1 Mempelai laki-laki Aku datang ke tamanku, wahai adindaku, pengantinku. Kukumpulkan damar wangiku dan rempah-ratusku, kumakan sarang lebahku bersama dengan maduku, kuminum air anggurku serta susuku. Puteri-puteri Yerusalem Makanlah, wahai sahabat-sahabat, dan minumlah! Minumlah sehingga kamu mabuk cinta!
2 Mempelai perempuan Aku tidur, namun hatiku masih sedar. Dengarlah, kekasihku mengetuk-ngetuk pintu. “Bukakanlah aku pintu, wahai adindaku, sayangku, merpatiku, kekasihku yang sempurna! Kepalaku kuyup oleh embun dan rambutku lebat dengan titis-titis embun malam.”
3 Mempelai perempuan Bajuku telah kutanggalkan, haruskah aku pakainya semula? Kakiku telah kubasuh, haruskah aku mengotorkannya semula?
4 Kekasihku memasukkan tangannya menerusi lubang di pintu, berdebar-debarlah hatiku kerananya.
5 Aku bangun untuk membuka pintu bagi kekasihku. Tanganku menitiskan damar wangi, dan mengalirlah damar wangi daripada jari-jariku ke atas pemegang di pengancing pintu.
6 Kubuka pintu untuk kekasihku, tetapi kekasihku telah berpaling dan pergi. Hatiku terhenyak ketika dia berkata-kata. Kucari dia, tetapi tidak kutemui; kupanggil-panggil, tetapi dia tidak menyahut.
7 Para pengawal yang meronda kota menemui aku. Mereka memukuli aku, mereka melukai aku, mereka merampas mantelku – para penjaga tembok itu!
8 Kumohon dengan sungguh-sungguh kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, jika kamu menemukan kekasihku, sampaikanlah kepadanya bahawa aku diserang sakit asmara!
9 Puteri-puteri Yerusalem Apakah kelebihan kekasihmu daripada kekasih lain, wahai yang tercantik di antara perempuan? Apakah kelebihan kekasihmu berbanding dengan kekasih lain, sehingga kaumohon sangat-sangat kepada kami?
10 Mempelai perempuan Kekasihku itu putih kemerah-merahan, terkemuka di antara sepuluh ribu orang.
11 Kepalanya bak emas termurni, rambutnya ikal, sehitam sang gagak.
12 Matanya bak burung merpati di tepi saluran air, bermandikan susu, lengkap dalam kecukupan.
13 Pipinya bagaikan hamparan rempah-ratus, bak permatang pelbagai herba harum. Bibirnya bak bunga bakung, menitiskan cairan damar wangi.
14 Tangannya bak gandar emas, bertatahkan permata topaz. Tubuhnya bak ukiran gading, bertatah batu nilam.
15 Kakinya bak tonggak marmar putih, terlekap di atas alas emas murni. Keterampilannya bak Lebanon, terpilih sebagaimana pokok-pokok araznya.
16 Mulutnya paling manis, ya dia sama sekali mengasyikkan. Demikianlah kekasihku, demikianlah sahabatku, wahai puteri-puteri Yerusalem.