1 Yakub meneruskan perjalanannya, lalu para malaikat Allah datang menemuinya.
2 Tatkala Yakub melihat mereka, dia berkata, “Ini sebuah perkhemahan para malaikat Allah!” Maka dinamainya tempat itu Mahanaim.
3 Lalu Yakub menghantar beberapa orang utusan lebih dahulu daripadanya untuk menemui Esau, abangnya, di Tanah Seir, wilayah Edom.
4 Pesannya kepada mereka, “Beginilah harus kamu katakan kepada tuanku Esau, ‘Hambamu Yakub berkata: Selama ini aku tinggal dengan Laban sebagai pendatang dan menetap di sana sampai sekarang.
5 Aku mempunyai lembu, keldai, domba, hamba lelaki, serta hamba perempuan, dan aku mengirim utusan untuk memberitahukan hal itu kepada tuanku, supaya tuan berkenan padaku.’ ”
6 Maka kembalilah para utusan itu kepada Yakub dan berkata, “Kami telah menemui Esau, abangmu, dan dia pun dalam perjalanan bersama-sama empat ratus orang lelaki untuk menemuimu.”
7 Maka sangat susah hati dan ketakutanlah Yakub. Lalu dia membahagikan semua orang yang menyertainya serta kawanan domba, lembu, serta unta menjadi dua rombongan.
8 Fikirnya, “Jika Esau menyerang salah satu rombongan, rombongan yang satu lagi akan terlepas.”
9 Berkatalah Yakub, “Ya Allah datukku Abraham dan Allah ayahku Ishak, ya TUHAN yang telah berfirman kepadaku, ‘Pulanglah ke negerimu, kepada sanak saudaramu, dan Aku akan berbuat baik kepadamu,’
10 aku tidak layak menerima sedikit pun daripada segala ihsan serta kasih setia yang telah Engkau tunjukkan kepada hamba-Mu ini, kerana hanya dengan tongkat ini aku menyeberangi Sungai Yordan ini dahulu, tetapi kini aku terbahagi menjadi dua buah rombongan.
11 Namun demikian, lepaskanlah aku daripada tangan Esau, abangku, kerana aku takut kepadanya, jangan-jangan dia datang untuk menyerang aku serta para ibu dengan anak-anak mereka.
12 Bukankah Engkau pernah berfirman, ‘Aku pasti berbuat baik kepadamu dan menjadikan keturunanmu tidak terhitung bagaikan pasir di laut banyaknya.’ ”
13 Maka pada malam itu, Yakub pun bermalam di situ. Kemudian dia menyediakan persembahan untuk abangnya, Esau dengan mengambil beberapa daripada harta benda miliknya
14 iaitu dua ratus ekor kambing betina, dua puluh ekor kambing jantan, dua ratus ekor domba betina, dua puluh ekor domba jantan,
15 tiga puluh ekor unta betina dengan anak-anaknya yang masih menyusu, empat puluh ekor lembu betina, sepuluh ekor lembu jantan, dua puluh ekor keldai betina, dan sepuluh ekor keldai jantan.
16 Dia menyerahkan kesemua itu kepada para hambanya, masing-masing menjaga sekawanan ternak. Lalu kata Yakub kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku dan berilah jarak di antara satu kawanan ternakan dengan kawanan ternakan yang lain.”
17 Kepada hambanya yang berjalan paling depan dia berpesan, “Apabila Esau, abangku, menjumpaimu dan bertanya kepadamu, ‘Hamba siapakah kamu? Ke mana kamu hendak pergi? Milik siapakah ternakan di hadapanmu ini?’
18 Maka jawablah, ‘Milik hambamu, Yakub. Ini ialah persembahan yang dikirimnya bagi tuanku Esau. Sesungguhnya, dia sendiri ada di belakang kami.’ ”
19 Demikianlah juga pesannya kepada hambanya yang kedua dan yang ketiga, serta kepada semua orang yang berjalan mengikuti kawanan ternakan itu. Katanya, “Begitulah harus kamu katakan kepada Esau apabila kamu berjumpa dengannya.
20 Katakanlah juga, ‘Sesungguhnya, hambamu Yakub ada di belakang kami.’ ” Kerana fikir Yakub, “Aku hendak menenangkan hatinya dengan persembahan yang dihantar lebih dahulu ini. Setelah itu, barulah aku akan melihat wajahnya. Barangkali dia mahu menerima aku.”
21 Jadi, persembahan itu dihantar terlebih dahulu, sementara dia sendiri bermalam di perkhemahannya pada malam itu.
22 Pada malam itu juga dia bangun lalu dibawanya kedua-dua isterinya dan kedua-dua hamba perempuannya bersama-sama sebelas orang anaknya menyeberang melalui tempat penyeberangan Sungai Yabok.
23 Setelah membawa mereka ke seberang, dibawanya pula ke seberang segala harta bendanya.
24 Maka tinggallah Yakub seorang diri lalu muncul seorang lelaki yang bergelut dengannya sehingga fajar menyingsing.
25 Apabila lelaki itu melihat betapa dia tidak dapat mengalahkan Yakub, dipukulnyalah pangkal paha Yakub. Maka terseliuhlah pangkal paha Yakub bahana bergelut dengan lelaki itu.
26 Lalu kata lelaki itu, “Biarkan aku pergi kerana fajar sudah mula menyingsing.” Tetapi jawab Yakub, “Aku tidak akan membiarkan kamu pergi sebelum kamu memberkati aku.”
27 Lalu lelaki itu bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?” Jawabnya, “Yakub.”
28 Kata lelaki itu, “Kini namamu bukan lagi Yakub tetapi Israel, kerana kamu sudah berjaya bergelut dengan Allah dan dengan manusia.”
29 Maka Yakub pun berkata, “Harap beritahulah namamu.” Jawabnya, “Mengapakah kamu menanyakan namaku?” Kemudian dia memberkati Yakub di situ.
30 Yakub menamai tempat itu Peniel kerana katanya, “Aku telah bersemuka dengan Allah dan nyawaku terselamat.”
31 Matahari sudah terbit ketika dia melalui Peniel, dan dia tempang kerana pangkal pahanya.
32 Maka sampai hari ini orang Israel tidak makan urat pinggul yang ada pada pangkal paha binatang kerana Dia telah memukul pangkal paha Yakub pada urat pinggul itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 32
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 32

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV