1 Yesus penuh dengan Roh Kudus, kembali dari Sungai Yordan dan dipimpin oleh Roh ke padang gurun.
2 Selama empat puluh hari, Dia digoda oleh Iblis. Sepanjang masa itu, Dia tidak makan apa-apa. Sesudahnya semua itu, Dia berasa kelaparan.
3 Lalu Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti.”
4 Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.’ ”
5 Iblis membawa Yesus ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia.
6 Iblis berkata kepada-Nya, “Segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka.
7 Jadi, jika Engkau menyembahku, semuanya itu akan menjadi kepunyaan-Mu.”
8 Tetapi Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ”
9 Kemudian, Iblis membawa Yesus ke Yerusalem lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Suci dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah dari sini,
10 kerana telah tersurat, ‘Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk menjaga-Mu
11 dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’ ”
12 Tetapi Yesus menjawab, “Ada dikatakan, ‘Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.’ ”
13 Setelah Iblis selesai menggoda Yesus, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu.
14 Yesus kembali ke Galilea dalam kuasa Roh. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu.
15 Dia mengajar di saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.
16 Yesus kembali ke Nazaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci.
17 Kitab Nabi Yesaya diberikan kepada Yesus dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat:
18 “Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah mengurapi Aku untuk memberitakan khabar baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, kelepasan bagi orang yang tertindas,
19 dan mengisytiharkan tahun keredaan Tuhan!”
20 Yesus menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya.
21 Yesus mula berucap kepada mereka, “Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya.”
22 Semua orang menyanjung Dia dan mengagumi kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, “Bukankah Dia anak Yusuf?”
23 Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, ‘Tuan tabib, ubati diri-Mu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.’ ”
24 Yesus menambah, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.
25 Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Elia tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, dan terjadilah bencana kebuluran di seluruh negeri itu.
26 Tetapi Elia tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarfat di Sidon.
27 Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Elisa tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang ditahirkan melainkan Naaman, orang Siria.”
28 Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang.
29 Mereka bangun lalu mengusir Yesus dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah.
30 Tetapi Yesus berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.
31 Kemudian Yesus pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32 Mereka kagum dengan ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya penuh wibawa.
33 Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring,
34 “Ah, apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!”
35 Yesus membentak roh iblis itu, “Diam! Keluar daripada dia!” Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.
36 Mereka semua tercengang dan berkata sesama sendiri, “Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh wibawa dan kuasa Dia memerintah roh-roh jahat itu, mereka terus keluar.”
37 Maka perkhabaran tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu.
38 Yesus meninggalkan saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas, dan mereka memohon kepada Yesus untuk menolongnya.
39 Yesus berdiri di tepi katilnya dan membentak demam itu lalu deman itu pun hilang. Ibu mertua Simon segera bangun dan melayan mereka.
40 Ketika matahari sedang terbenam, semua orang yang menghidap pelbagai penyakit dibawa kepada Yesus. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka.
41 Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, “Engkaulah Anak Allah.” Yesus memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah Kristus.
42 Ketika fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka.
43 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Aku harus mengkhabarkan berita baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Sebab untuk tujuan inilah, maka Aku diutus.”
44 Maka, Dia berkhutbah di saumaah di Yudea.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 4
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke