1 Lalu Allah berfirman semua kata ini:
2 “Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.
3 Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku.
4 Jangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa-apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi.
5 Jangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, Allah yang cemburu, yang membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat dalam kalangan mereka yang membenci Aku.
6 Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku.
7 Jangan gunakan nama TUHAN, Allahmu, dengan sembarangan, kerana TUHAN akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan.
8 Ingatlah hari Sabat dan jagalah kesuciannya.
9 Enam hari lamanya engkau harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu,
10 tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi TUHAN, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hamba lelakimu, hamba perempuanmu, haiwanmu, mahupun pendatang yang ada di kotamu.
11 Kerana enam hari lamanya TUHAN menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya TUHAN memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci.
12 Hormatilah ibu bapamu, supaya lanjut usiamu di bumi yang TUHAN, Allahmu, kurniakan kepadamu.
13 Jangan membunuh.
14 Jangan berzina.
15 Jangan mencuri.
16 Jangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu.
17 Jangan mendambakan rumah jiranmu. Jangan ingini isteri jiranmu, hambanya baik yang lelaki mahupun yang perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu.”
18 Seluruh umat itu menyaksikan guruh dan kilat, bunyi sangkakala, dan gunung yang berasap. Maka gementarlah mereka dalam ketakutan lalu berdiri jauh-jauh.
19 Kata mereka kepada Musa, “Engkau sajalah yang berbicara kepada kami, kami akan mendengar kata-katamu, tetapi janganlah Allah yang berbicara kepada kami, nanti kami mati.”
20 Kata Musa kepada umat itu, “Jangan takut, kerana Allah telah datang untuk menguji kamu supaya kamu sentiasa takut kepada-Nya lantas kamu tidak berbuat dosa.”
21 Umat itu berdiri jauh-jauh, tetapi Musa menghampiri kepekatan yang menyelubungi hadirat Allah.
22 TUHAN berfirman kepada Musa, “Beginilah harus kamu katakan kepada orang Israel, ‘Kamu telah menyaksikan bahawa Aku berfirman kepadamu dari langit.
23 Jangan buat sesuatu yang menduakan Aku. Jangan buat untuk dirimu tuhan-tuhan perak ataupun tuhan-tuhan emas,
24 tetapi buatlah bagi-Ku suatu mazbah daripada tanah, lalu persembahkanlah di atasnya korban bakaranmu dan korban kedamaianmu, iaitu domba dan lembumu. Di setiap tempat yang Kujadikan nama-Ku diingat, di situlah Aku akan datang kepadamu dan memberkati kamu.
25 Jika kamu hendak membuat suatu mazbah daripada batu bagi-Ku, janganlah membangunkannya daripada batu yang dipahat, kerana jika kamu mengenakan pahatmu padanya maka kamu menajiskannya.
26 Jangan naik tangga ke mazbah-Ku, supaya jangan terselak auratmu di atasnya.