1 Jika seseorang mencuri seekor lembu atau seekor domba dan menyembelihnya atau menjualnya, maka hendaklah dia membayar ganti rugi, lima ekor lembu mengganti lembu itu dan empat ekor domba untuk mengganti domba itu.
2 Jika pencuri itu didapati sedang memecah masuk lalu dia dipukul orang sampai mati, maka tiada hutang darah yang ditanggungkan kepada si pemukul.
3 Tetapi jika pembunuhan itu berlaku sesudah terbit matahari, maka si pemukul berhutang darah. Seorang pencuri harus membayar ganti rugi penuh. Jika dia tidak memiliki apa-apa, maka hendaklah dia dijual sebagai mengganti barang curiannya itu.
4 Jika binatang curian itu, baik lembu, keldai, mahupun domba, didapati masih hidup di tangannya, maka hendaklah dia membayar ganti rugi dua kali ganda.
5 Jika seseorang menggembala ternakan di ladang atau di kebun anggur, dan ternakannya itu dibiarkan lepas sehingga memakan hasil di ladang orang lain, maka dia hendaklah memberikan hasil terbaik daripada ladangnya dan hasil terbaik daripada kebun anggurnya sendiri sebagai bayaran ganti rugi.
6 Jika berlaku kebakaran di ladang lalu merebak dan menyambar semak duri, sehingga timbunan gandum atau rumpun gandum yang belum dituai bahkan seluruh ladang dimakan api, maka orang yang menyalakan api itu harus membayar ganti rugi penuh.
7 Jika seseorang mengamanahkan wang atau barangnya untuk disimpan oleh jirannya lalu wang atau barang itu dicuri dari rumah kawan itu, maka jika si pencuri itu ditemukan, hendaklah dia membayar ganti rugi dua kali ganda.
8 Jika si pencuri tidak ditemui, maka tuan rumah berkenaan hendaklah dihadapkan kepada Allah untuk diperiksa sama ada dia ada memanjangkan tangannya untuk mengambil barang milik jirannya.
9 Dalam segala bentuk kecerobohan, sama ada berkaitan dengan lembu, keldai, domba, pakaian, atau barang apa-apa pun yang hilang, jika yang seorang berkata, “Ini milikku,” maka perkara kedua-dua orang itu harus dibawa ke hadirat Allah. Sesiapa yang dipersalahkan oleh Allah harus membayar ganti rugi dua kali ganda kepada jirannya.
10 Jika seseorang mengamanahkan jirannya untuk menjaga seekor keldai, lembu, domba, atau binatang lainnya lalu binatang itu mati, luka, atau diambil orang tanpa ada yang melihatnya,
11 maka haruslah diangkat sumpah demi TUHAN antara kedua-dua orang itu untuk menentukan sama ada dia memanjangkan tangannya untuk mengambil harta milik jirannya. Sumpah itu harus diterima oleh si pemilik, dan jirannya itu tidak perlu membayar ganti rugi.
12 Tetapi jika binatang itu benar-benar dicuri daripadanya, maka dia harus membayar ganti rugi kepada si pemilik.
13 Jika binatang itu benar-benar dikoyak-koyakkan oleh binatang buas, maka dia harus membawanya sebagai bukti, dan dia tidak perlu membayar ganti rugi bagi binatang yang dikoyak-koyakkan itu.
14 Jika seseorang meminjam seekor binatang daripada jirannya lalu binatang itu luka atau mati ketika pemiliknya tidak ada di situ, maka dia harus membayar ganti rugi penuh.
15 Jika pemiliknya ada di situ, maka dia tidak perlu membayar ganti rugi. Jika binatang itu disewa, maka kerugian itu sudah termasuk dalam sewanya.
16 Jika seseorang memujuk seorang anak dara yang belum bertunangan lalu menidurinya, maka dia hendaklah membayar mas kahwin untuk memperisteri perempuan itu.
17 Jika ayah perempuan itu sama sekali menolak untuk memberikan anaknya kepadanya, maka orang itu masih perlu membayar wang senilai mas kahwin lazim bagi anak dara.
18 Jangan kamu biarkan hidup seorang perempuan yang menjadi ahli sihir.
19 Sesiapa bersetubuh dengan seekor binatang, dia wajib dihukum mati.
20 Sesiapa yang mempersembahkan korban kepada mana-mana tuhan, dan bukan kepada TUHAN semata-mata, dia hendaklah dimusnahkan.
21 Jangan menindas seorang pendatang atau menganiayainya, kerana kamu pun dahulu pendatang di Tanah Mesir.
22 Jangan menindas mana-mana balu atau seseorang anak yatim.
23 Jika engkau menindas mereka lalu mereka berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengar seruan mereka.
24 Murka-Ku akan menyala-nyala dan Aku akan membunuh kamu dengan pedang lalu para isterimu menjadi balu dan anak-anakmu menjadi yatim.
25 Jika kamu meminjamkan wang kepada seorang daripada umat-Ku yang miskin dalam kalangan kamu, jangan menjadi seorang penagih hutang terhadap dia dan jangan kaubebankan faedah hutang itu atasnya.
26 Jika kamu mengambil pakaian kawanmu sebagai gadaian, kembalikanlah pakaian itu kepadanya sebelum matahari terbenam,
27 kerana hanya itulah penutup dan pakaian pada tubuhnya; dengan apakah dia akan tidur? Jadi, jika dia berseru kepada-Ku, Aku akan mendengarkannya, kerana Aku ini maha pengasih.
28 Jangan menghina Allah dan jangan mengutuk seorang pemimpin bangsamu.
29 Jangan lalai mempersembahkan hasil tuaianmu dan hasil pemerahan anggurmu. Yang sulung daripada anak-anak lelakimu harus kamu khususkan bagi-Ku.
30 Demikian jugalah harus kamu lakukan dengan kawanan lembu dan kawanan dombamu. Tujuh hari lamanya anak-anak binatang itu harus tinggal dengan induknya, tetapi pada hari kelapan engkau harus mempersembahkannya kepada-Ku.
31 Jadilah orang yang suci bagi-Ku. Jangan kamu makan daging yang dikoyak-koyakkan oleh binatang liar. Campakkanlah daging itu kepada anjing.