1 Daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, Bezaleel dan Aholiab membuat pakaian yang berjalin kemili untuk penyelenggaraan ibadat di tempat suci. Mereka juga membuat pakaian suci untuk Harun, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
2 Mereka membuat baju efod daripada bahan emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal.
3 Emas ditempa untuk menjadi lembaran lalu dipotong-potong menjadi benang untuk disulam pada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus menurut kepakaran dan hasil kerja seorang pekerja mahir.
4 Kemudian mereka membuat tali penutup bahu yang bersambung pada kedua-dua hujung baju efod itu.
5 Ikat pinggang hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir disambungkan pula pada baju efod itu, bersepadu dan sedondon dengan baju efod itu, iaitu daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
6 Mereka menatah pula batu permata oniks secara jalinan kemili dengan ikatan emas, lalu sebagaimana pengukiran cincin materai, pada batu permata itu diukirkan nama para anak Israel.
7 Setelah itu, mereka menempatkan batu permata itu pada tali-tali penutup bahu baju efod sebagai permata peringatan untuk mengingat anak-anak Israel, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
8 Lalu mereka membuat penutup dada, melalui hasil kepakaran seorang pekerja mahir, sama seperti baju efod itu, iaitu daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal.
9 Bentuknya empat persegi, dibuat berlapis dua, sejengkal panjangnya dan sejengkal lebarnya.
10 Di penutup dada itu mereka pasangkan empat baris batu permata tatahan: pertama sebaris batu permata berupa akik merah, manikam kuning, dan zamrud.
11 Di baris kedua batu permata firus, nilam, dan intan;
12 dan di baris ketiga pula zirkon yakut, akik putih, dan kecubung.
13 Manakala di baris keempat ialah topaz, oniks, dan yaspis dan semuanya diikatkan bertatah emas.
14 Jumlah batu permata ini dua belas biji iaitu sejajar dengan jumlah nama anak Israel. Masing-masing batu permata itu diukir seperti materai, diukirkan satu nama daripada dua belas suku itu.
15 Di atas penutup dada itu mereka membuat beberapa rantai berjalin kemili seperti tali daripada emas tulen.
16 Lalu mereka membuat dua urat ikatan emas dan dua urat gegelang emas. Kedua-dua gegelang itu dipasang mereka pada kedua-dua hujung penutup dada,
17 dan pada gegelang itu mereka sambungkan kedua jalinan rantai emas tadi.
18 Dua hujung yang lain daripada kedua-dua jalinan itu mereka pasangkan pada dua ikatan emas tadi. Dengan demikian, kedua-duanya terpasang pada tali-tali bahu baju efod di sebelah depan.
19 Kemudian mereka membuat dua lagi gegelang emas lalu memasangnya pada dua hujung penutup dada di lapisan sebelah dalam, yang berhadapan langsung dengan baju efod.
20 Mereka juga membuat dua gegelang emas lain dan memasangnya pada bahagian bawah dari kedua-dua tali bahu baju efod di sebelah depan, dekat sambungannya, di atas ikat pinggang baju efod hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir itu.
21 Kemudian mereka mengikatkan gegelang penutup dada itu pada gegelang baju efod dengan benang biru, supaya penutup dada itu tetap berada di atas ikat pinggang baju efod hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir itu serta tidak terurai daripada baju efod itu, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
22 Mereka juga membuat jubah baju efod yang keseluruhannya daripada kain biru, melalui hasil kepakaran seorang tukang tenun.
23 Lubang untuk kepala seperti pada baju zirah dibuat betul-betul di tengah-tengah jubah itu dengan pita tenunan di seluruh kelilingnya supaya tidak koyak.
24 Di sekeliling tepi sebelah bawah jubah itu mereka membuat hiasan seperti buah delima daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal.
25 Selain itu mereka membuat kerincing-kerincing daripada emas tulen, lalu memasangnya berselang-selang dengan hiasan-hiasan buah delima tadi di sekeliling kelepet di bahagian bawah jubah.
26 Satu kerincing lalu satu buah delima, kemudian satu kerincing lagi diikuti satu buah delima, dan seterusnya di sekeliling kelepet jubah yang akan dipakai untuk penyelenggaraan ibadat itu, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
27 Setelah itu, mereka membuat tunik daripada linen halus tenunan pakar untuk Harun dan anak-anaknya,
28 begitu jugalah mereka membuat segala serban dan ikat kepala daripada kain linen halus, seluar daripada linen halus yang dipintal,
29 serta semua ikat pinggang daripada linen halus yang dipintal, dan kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala berhiaskan sulaman, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
30 Mereka membuat juga mahkota yang suci daripada emas tulen dan mengukirkan padanya tulisan “Suci bagi TUHAN”, seperti ukiran pada materai.
31 Hiasan itu mereka lengkapkan dengan benang biru agar dapat dipasangkan pada bahagian atas serban, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
32 Maka selesailah keseluruhan pembinaan Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan yang kesemuanya dilaksanakan oleh orang Israel menurut segala yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
33 Kemudian mereka membawa Khemah Suci itu ke hadapan Musa, iaitu: khemah dengan segala kelengkapannya seperti segala pengancingnya, rangka papannya, kayu palangnya, tiangnya, dan lesung pasaknya;
34 penutup khemah daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, penutup daripada kulit anjing laut, dan tabir penudung;
35 tabut loh hukum dengan kayu-kayu pengusungnya dan penutup pendamaian;
36 meja dengan segala kelengkapannya dan roti persembahan;
37 kaki pelita daripada emas tulen dengan pelitanya – pelita yang berderet, segala kelengkapannya, dan minyak untuk pencahayaan;
38 mazbah pendupaan daripada emas, minyak tahbis, dan dupa harum; tirai bagi pintu khemah itu;
39 mazbah daripada gangsa dengan kekisi gangsanya, kayu-kayu pengusungnya, dan segala kelengkapannya; bejana pembasuhan dengan kekakinya;
40 hamparan gantung untuk laman dalam dengan segala tiang dan lesung pasaknya, tabir pintu masuk laman dalam dengan segala talinya dan pasaknya, serta segala kelengkapan untuk peribadatan di Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan.
41 Selain itu dibawa juga pakaian yang berjalin kemili untuk penyelenggaraan ibadat di tempat suci, pakaian suci untuk Imam Harun, dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas sebagai imam.
42 Orang Israel melaksanakan segala pekerjaan itu, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.
43 Musa memeriksa seluruh pekerjaan itu, dan nyatalah bahawa mereka sudah melaksanakannya seperti yang diperintahkan oleh TUHAN. Kemudian Musa memohonkan keberkatan atas mereka.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Keluaran 39
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Keluaran 39

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV