1 Sekarang berhimpunlah, wahai puteri yang berpasukan, pengepungan telah diadakan terhadap kita. Dengan tongkat mereka akan menghentam rahang orang yang memerintah Israel.
2 “Tetapi engkau, wahai Betlehem Efrata, yang teramat kecil untuk berada di antara kaum-kaum Yehuda, daripada kamu akan muncul bagi-Ku seorang yang akan menjadi pemerintah di Israel. Asal-usulnya sudah sejak zaman dahulu, sejak purbakala lagi.”
3 Oleh sebab itu, dia akan membiarkan mereka sehingga tiba waktu perempuan yang dalam pelahiran telah melahirkan. Lalu saudara-saudaranya yang selebihnya akan kembali kepada orang Israel.
4 Dia akan tampil dan akan menggembala mereka dengan kekuatan TUHAN, dalam keagungan nama TUHAN, Allahnya. Mereka akan tinggal dengan selamat, kerana pada waktu itu dia menjadi besar sampai ke hujung bumi.
5 Dia ini akan menjadi sumber kesejahteraan. Apabila orang Asyur masuk ke negeri kita dan apabila mereka menginjak puri-puri kita, maka kita akan mengangkat tujuh orang gembala dan lapan orang pemimpin manusia untuk melawan mereka.
6 Dengan pedang mereka akan menguasai Tanah Asyur dan Tanah Nimrod di muka pintu gerbangnya. Dia akan melepaskan kita daripada cengkaman orang Asyur apabila mereka masuk ke negeri kita dan apabila mereka menginjak daerah kita.
7 Sisa Yakub akan ada di tengah-tengah banyak bangsa seperti embun daripada TUHAN, seperti hujan ke atas tumbuh-tumbuhan yang tidak menanti-nantikan sesiapa pun dan tidak menunggu-nunggu anak-anak manusia.
8 Sisa Yakub akan ada di antara bangsa-bangsa, di tengah-tengah banyak suku bangsa, seperti singa antara mergastua hutan, seperti seekor singa muda antara kawanan domba. Jika menerkam mangsa, ia akan menginjak-injak serta mencabik-cabik tanpa ada yang melepaskan mangsa itu.
9 Tanganmu akan ditinggikan mengatasi lawan-lawanmu dan semua musuhmu akan dilenyapkan.
10 “Pada hari itu akan terjadi,” demikianlah firman TUHAN, “Aku akan melenyapkan kuda-kudamu daripada kalanganmu dan membinasakan segala ratamu.
11 Aku akan melenyapkan kota-kota negerimu dan meruntuhkan kubu-kubumu.
12 Aku akan melenyapkan sihir daripada tanganmu dan para peramal tidak akan ada lagi padamu.
13 Aku akan melenyapkan patung-patung ukiranmu dan tiang-tiang berhalamu daripada kalanganmu. Engkau tidak akan lagi sujud menyembah hasil kerja tanganmu.
14 Aku akan mencabut patung berhala Asyera kamu daripada tengah-tengahmu dan memusnahkan kota-kotamu.
15 Aku akan melakukan pembalasan dalam murka dan amarah kepada bangsa-bangsa yang tidak mahu taat.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mikha 5
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mikha 5

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV