 Kulihat ada abdi yang menunggang kuda manakala para pembesar berjalan kaki seperti kalangan abdi.
8 Sesiapa yang menggali lubang akan jatuh ke dalamnya, dan sesiapa menembusi tembok akan dipagut ular.
9 Sesiapa yang memecahkan batu luka kerana batu dan sesiapa yang membelah kayu akan terancam oleh bahaya daripada kayu itu.
10 Mata kapak yang tumpul dan tidak diasah akan memerlukan penggunanya mengeluarkan tenaga yang banyak tetapi hikmah membantu keberhasilan usaha.
11 Jika ular memagut sebelum mantera dibunyikan, tiadalah kelebihan bagi si pawang ular itu.
12 Kata-kata orang bijaksana penuh kurnia walhal bibir orang bodoh menelan diri orang itu sendiri.
13 Permulaan cakapnya pun bodoh dan penyudahnya hanya kegilaan yang durjana.
14 Si bodoh mengeluarkan kata-kata yang berleret-leret, meskipun tiada seorang manusia yang mengetahui apa akan berlaku dan apa kelak terjadi sesudah dia tiada.
15 Maka hanya kelesuan diperoleh si bodoh yang berpenat lelah, kerana dia tidak akan tahu jalan menuju ke kota.
16 Malangnya bumi yang rajanya keanak-anakan manakala para pembesarnya berpesta ria biarpun hari masih pagi!
17 Berbahagialah bumi yang rajanya daripada kalangan bangsawan dan para pemimpinnya makan pada waktunya demi memperoleh daya kekuatan dan bukan untuk mabuk-mabuk!
18 Runtuh atap kerana kemalasan dan bocor rumah kerana berat tulang.
19 Makanan disediakan untuk dinikmati dan air anggur untuk meriangkan hidup dan wang yang memungkinkan semuanya dilakukan.
20 Usah mengutuk raja sekalipun hanya dalam fikiran dan di dalam bilik tidurmu, jangan mengutuk kalangan kaya kerana mungkin burung yang berterbangan kelak mengadu hal itu, dan para pemberi maklumat dapat memanjangkan kata-katamu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Pengkhotbah 10
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Pengkhotbah 10

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV