1 Pada hari Sabat Yesus berjalan melalui ladang gandum dan murid-murid-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya.
2 Beberapa orang Farisi berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?”
3 Yesus menjawab, “Tidakkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan mereka yang mengikutinya berasa lapar:
4 bagaimana dia masuk ke dalam Rumah Allah lalu makan roti persembahan serta memberikan roti itu kepada mereka yang mengikutinya, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu?”
5 Seterusnya Yesus berkata kepada mereka, “Anak Manusia ialah Tuhan atas hari Sabat.”
6 Pada suatu hari Sabat yang lain, Yesus masuk ke saumaah lalu mengajar di situ. Di situ ada seorang yang lumpuh tangan kanannya.
7 Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat.
8 Yesus mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, “Bangunlah dan berdiri di sini.” Orang itu pun bangun dan berdiri di situ.
9 Yesus berkata kepada mereka, “Aku bertanya kepadamu, manakah yang wajar dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan atau membinasakan nyawa?”
10 Yesus memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu langsung melakukannya dan tangannya terus sembuh.
11 Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dilakukan terhadap Yesus.
12 Pada masa itu Yesus naik ke bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah.
13 Setelah hari siang, Yesus memanggil murid-murid-Nya dan daripada mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya rasul:
14 Simon yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andreas saudaranya, Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus,
15 Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus, Simon yang disebut orang Patriot,
16 Yudas anak Yakobus, dan Yudas Iskariot yang menjadi pengkhianat.
17 Yesus turun bersama mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata. Di situ terdapat sebilangan besar daripada murid-Nya dan ramai orang dari seluruh jajahan Yudea, dari Yerusalem dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon
18 yang datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh-roh jahat turut datang dan mereka juga disembuhkan.
19 Semua orang cuba menyentuh Yesus kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua.
20 Yesus memandang murid-murid-Nya lalu berkata: “Diberkatilah kamu yang miskin, kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.
21 Diberkatilah kamu yang lapar sekarang, kerana kamu akan dipuaskan. Diberkatilah kamu yang menangis sekarang, kerana kamu akan bersuka ria.
22 Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan menjahatkan namamu kerana Anak Manusia.
23 “Bersuka rialah apabila perkara itu berlaku dan melompatlah kegembiraan, kerana besar ganjaranmu di syurga kelak. Begitu jugalah diperlakukan nenek moyang mereka terhadap para nabi.
24 Tetapi malangnya kamu yang kaya, kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang.
25 Malangnya kamu yang sekarang kenyang, kerana kamu akan lapar kelak. Malangnya kamu yang sekarang tertawa, kerana kamu akan menangis dan meratap kelak.
26 Malangnya kamu apabila kamu dipuji semua orang, kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka kepada nabi-nabi palsu.”
27 “Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata: Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu;
28 berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu.
29 Jika orang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga.
30 Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu.
31 Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka.
32 Jika kamu mengasihi orang yang mengasihimu, apakah kelebihanmu? Malah, orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka.
33 Dan jika kamu membalas baik kepada orang yang berbuat baik kepadamu, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun berbuat demikian.
34 Jika kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun meminjami orang berdosa untuk mendapatkan kembali sama banyaknya.
35 Tetapi kamu hendaklah mengasihi musuhmu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang zalim.
36 Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.”
37 “Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni.
38 Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah ruah akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu.”
39 Kemudian Yesus memberitahu suatu ibarat lagi. “Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Tidakkah kedua-duanya akan jatuh ke dalam parit?
40 Tiada murid yang melebihi gurunya; tetapi setiap murid yang terlatih dengan sempurna akan menyerupai gurunya.
41 Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari?
42 Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar itu daripada matamu’ sedangkan kamu tidak nampak sebatang kayu balak terpampang di matamu sendiri? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu.”
43 “Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik.
44 Tiap-tiap pokok dikenal daripada buahnya. Orang tidak memetik buah ara daripada pokok duri atau buah anggur daripada semak duri.
45 Orang yang baik membuahkan hal-hal yang baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan; orang yang jahat membuahkan hal-hal yang jahat kerana hatinya penuh kejahatan. Yang diluahkan mulutnya, meluap daripada hatinya.”
46 “Mengapakah kamu memanggil Aku, ‘Tuhan, Tuhan,’ tetapi tidak mematuhi perintah-Ku?
47 Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta menurut kata-kata-Ku.
48 Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh.
49 Akan tetapi, orang yang mendengar dan tidak menurut kata-kata-Ku umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila dilanda arus sungai, rumah itu akan runtuh dan kerosakannya besar sekali.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 6
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 6
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV