1 TUHAN berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, sanak saudaramu dan rumah ayahmu serta pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.
2 Aku akan membuat kamu menjadi suatu bangsa yang besar. Aku akan memberkati kamu dan menjadikan namamu hebat. Kamu akan menjadi suatu keberkatan!
3 Aku akan memberkati mereka yang memohonkan berkat bagi engkau, dan Aku akan mengutuk mereka yang mengutuk engkau. Melalui engkau, semua kaum di bumi akan diberkati.”
4 Maka berangkatlah Abram seperti yang TUHAN firmankan kepadanya, dan Lut turut pergi bersama-samanya. Abram berumur tujuh puluh lima tahun sewaktu dia meninggalkan Haran.
5 Abram menuju Tanah Kanaan dengan membawa Sarai isterinya dan Lut anak saudaranya bersama-samanya, serta segala harta benda serta kalangan yang diperoleh mereka sewaktu di Haran. Lalu tibalah mereka di Tanah Kanaan.
6 Abram berjalan menjelajahi negeri itu sehingga suatu tempat di Sikhem yakni di pokok oak More. Pada waktu itu orang Kanaan tinggal di negeri itu.
7 Kemudian TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman, “Kepada keturunanmu akan Aku kurniakan negeri ini.” Maka Abram membangunkan di sana sebuah mazbah bagi TUHAN, yang telah menampakkan diri kepadanya.
8 Dari situ, Abram berpindah ke pergunungan di sebelah timur Betel lalu mendirikan khemahnya di antara Betel di sebelah barat dengan Ai di sebelah timur. Di situ Abram mendirikan sebuah mazbah bagi TUHAN dan menyeru nama TUHAN.
9 Setelah itu, Abram meneruskan perjalanannya lagi ke arah selatan menuju ke Tanah Negeb.
10 Atas sebab bencana kebuluran yang menimpa negeri itu, Abram pun pergi ke Mesir dan tinggal di sana sebagai pendatang kerana bencana kebuluran itu sangat teruk di negeri itu.
11 Ketika hampir memasuki Mesir, berkatalah dia kepada Sarai, isterinya, “Dengarlah, kamu seorang perempuan dan rupa parasmu cantik.
12 Boleh terjadi kelak, apabila orang Mesir melihat kamu, mereka akan berkata, ‘Itu isterinya.’ Lalu mereka akan membunuh aku dan membiarkan kamu hidup.
13 Oleh sebab itu, kamu katakanlah yang kamu saudaraku, supaya aku dilayan dengan baik demi dirimu, dan nyawaku selamat berkat dirimu.”
14 Sewaktu Abram memasuki Mesir, memang para warga Mesir melihat betapa cantiknya Sarai.
15 Para pembesar Firaun juga melihat Sarai, lalu memuji-muji kejelitaannya di hadapan Firaun. Lantas perempuan itu dijemput ke istana Firaun,
16 dan Firaun melayan Abram dengan baik demi perempuan itu. Abram mendapat kawanan domba, lembu, keldai jantan dan betina, unta, serta para hamba lelaki dan perempuan.
17 Akan tetapi, TUHAN mengazab Firaun dan istananya dengan pelbagai wabak penyakit yang dahsyat kerana Sarai, isteri Abram itu.
18 Lalu Firaun memanggil Abram dan berkata, “Apakah yang kamu lakukan kepada aku ini? Mengapakah kamu tidak memberitahu aku bahawa dia isterimu?
19 Mengapakah kamu berkata, ‘Dia saudaraku,’ sehingga aku mengambilnya untuk dijadikan isteriku? Sekarang, inilah isterimu. Ambillah dia dan pergilah!”
20 Kemudian Firaun memberikan perintah kepada orangnya tentang Abram, lalu mereka menghantar dia pergi bersama-sama isterinya dan segala sesuatu yang dimilikinya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 12
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 12

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV