1 Pada hari-hari terakhir gunung tempat Bait TUHAN akan ditegakkan sebagai puncak semua gunung dan akan ditinggikan melebihi bukit-bukit, dan orang akan berduyun-duyun ke sana.
2 Banyak bangsa akan datang dan berkata, “Mari kita naik ke gunung TUHAN, ke Rumah Allah Yakub. Dia akan mengajar jalan-jalan-Nya kepada kita, sehingga kita dapat melangkah di jalan-jalan-Nya.” Sememangnya, hukum akan keluar dari Sion dan firman TUHAN dari Yerusalem.
3 Dia akan menjadi hakim antara banyak suku bangsa dan akan memutuskan perkara bagi bangsa-bangsa yang kuat sampai ke tempat yang jauh. Mereka akan menempa pedang mereka menjadi mata bajak dan tombak mereka menjadi pisau pemangkas. Bangsa tidak akan lagi mengangkat pedang terhadap bangsa dan mereka tidak akan lagi belajar ilmu peperangan.
4 Setiap orang akan duduk di bawah pokok anggurnya dan di bawah pokok aranya tanpa ada yang mengusik, kerana TUHAN alam semesta telah berfirman.
5 Sekalipun segala suku bangsa hidup dalam nama tuhan masing-masing, tetapi hidup kita akan tetap dalam nama TUHAN, Allah kita, untuk seterusnya dan selama-lamanya.
6 “Pada hari itu,” demikianlah firman TUHAN, “Aku akan mengumpulkan orang yang tempang. Aku akan menghimpunkan orang yang telah diusir dan yang telah Kuberikan penderitaan.
7 Orang yang tempang akan Kujadikan saki-baki bangsa dan kalangan yang terbuang Kujadikan bangsa yang kuat. TUHAN akan bertakhta atas mereka di Gunung Sion dari waktu itu untuk selama-lamanya.
8 Mengenai engkau, wahai Menara Kawanan Ternak, bukit puteri Sion, kepadamu akan tiba dan akan datang pemerintahan yang dahulu, yakni kerajaan bagi puteri Yerusalem.”
9 Sekarang, mengapakah engkau berteriak dengan kuat? Tidak adakah lagi raja dalam kalanganmu? Adakah penasihatmu sudah binasa sehingga kamu dicengkam kesakitan seperti perempuan yang mengalami sakit pelahiran?
10 Menggeliatlah dan mengejanlah, wahai puteri Sion, seperti perempuan yang mengalami sakit pelahiran, kerana sekarang engkau harus keluar dari kota dan berdiam di padang. Engkau harus pergi sampai ke Babel, di sanalah engkau akan diselamatkan, di sanalah engkau akan ditebus TUHAN daripada tangan para musuhmu.
11 Sekarang banyak bangsa yang berkumpul demi melawan engkau. Mereka berkata, “Biarlah dia dinajiskan. Biarlah mata kita puas memandangi Sion.”
12 Tetapi mereka tidak mengetahui fikiran TUHAN dan tidak mengerti rancangan-Nya, bahawa Dia akan menghimpunkan mereka seperti berkas-berkas gandum ke tempat pembantingan.
13 “Segeralah mengirik, wahai puteri Sion, kerana tandukmu akan Kujadikan besi dan kukumu akan Kujadikan tembaga. Engkau akan menumbuk hancur banyak suku bangsa. Engkau akan mengkhususkan jarahan mereka kepada TUHAN dan kekayaan mereka kepada Tuhan semesta bumi.”