1 Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Sekarang kamu akan melihat apa yang akan Kulakukan terhadap Firaun, kerana hanya setelah dipaksa oleh tangan yang kuat barulah dia akan mengizinkan orang Israel pergi. Ya, dengan dipaksa oleh tangan yang kuat barulah dia akan mengusir mereka dari tanahnya.”
2 Kemudian berfirmanlah Allah kepada Musa, “Akulah TUHAN.
3 Aku telah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku belum menyatakan diri dengan sepenuh makna nama-Ku, TUHAN.
4 Aku juga sudah menetapkan perjanjian-Ku dengan mereka untuk mengurniakan Tanah Kanaan kepada mereka, iaitu tempat mereka tinggal sebagai pendatang.
5 Aku telah mendengar rintihan orang Israel yang diperhamba oleh warga Mesir, dan Aku ingat akan perjanjian-Ku.
6 Maka katakanlah kepada orang Israel, ‘Akulah TUHAN. Aku akan membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. Aku akan melepaskan kamu daripada perhambaan mereka, dan menebus kamu dengan lengan yang terhulur dan hukuman yang besar.
7 Aku akan mengangkat kamu menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, yang membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir.
8 Aku akan membawa kamu ke negeri yang dengan bersumpah Aku berjanji akan Kukurniakan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengurniakannya kepadamu untuk menjadi milikmu. Akulah TUHAN.”
9 Namun begitu, apabila Musa menyampaikan kata-kata itu kepada orang Israel, mereka yang terlalu sedih dengan penindasan daripada beban perhambaan atas mereka itu langsung tidak mahu mendengar kata-kata Musa itu.
10 TUHAN berfirman pula kepada Musa,
11 “Pergilah dan katakanlah kepada Firaun, raja Mesir, supaya dia mengizinkan orang Israel pergi dari negerinya.”
12 Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Orang Israel manakala enggan mendengar hamba-Mu ini, bagaimana mungkin Firaun akan mendengar kata-kata hamba-Mu ini. Apatah lagi, hamba seorang yang tidak petah lidahnya?”
13 Tetapi TUHAN berfirman lagi kepada Musa dan Harun serta mengutus mereka kepada orang Israel dan kepada Firaun, raja Mesir, untuk membawa orang Israel keluar dari Tanah Mesir.
14 Ini ialah salasilah para leluhur mereka: Para anak Ruben, anak sulung Israel ialah Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. Itulah kaum keluarga Ruben.
15 Para anak Simeon ialah Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan Saul, anak seorang perempuan Kanaan. Itulah kaum keluarga Simeon.
16 Nama anak Lewi menurut urutan kelahiran mereka ialah Gerson, Kehat, dan Merari. Lewi hidup sehingga berusia 137 tahun.
17 Para anak Gerson ialah Libni dan Simei, menurut kaum keluarga masing-masing.
18 Para anak Kehat ialah Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. Kehat hidup sehingga berusia 133 tahun.
19 Para anak Merari ialah Mahli dan Musi. Itulah kaum-kaum Lewi menurut keturunan mereka.
20 Amram memperisteri Yokhebed, saudara ayahnya, dan isterinya itu melahirkan Harun dan Musa baginya. Amram hidup sehingga berusia 137 tahun.
21 Para anak Yizhar ialah Korah, Nefeg, dan Zikhri.
22 Para anak Uziel ialah Misael, Elsafan, dan Sitri.
23 Harun memperisteri Eliseba anak Aminadab, saudara Nahason, dan isterinya itu melahirkan Nadab, Abihu, Eleazar, serta Itamar untuknya.
24 Para anak Korah ialah Asir, Elkana, dan Abiasaf. Itulah kaum keluarga bani Korah.
25 Eleazar anak Harun memperisteri seorang anak perempuan Putiel, dan isterinya itu melahirkan Pinehas untuknya. Itulah salasilah kaum keluarga bani Lewi.
26 Mereka itulah Harun dan Musa yang menerima firman TUHAN, “Bawalah orang Israel keluar dari Tanah Mesir secara teratur menurut pelbagai kumpulan mereka.”
27 Mereka berdualah yang berbicara kepada Firaun, raja Mesir, bahawa mereka akan membawa orang Israel keluar dari Mesir. Musa dan Harun itulah orangnya.
28 Demikianlah firman TUHAN kepada Musa ketika TUHAN berbicara kepada Musa di Tanah Mesir,
29 “Akulah TUHAN. Katakanlah kepada Firaun, raja Mesir, segala hal yang Kufirman kepadamu.”
30 Tetapi Musa menjawab kepada TUHAN, “Sesungguhnya, hamba-Mu ini seorang yang tidak petah lidahnya, bagaimanakah mungkin Firaun akan mendengar kata-kata hamba?”