1 Seluruh jemaah Israel berangkat dari Elim, lalu sampailah mereka di Gurun Sin yang terletak di antara Elim dengan Gunung Sinai, tepat pada hari kelima belas dalam bulan kedua sejak mereka keluar dari Tanah Mesir.
2 Akan tetapi, seluruh jemaah Israel bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun di gurun itu.
3 Kata orang Israel kepada mereka, “Ah, kalaulah dahulu kami mati di tangan TUHAN di Tanah Mesir ketika kami duduk menghadapi kuali berisi daging dan makan roti sampai kenyang! Tetapi kamu pula membawa kami keluar ke gurun ini untuk membunuh seluruh jemaah ini dengan kelaparan.”
4 Kemudian berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Sesungguhnya, Aku akan menghujani kamu dengan roti dari langit. Tiap-tiap hari bangsa itu harus keluar untuk memungut keperluan satu hari secukupnya. Dengan demikian, Aku dapat menguji sama ada mereka mahu hidup menurut hukum-Ku.
5 Pada hari keenam mereka harus memungut dua kali lipat ganda banyaknya daripada yang biasa dipungut mereka setiap hari, lalu memasak apa yang dibawa pulang oleh mereka.”
6 Musa dan Harun pun berkata kepada seluruh orang Israel, “Petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN sajalah yang sudah membawa kamu keluar dari Tanah Mesir,
7 dan esok pagi kamu akan melihat kemuliaan TUHAN, kerana Dia mendengar segala rungutanmu kepada TUHAN. Sebab, siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami?”
8 Kata Musa lagi, “TUHAN akan memberi kamu makan daging pada petang hari, dan roti pada pagi hari sampai kamu kenyang, kerana TUHAN mendengar segala rungutan yang kamu tujukan kepada-Nya. Siapakah kami ini? Sesungguhnya, kamu bukannya bersungut-sungut kepada kami, tetapi kepada TUHAN.”
9 Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel, ‘Marilah mendekati hadirat TUHAN, kerana Dia telah mendengar rungutanmu.”
10 Sewaktu Harun sedang berbicara kepada seluruh jemaah Israel, mereka berpaling ke arah gurun. Tiba-tiba terpaparlah kemuliaan TUHAN dalam awan.
11 Lalu TUHAN berfirman kepada Musa,
12 “Aku telah mendengar segala rungutan orang Israel. Katakanlah kepada mereka demikian, ‘Pada waktu senja kamu akan makan daging dan pada waktu pagi kamu akan kenyang dengan roti. Maka dengan itu kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu.”
13 Pada petang hari itu datanglah burung-burung puyuh menutupi perkhemahan, dan pada pagi hari terdapat embun di sekeliling perkhemahan.
14 Setelah embun itu mengewap, kelihatanlah benda-benda tipis berkelopak seperti sisik bagaikan embun beku halus di atas tanah permukaan gurun itu.
15 Ketika orang Israel melihatnya, berkatalah mereka sesama diri, “Apakah ini?” kerana mereka tidak tahu apa benda itu. Kata Musa kepada mereka, “Inilah roti yang dikurniakan TUHAN kepadamu sebagai makanan.
16 Beginilah perintah TUHAN, ‘Pungutlah makanan itu, masing-masing sebanyak yang dapat kamu makan. Ambillah satu omer untuk tiap-tiap kepala, selaras dengan jumlah jiwa yang ada di dalam khemah masing-masing.”
17 Demikianlah yang dilakukan orang Israel. Masing-masing memungutnya, ada yang banyak, ada yang sedikit.
18 Ketika mereka mengukurnya dengan omer, ternyata orang yang memungut banyak tidak berlebihan, dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan. Masing-masing memungut sebanyak yang dapat dimakannya.
19 Kata Musa kepada mereka, “Tiada seorang pun boleh meninggalkan sisa sampai pagi.”
20 Tetapi ada beberapa orang yang tidak menghiraukan peringatan Musa. Mereka meninggalkan sisa sampai pagi hari, lalu sisa itu berulat dan berbau busuk. Maka marahlah Musa kepada mereka.
21 Pagi demi pagi mereka memungutnya, masing-masing sebanyak yang dapat dimakan mereka. Namun begitu setelah ada panas matahari, cairlah makanan itu.
22 Pada hari keenam mereka memungut roti itu dua kali ganda banyaknya, dua cupak untuk setiap orang. Kemudian datanglah semua pemimpin jemaah memberitahu Musa.
23 Kata Musa kepada mereka, “Inilah yang telah difirmankan TUHAN, ‘Esok ialah hari istirahat penuh takzim, Sabat yang suci bagi TUHAN, sebab itu bakarlah apa yang perlu kamu bakar dan rebuslah apa yang perlu kamu rebus. Yang selebihnya hidang dan simpanlah sampai pagi.”
24 Mereka menyimpannya sampai pagi sebagaimana yang diperintahkan Musa, tetapi roti itu tidak berbau busuk dan tidak berulat di dalamnya.
25 Kata Musa, “Makanlah itu pada hari ini, kerana hari ini ialah hari Sabat bagi TUHAN, dan kamu tidak akan mendapatinya di padang.
26 Selama enam hari kamu harus memungutnya, tetapi pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat, tidak akan ada makanan itu.”
27 Pada hari ketujuh, beberapa orang daripada bangsa itu keluar untuk memungutnya, tetapi mereka tidak mendapatinya.
28 Lalu berfirmanlah TUHAN dengan perantaraan Musa, “Berapa lama lagikah kamu enggan mentaati perintah-Ku dan hukum-Ku?
29 Ingatlah bahawa TUHAN telah mengurniakan hari Sabat kepadamu. Oleh sebab itu pada hari keenam Dia memberimu roti untuk dua hari. Pada hari ketujuh masing-masing harus tinggal di tempatnya, tiada seorang pun boleh keluar dari tempatnya.”
30 Demikianlah bangsa itu beristirahat pada hari ketujuh.
31 Keturunan kaum Israel menamai roti itu manna. Besarnya seperti ketumbar, warnanya putih, dan rasanya seperti kuih bercampur madu.
32 Musa berkata, “Inilah yang diperintahkan oleh TUHAN, ‘Ambillah satu omer penuh untuk disimpan bagi keturunanmu, supaya mereka dapat melihat roti yang Kuberikan kepadamu untuk dimakan di gurun, setelah Aku membawa kamu keluar dari Tanah Mesir.”
33 Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah kendi, letakkan satu omer penuh manna di dalamnya, lalu letakkanlah di hadapan TUHAN untuk disimpan bagi keturunanmu.”
34 Maka seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa, Harun pun menempatkan kendi itu di hadapan tabut loh hukum untuk disimpan.
35 Empat puluh tahun lamanya orang Israel makan manna itu, sampai mereka tiba di negeri yang berpenduduk. Dimakanlah mereka manna itu sampai tiba di perbatasan Tanah Kanaan.
36 Satu omer ialah sepersepuluh efa.