1 Maka berangkatlah Yakub meneruskan perjalanannya ke negeri orang di sebelah timur.
2 Dia meninjau keadaan sekeliling dan terlihat ada sebuah perigi di padang dengan tiga kawanan domba yang berbaring di sisi perigi itu. Dari perigi itulah orang memberikan minum kepada kawanan ternakan mereka. Ada sebuah batu besar yang menutupi mulut perigi itu.
3 Apabila seluruh kawanan ternakan siap terkumpul di sana, barulah para gembala akan menggolekkan batu itu daripada mulut perigi lalu memberikan minum kepada kawanan domba mereka. Setelah selesai kerja itu, batu berkenaan dialihkan semula ke tempatnya di mulut perigi itu.
4 Yakub bertanya kepada warga di situ, “Saudara-saudaraku, dari manakah kamu ini?” Jawab mereka, “Kami ini dari Haran.”
5 Tanya Yakub pula kepada mereka, “Adakah kamu mengenali Laban, cucu Nahor?” Jawab mereka, “Kenal.”
6 Tanyanya kepada mereka, “Apa khabar dia?” Jawab mereka, “Baik! Lihat, itu Rahel, anak perempuannya, datang dengan kawanan dombanya!”
7 Kata Yakub, “Hari masih siang, belum waktunya ternak dikumpulkan. Jadi, berilah kawanan kambing dombamu minum lalu gembalakanlah lagi.”
8 “Tidak boleh,” jawab mereka. “Sesudah seluruh kawanan ternak dikumpulkan dan batu digulingkan daripada mulut perigi, barulah kami boleh memberikan minum kepada kawanan domba kami.”
9 Sewaktu Yakub sedang bercakap dengan mereka itu, Rahel tiba bersama-sama kawanan domba ayahnya yang digembalainya.
10 Maka Yakub yang melihat ketibaan Rahel, anak perempuan Laban berserta kawanan domba Laban pun pergi menggolekkan batu daripada mulut perigi itu lalu diberinya minum kepada kawanan domba Laban, saudara ibunya itu.
11 Lalu Yakub mencium Rahel dan menangis dengan suara nyaring.
12 Yakub memberitahu Rahel bahawa dia anak Ribka, saudara kepada ayah Rahel. Maka berlarilah Rahel memberitahu hal itu kepada ayahnya.
13 Lalu setelah Laban mendengar khabar tentang Yakub, anak saudaranya, berlarilah dia menyambutnya. Laban memeluk dan mencium Yakub, lalu membawanya masuk ke rumahnya. Kemudian Yakub menceritakan segala hal ehwalnya kepada Laban.
14 Kata Laban kepadanya, “Sesungguhnya, kamu memang darah dagingku.” Maka tinggallah Yakub bersama-samanya selama sebulan penuh.
15 Maka berkatalah Laban kepada Yakub, “Patutkah kamu bekerja denganku secara percuma hanya kerana kamu saudaraku? Katakanlah kepadaku apakah upah yang patut bagimu?”
16 Laban mempunyai dua orang anak perempuan, yang lebih tua bernama Lea manakala yang muda bernama Rahel.
17 Lea bermata kuyu, tetapi Rahel elok perawakannya dan cantik parasnya.
18 Yakub jatuh cinta kepada Rahel lalu dia berkata, “Aku akan bekerja dengan pak cik selama tujuh tahun lama demi mendapatkan Rahel, anak pak cik yang lebih muda itu.”
19 Jawab Laban, “Lebih baik kuberikan dia kepadamu daripada memberikannya kepada orang lain. Tinggallah bersama-samaku.”
20 Maka bekerjalah Yakub selama tujuh tahun demi Rahel. Namun begitu, kepadanya tujuh tahun itu bagaikan beberapa hari sahaja kerana cintanya kepada Rahel.
21 Kemudian berkatalah Yakub kepada Laban, “Berikanlah bakal isteriku kerana waktuku sudah tiba. Aku mahu menikahinya.”
22 Maka Laban mengundang semua orang di tempat itu dan mengadakan kenduri.
23 Akan tetapi, pada malam hari dia mengambil Lea, anaknya, dan membawanya kepada Yakub lalu Yakub menidurinya.
24 Laban juga memberikan seorang hamba perempuannya bernama Zilpa kepada Lea, anaknya itu, untuk menjadi hambanya.
25 Pada pagi harinya, ternyatalah kepada Yakub bahawa perempuan itu Lea! Lalu berkatalah Yakub kepada Laban, “Apakah yang pak cik lakukan terhadap aku ini? Bukankah aku bekerja dengan pak cik demi mendapatkan Rahel? Mengapakah pak cik menipuku?”
26 Jawab Laban, “Di tempat kami ini tiada orang yang memberikan anak yang lebih muda mendahului anak sulungnya.
27 Genapkan dahulu tujuh hari pernikahanmu dengan anakku ini, kemudian anakku yang muda itu akan kuberikan juga kepadamu dengan syarat kamu bekerja denganku selama tujuh tahun lagi.”
28 Yakub menyanggupinya. Dia menggenapi tujuh hari pernikahannya dengan Lea, dan setelah itu Laban memberikan pula Rahel, anaknya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya.
29 Kepada anaknya Rahel, Laban juga memberikan seorang hamba perempuan, bernama Bilha untuk menjadi hambanya.
30 Yakub pun meniduri Rahel yang lebih dicintainya berbanding dengan Lea. Kemudian dia bekerja lagi untuk Laban selama tujuh tahun.
31 TUHAN melihat betapa Lea tidak dicintai. Maka Dia membuka rahim Lea, tetapi Rahel mandul.
32 Lea pun mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Ruben kerana katanya, “Sesungguhnya, TUHAN melihat akan kesusahanku dan pastinya kini aku akan dicintai oleh suamiku.”
33 Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Sesungguhnya, TUHAN mendengar bahawa aku tidak dicintai, maka dikurniakan-Nya pula anak ini kepadaku.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Simeon
34 Selanjutnya dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Kali ini suamiku akan bertambah erat lagi denganku kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak untuknya.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Lewi.
35 Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Kali ini aku hendak memuji TUHAN.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Yehuda. Setelah itu, dia tidak melahirkan anak lagi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 29
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 29

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV